
Umum mengetahui Islam melarang penganutnya meminum minuman yang boleh menghilangkan kewarasan akal fikiran.
Di dada-dada akhbar saban hari semakin banyak kes-kes kematian yang disebabkan pemandu mabuk.
Itu belum termasuk kes-kes jenayah di pusat-pusat hiburan akibat pengambilan alkohol dan barang terlarang yang lain.
Minum arak dan minuman yang seumpama dengannya dihukumkan haram dan dikategorikan kotor lagi najis berdasarkan dalil dalam Alquran Surah Al Maidah Ayat 90 dan beberapa Hadis Nabi S.A.W. yang menyebutkan setiap yang memabukkan adalah haram sekalipun sedikit dan merupakan punca dan ibu segala kejahatan serta kerosakan.
Para ulama juga sepakat haram meminum arak sama ada peminum mabuk atau tidak dan hukuman bagi minum arak termasuk dalam kesalahan yang boleh dikenakan hudud sebanyak 40 sebatan atau 80 sebatan.
Di Malaysia, negara kita memakai hukuman takzir iaitu bagi orang Islam yang disabitkan minum minuman yang memabukkan dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi Orang Islam yang membuat, menjual, menghadiah, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa arak atau minuman yang memabukkan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebagai Muslim, walau apapun alasan yang diberikan sama ada untuk hiburan, memberi hadiah dan sebagainya minum arak walaupun SEDIKIT atau minuman yang seumpama dengannya yang menghilangkan kewarasan akal sihat adalah perbuatan yang amat keji, tercela dan jijik.
Bersegeralah bertaubat nasuha pada Allah Taala dan moga kita dihindarkan dari kecelakaan akibat minuman yang memabukkan.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Syafiah Sulaiman. Peguam dari Team Tanya Peguam Anda.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.