Perhimpunan 3,000 orang yang menyokong pembebasan 4 orang perogol.

Baru-baru ini trending di Twitter berkenaan pendapat Fynn Jamal tentang isu rogol. Ramailah yang berdebat berkenaan isu ini. Topiknya, sama ada wanita punca jenayah rogol?

Jadi saya kongsikan tentang kisah ini bagaimana jenayah rogol yang pada asalnya memberi sokongan kepada mangsa dan kemudian terjadi ‘plot twist’, perogol pula dibela sehingga mereka dibebaskan. Semuanya gara-gara menyalahkan mangsa yang menjadi punca dia dirogol.

Kes ini, benar-benar elok dijadikan contoh betapa bahayanya jika perogol diberikan alasan atau justifikasi mengapa dia melakukan jenayah rogol.

Pada tahun 1983, di Massachusetts, seorang wanita bernama Cheryl Araujo, 21 tahun keluar untuk membeli rokok. Bila kedai yang ingin dia tuju, tutup. Dia singgah di satu bar iaitu Big Dan’s Tavern.

Dalam bar itu dia minum dan bersembang dengan pelayan wanita. Sewaktu di dalam bar, dia ditarik dan dirogol oleh 4 orang dalam bar tersebut dan 2 yang lain bersorak, ketawa dan menjerit sewaktu menyaksikan kejadian itu.

Kejadian berlaku selama 2 jam. Tiada sesiapa dalam bar itu yang membantunya walaupun kejadian berlaku di tengah-tengah bar.

Cheryl berjaya melarikan diri dalam proses tersebut dan dia diselamatkan oleh 3 orang pemuda kolej. Sewaktu dia berlari keluar dari bar, dia dikejar oleh perogol-perogol tadi.

Tetapi perogol ini berhenti setelah melihat dia diselamatkan oleh sekumpulan pemuda ini. Bayangkan jika mereka menangkap Cheryl semula?

Cheryl ditemui dalam keadaan terketar-ketar dan terlalu takut. Sepanjang proses membuat laporan dan pemeriksaan perubatan dia memeluk erat pemuda yang menyelamatkannya.

4 perogol ini dan 2 yang bersorak sewaktu kejadian ditangkap dan dibicarakan. Di USA, sebahagian kes di mahkamah boleh ditayangkan di televisyen. Bermakna penonton boleh menyaksikan segala prosiding, soal balas sepanjang perbicaraan. Tidak seperti di Malaysia.

Hakim yang mendengar kes Cheryl ini membenarkan agar prosiding kes ini ditayangkan di televisyen. Ini adalah merupakan prosiding kes rogol yang pertama ditayangkan di USA. Bayangkan betapa teruja orang ramai, sehingga mereka melekat dihadapan TV untuk menonton setiap perkembangan kes.

Mahkamah mengarahkan agar identiti mangsa dirahsiakan. Tetapi kerana kecuaian mahkamah, sewaktu proses mangsa memberi keterangan. Nama mangsa dibacakan dengan jelas, sewaktu mangsa memperkenalkan nama di atas kandang saksi. Bahagian ini telah dirakamkan dan telah disiarkan di TV.

Apabila nama mangsa diketahui, pihak media mula mendekati mangsa. Nama mangsa disiarkan dalam surat khabar. Memandangkan kesemua tertuduh adalah merupakan pendatang dari Portugis, mereka mendapat sokongan padu dari penduduk berbangsa Portugis di kawasan itu.

Komuniti Portugis merasakan mereka diperlekehkan oleh kerajaan. Mereka percaya bahawa inilah waktu untuk mereka bangkit dan menentang kerajaan. Mereka perlu bersatu padu. Mereka percaya dengan hujah kesemua perogol itu, bahawa jenayah rogol disebabkan oleh mangsa iaitu Cheryl.

Kata mereka, Cheryl yang bersalah. Cheryl yang mengundang. Cheryl difitnah dan digambarkan sebagai perempuan yang rendah akhlaknya. Dia digambarkan seperti wanita sundal.

Penyokong-penyokong kumpulan perogol ini membuat himpunan beramai-ramai meminta agar perogol-perogol yang disabitkan bersalah dibebaskan segera.

3,000 berkumpul di New Bedford sebagai menentang keputusan mahkamah dan mereka menyokong perogol-perogol ini. 10,000 orang berkumpul di Fall River sebagai protes.

Kerana impak kes ini, ramai mangsa rogol di USA yang sedang dalam proses perbicaraan menarik diri. Mereka jadi takut melihatkan bagaimana mereka bakal disoal dikandang saksi oleh peguambela tertuduh. Walaupun mereka memberi keterangan sebagai mangsa tetapi mereka bakal digerudi waktu sesi soal balas oleh peguambela tertuduh.

Tambahan pula melihat sokongan komuniti Portugis kepada perogol-perogol membuat mereka takut. Siapa sangka akhirnya perogol-perogol yang dibela dan diangkat kerana menyalahkan mangsa yang menjadi punca rogol?

Cheryl mula mendapat ugutan dari penyokong-penyokong perogol ini. Pada waktu ini Cheryl mempunyai 2 orang anak kecil dan kerana bimbang akan keselamatannya, Cheryl dan keluarganya berpindah ke Florida.

Namun Cheryl mati dalam kemalangan sewaktu memandu bersama anaknya. Anak Cheryl selamat. Cheryl meninggal dunia, 2 tahun selepas memberi keterangan di mahkamah, pada waktu kematian dia baru berusia 25 tahun. Dia didapati mabuk sewaktu memandu.

Bayangkan betapa punah ranah kehidupannya sejak kejadian rogol itu, malah dia dikecam dan diberi tanggapan buruk. Nama perogol-perogol pula dijulang.

Lebih malang lagi, kesemua perogol ini dibebaskan awal. Paling lama antara mereka yang menjalani hukuman, hanyalah 6 tahun sahaja. Manakala yang 2 orang yang didakwa bersorak sewaktu kejadian, tidak pernah didapati bersalah.

Demikianlah betapa bahayanya tanggapan masyarakat yang menganggap rogol berpunca dari mangsa. Saya memang teramatlah menentang jenayah rogol, sebagai peguam juga saya tidak mewakili kes begini.

Kadangkala saya terbaca komen, tulis begini tetapi peguam juga yang bela. Peguam itu berhak memilih kes dan anak guamnya. Jangan samakan semua dan jangan anggap semua itu sama.

Ada banyak kes yang saya tolak, ada banyak prinsip yang saya jaga, kerana di akhirat nanti, kita semua akan disoal. Kita apa yang kita pilih dan corakkan.

Jenayah ini pada pelakunya dan bukan pada puncanya.

Ketika semua manusia lain boleh mengawal nafsu, kejahatan dan keinginan untuk melakukan apa sahaja jenis jenayah tetapi si penjenayah ini memilih untuk melakukannya. Jadi pelaku perlu diadili, dihukum dan menanggung akibat kejahatannya, bukan menyalahkan punca.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: