Perosak, Orang Ketiga, Perampas, dan Pengacau Rumahtangga adakah mereka PENJENAYAH?

Isu ini merupakan isu hangat yang tak pernah hilang sepanjang zaman. Saban hari, isu ini merupakan punca UTAMA perceraian dan konflik dalam pasangan yang berumahtangga.

Pelbagai istilah diberikan kepada kelompok ini seperi Perampas, Orang Ketiga, Perosak, Pencemar dan Pengacau Rumahtangga. Istilah-istilah tidak berdaftar lain juga sangat banyak dan tak enak disebut malah dilafaz.

Ingat, kelompok ini boleh terdiri dari lelaki, perempuan, khunsa, keluarga, dan sebagainya.

Sememangnya wujud undang-undang dalam Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri dalam Malaysia bagi mengheret kelompok ini kemuka pengadilan tetapi kesalahannya berbeza-beza dari satu negeri ke satu negeri yang lain.

Contohnya Enakmen Jenayah Syariah Selangor, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Johor menetapkan memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri dan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan (tambahan di Johor memujuk lari orang perempuan) sebagai KESALAHAN.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sembilan pula menetapkan menghasut perempuan bersuami atau lelaki beristeri, memikat atau membawa pergi perempuan bersuami atau anak dara dan memikat atau membawa pergi atau menahan dengan niat jahat perempuan bersuami atau anak dara sebagai KESALAHAN.

Manakala Kesalahan Jenayah Syariah Sabah pula menetapkan perbuatan melarikan isteri orang, melarikan anak perempuan dan lelaki yang mengacau seseorang perempuan sebagai KESALAHAN.

Hukuman kesalahan berbentuk denda, penjara atau kedua-duanya sekali. Mungkin tiba masanya agar Kesalahan kelompok ini diseragamkan dan hukuman ditingkatkan bagi mengekang perbuatan yang amat tidak berakhlak dan bermoral ini.

Pembuktian bagi kes jenayah sama prinsipnya seperti di Mahkamah sivil, iaitu Beyond reasonable doubt (diluar keraguan munasabah), istilah syariahnya Haqqul Yaqin tanpa sebarang keraguan yang munasabah.

Laporan dan bukti-bukti yang benar-benar kukuh perlulah diserahkan kepada penguatkuasa agama, mereka akan membuat siasatan, jika kes bermerit maka pendakwaan akan dilakukan seterusnya ke hadapan Hakim Bicara untuk diputuskan.

Kepada kelompok ini, atas apapun alasannya, wajiblah kembali kepangkal jalan dan bertaubatlah dengan segera kerana doa orang yang dizalimi tiada penghalangnya antara dia dan Allah taala.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Syafiah Sulaiman. Peguam dari Team Tanya Peguam Anda.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: