
Setakat hari ini (13 Mei 2020), kes positif COVID-19 di seluruh dunia telah mencapai jumlah 4.26 juta manakala kes kematian telah mencapai 291,942 orang. Virus ini telah merubah kehidupan seharian kita semua. Dalam usaha mengekang wabak ini, banyak aktiviti terutamanya aktiviti ekonomi, terpaksa dihentikan. Kedai-kedai terpaksa ditutup.
Tiada lagi aktiviti menonton wayang, membeli-belah bersama keluarga dan beriadah bersama rakan di padang apatah lagi melakukan aktiviti yang paling ditunggu setiap tahun seperti membeli makanan di Bazar Ramadhan. Kesannya, banyak perniagaan tidak mampu menanggung kos operasi dan terpaksa ditutup. Ada juga majikan yang terpaksa membuang pekerja mereka dan menyebabkan ramai individu kehilangan sumber pendapatan.
Panjangnya barisan orang ramai yang beratur di hadapan kedai Pajak Gadai sebaik sahaja ia mula beroperasi juga menggambarkan betapa ramai individu yang mungkin berdepan dengan masalah kewangan.

Dalam perutusan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 1 Mei 2020 beliau ada menyebut Malaysia telah mengalami kerugian sebanyak RM 63 billion sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan dan kerugian ini akan terus bertambah sekiranya PKP diteruskan lagi.
Oleh itu, walaupun wabak ini masih belum dihapuskan sepenuhnya, kerajaan terpaksa mengambil keputusan untuk memulakan fasa baru yang dinamakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dimana dalam tempoh ini, lebih banyak sektor telah diberikan kelonggaran untuk beroperasi sepenuhnya dengan syarat mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan oleh kerajaan.

Perkara ini adalah amat penting untuk menggerakkan kembali ekonomi negara kita. Ramai yang menyokong dan ramai juga yang menentang kerana risau akan kemungkinan ramai orang tidak akan mematuhi SOP dan menyebabkan peningkatan kes kembali.
Walaupun kita diberikan kelonggaran untuk memulakan kembali kehidupan harian namun adalah mustahil untuk kembali seperti mana sebelum ini. Normal Baharu seperti penjarakan sosial perlu diamalkan. Ini bermakna apabila kelonggaran diberikan, kita perlu bertanggungjawab ke atas diri sendiri dalam mematuhi segala peraturan baru yang ada untuk memastikan wabak ini dapat dihentikan.

Apabila disebut tentang tanggungjawab dan sikap, kita semua perlu belajar bagaimana Korea Selatan berjaya menangani wabak ini hasil dari kerjasama pihak kerajaan dan rakyat sendiri. Untuk memulakan “New Normal” disana, kerajaan Korea Selatan memperkenalkan amalan baru yang dinamakan “Everyday Life Quarantine”.
Sama seperti negara kita yang mempunyai SOP bagi setiap sektor, mereka juga mempunyai satu panduan menjalani kehidupan seharian. Panduan ini turut merangkumi perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan dalam situasi-situasi seperti berada di panggung wayang dan menghadiri majilis pengebumian. Sesiapa yang pergi menonton filem adalah dilarang untuk berteriak dan semasa menghadiri majlis pengebumian, tidak dibenarkan berpelukan, hanya setakat menundukkan kepala.
Rakyat Korea Selatan sendiri sebenarnya memainkan peranan penting dalam mengawal penularan wabak ini. Disana, apabila pihak kerajaan Korea Selatan melaksanakan kempen penjarakan sosial secara intensif dan dapat dilihat tahap pematuhan setiap individu adalah sangat tinggi terutamanya semasa proses pilihan raya dijalankan. Masing-masing sentiasa memastikan mereka berada dalam jarak yang ditetapkan.

Selain itu, rakyat disana telah menjadikan pemakaian penutup muka (mask) apabila berada di luar rumah sebagai satu budaya. Pemakaian ‘mask’ ini sangat membantu dalam mengurangkan penyebaran wabak oleh individu terutamanya jika individu tersebut telah dijangkiti tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala. Menurut seorang suri rumah dari negara itu dalam satu artikel oleh NBC News, membasuh tangan dan membersihkan tombol pintu telah menjadi satu aktiviti rutin bagi ahli setiap rumah.
Selain itu, penganut Christian yang berada di dalam gereja di Seoul dilarang menyanyi lagu-lagu pujian (Hymn) atau mengucapkan “amen” bagi mengelakkan air liur tersebar. Setiap paderi juga akan membersihkan tangan (sanitize) semasa Penjamuan Suci (Holy Communion) dibuat. Pemain-pemain Baseball juga tidak dibenarkan untuk meludah semasa berada di atas padang dan tiada peminat sukan itu hadir semasa perlawanan berlangsung.

Menurut seorang lagi warga Korea yang gemar menyertai kelas tarian, para pengajar telah mengarahkan pelajar yang menyertai kelas mereka untuk sentiasa memakai penutup muka. Mereka juga perlu berehat dengan lebih kerap supaya mereka tidak berpeluh dan perlu menjarakkan diri dari satu sama lain sejauh 3 kaki. Ada juga diantara pengajar yang melarang sama sekali rutin tarian yang melibatkan pasangan dilakukan. Tujuannya adalah untuk mengelakkan sebarang sentuhan fizikal.
Panduan oleh kerajaan Korea Selatan ini dilihat agak terperinci berbanding negara kita Malaysia. Ini mungkin kerana, negara kita masih berada di peringkat permulaan dalam memulakan Normal Baharu dan banyak perkara masih berada dalam peringkat perbincangan. Walaupun tidak tertulis secara rasmi di dalam SOP yang dikeluarkan pihak kerajaan, kita sendiri boleh mempraktikkan apa dirasakan terbaik dan boleh membantu dalam usaha memutuskan rantaian COVID 19.
Kesimpulannya, disiplin tinggi setiap individu dalam mematuhi peraturan baru yang telah ditetapkan adalah sangat penting. Sudah tentu usaha pihak adalah perlu untuk menangani wabak ini namun ianya juga mustahil jika dilakukan tanpa kerjasama daripada rakyat sendiri. Oleh itu, kita semua perlu berasa bertanggungjawab untuk memastikan wabak ini tidak tersebar.
DISCLAIMER:
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.