Tips supaya anda tidak mudah diperdayakan atau mudah menjadi sasaran mangsa penipuan.

Mempunyai rasa sangsi atau sikap berwaspada sentiasa, adalah antara tips supaya anda tidak mudah diperdayakan atau mudah menjadi sasaran mangsa penipuan. Setuju tak?

“Asyik kena tipu je aku ni, apalah nasib?”. Kadangkala lepas satu, satu lagi kita terkena. Di mana silapnya?

Rata-rata mereka yang menemui saya yang menjadi mangsa penipuan berkali-kali ini, saya perhatikan kebanyakannya kerana jenis percaya dan bersangka baik.

Kalau kebiasaannya, setelah ditipu, mereka ingin mengambil tindakan. Tindakan undang-undang terhadap si penipu ini, selalunya atau kebiasaannya tidak akan membuahkan hasil.

Pertama atas faktor telah cabut lari dan menghilangkan diri. Langsung tidak dapat kesan di mana. Kedua kerana dia buat tidak faham kerana sudah terbiasa dikejar dan diburu.

Malahan entah-entah pernah meringkuk dalam penjara kerana menipu, jadi apalah sangat Writ Saman untuk menuntut secara sivil.

Dalam keadaan begini, amatlah penting mencegah dari ditipu. JANGAN BERIKAN LANGSUNG DUIT. SILA BERHATI-HATI. Itu yang paling utama! Supaya tidak merasa seksa atau sakit hendak mendapatkan duit yang diberikan semula atau duit itu ‘burn’ begitu sahaja.

Memang kita ada undang-undang, boleh buat laporan polis, boleh saman menuntut tetapi kan lebih baik jika kita tidak ke arah yang ditipu ini. Tidak sakit kepala. Tidak sakit hati. Tidak rugi.

Saya pernah dirujuk kes, mangsa pindahkan duit RM80,000.00 kepada si penipu yang menyamar sebagai ejen rumah. Mangsa tidak pernah berjumpa si penipu, tidak pernah melihat rumah yang ingin dibeli. Semuanya atas talian.

Mangsa lihat iklan rumah di internet, mangsa menghubungi si penipu yang dipercayai ejen. Si penipu menyakinkan rumah ini ‘laku keras’ dan beratur orang berebut kerana harga rumah yang durian runtuh.

Si penipu minta dokumentasi mangsa untuk tujuan permohonan pinjaman rumah. Mangsa berikan.

Si penipu maklumkan kononnya, pinjaman hanya lepas berapa peratus sahaja dan mangsa perlu top up jumlah pinjaman menggunakan simpanan sendiri. Setiap hari mangsa buat pindahan RM5,000 kerana jumlah had online transfer.

Mahu dekat 16 hari pindahan tersebut dibuat. SEMUANYA ATAS TALIAN. Bayangkan bagaimana mudah mangsa ditipu. Jangan terkejut, ada banyak kes yang berlaku yang kita rasakan macam tak logik tetapi berlaku.

Banyak kes begini. Zaman teknologi ini yang indahnya, memudahkan hidup kita. Tidak perlu beratur berasak-asak membeli di shopping mall atau di kedai-kedai. Sementara sedang berehat boleh beli online. Dalam kesesakan jalan raya boleh beli barang online. Betapa mudahnya!

Tetapi kita jangan ambil mudah atau sambil lewa. Sudahnya kerana terlalu terbiasa, kita ambil lewa semua perkara. Semua kita hendak beli di atas talian.

Kalau barang yang tidak mahal nilainya, tak mengapa. Tetapi hinggakan hendak membeli rumah, kereta, motor dan segala barang kita beli secara atas talian.

Hendak melihat iklan atas talian itu betul, sekurang-kurangnya dapat buat ‘market survey’ atau perbandingan harga tetapi janganlah kita jadi malas untuk pergi semak, teliti, melawat rumah ingin dibeli, memeriksa enjin kenderaan yang diiklankan, ujipandu.

Paling UTAMA, janganlah kita malas hendak memeriksa KEWUJUDAN barang yang kita beli. Hendak bayar ribuan ringgit tetapi kita tidak periksa sama ada barang itu wujud atau tidak. Memanglah kita tertipu.

Sudah melihat iklan di atas talian, hubungi ejen atau penjual. Tetapkan temujanji untuk semak dan teliti barangan yang ingin dibeli. Kalau hendak sewa atau beli rumah, kita melawat dan periksa dulu kewujudan dan keadaan rumah.

Kalau hendak beli kereta, kita pergi dulu pastikan kewujudan kenderaan . Kemudian kita pandu uji dan periksa keadaan enjin.

Setelah kita berpuas hati, kita semak latar belakang ejen dan penjual. Benarkan ejen hartanah berdaftar? Benarkah syarikat penjual kereta terpakai?

Simpan rasa waspada dalam hati, selalu ada rasa berhati-hati. Perkara begini sangat membantu untuk mengelakkan kita dari sentiasa ditipu.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: