Watts Family Murder

“I love this man more than words can say! He’s my Rock, my love, my biggest fan, supporter and my husband! I couldn’t of hand picked a better man to call my husband and father to our girls! He dreams Big with me, he runs hard with me and he is just flat out friggin awesome! I love you Chris so much! Happy Valentines Day!”

Petikan ini ditulis oleh Shanann Watts di laman Instagram miliknya, menggambarkan betapa dia menghargai dan menyayangi suaminya.

Melalui laman media sosialnya, Shannan gemar berkongsi rakaman dan cerita mengenai keluarga mereka. Dalam satu video yang dikongsinya, Chris dilihat sedang tersenyum sambil bermain dengan anak-anaknya Bella dan Celeste yang berusia 4 dan 3 tahun ketika itu.

Di mata pengikut di media sosial, sudah pasti mereka kelihatan seperti satu keluarga yang bahagia dan sempurna. Tambahan pula, Shannan sedang hamil 15 minggu dengan cahaya mata ketiga mereka.

Pada 13 Ogos 2018, Shannan dihantar pulang oleh rakannya sebaik sahaja tamat satu urusan perniagaan di Arizona. Beberapa jam kemudian, rakannya cuba menghubungi Shannan kembali namun tiada jawapan. Dia juga mendapati bahawa Shannon tidak hadir ke temujanji pemeriksaan kandungan yang ditetapkan. Rakannya yang kerisauan bertindak menghubungi Chris dan juga pihak polis.

Pada mulanya Chris memberitahu pihak polis bahawa Shannon pergi membawa anak-anak mereka ke rumah seorang rakan yang tidak diketahui namanya dan dia tidak tahu di mana. Apabila siasatan dijalankan di rumah pasangan Watts, pihak polis mendapati bahawa kereta dan barangan peribadi seperti dompet dan telefon bimbit Shannon masih berada di sana.

Satu perkara yang pelik jika Shanann pergi tanpa membawa barangan penting miliknya. Oleh yang demikian, pihak polis secara rasminya mengklasifikasikan kes Shannon dan anak-anaknya sebagai kes kehilangan. Mereka juga telah mengeluarkan satu amaran iaitu ‘Endangered Missing Person Alert’.

Pada hari berikutnya, Chris menggunakan saluran media untuk merayu agar orang ramai membantu dalam pencarian isteri dan anak-anaknya. “If you’re out there, just come back. If somebody has her, just please bring her back. I need to see everybody. I need to see everybody again. This house is not complete without anybody here.” Ini adalah antara yang dikatakan oleh Chris dalam temu bual bersama pihak media tersebut.

Walaupun Chris dilihat berusaha merayu agar isteri dan anak-anaknya kembali, kelakuannya tidak menunjukkan sebarang emosi. Tiada sebarang perasaan sedih atau cemas dengan kehilangan mereka.  Tambahan lagi, maklumat yang dia berikan kepada pihak polis sebenarnya tidak dapat membantu dalam pencarian keluarganya dan segala yang diceritakan kepada pihak media didapati berubah-ubah.

Pada masa yang sama pihak polis mendapati bahawa Chris mempunyai hubungan sulit dengan rakan sekerjanya,Nichol Kessinger dari Anadarko Petroleum berdasarkan siasatan daripada rekod telefon. Menurut Nichol, Chris memberitahunya bahawa dia dan Shanann dalam proses perceraian sedangkan perkara ini tidak benar.

Mengesyaki ada yang tidak kena dengan Chris, dia diarahkan oleh pihak polis untuk menjalani ujian poligraf (pengesan penipuan) di mana dia terbukti telah menipu tentang apa yang diberitahu mengenai kehilangan keluarganya. Chris juga pernah mengatakan yang isterinya selalu bercakap buruk tentang dirinya di hadapan anak-anak mereka. Selain itu Chris juga merancang untuk tinggal bersama Nichol dan menjual rumahnya bersama Shanann.

Setelah gagal dalam ujian pengesanan penipuan tersebut, Chris meminta untuk bercakap dengan ayahnya terlebih dahulu di mana dia mula mengaku tentang hubungan sulitnya sebelum akhirnya mengaku bahawa dia telah membunuh isterinya.

Dalam pengakuan pertamanya, pembelaan Chris kononnya dia pernah menyatakan keinginannya untuk berpisah kepada Shanann dan akibat daripada itu, Shanann bertindak membunuh anak-anak mereka. Dia kononnya melihat Shanann sedang mencekik Celeste melalui ‘baby monitor’ manakala Bella pula sudah terbaring di atas katil dalam keadaan yang telah membiru. Chris bertindak mencekik Shanann kerana berasa marah melihat anak mereka dibunuh.

Setelah mereka mati, dia membawa mereka ke kawasan milik Anadarko Petroleum untuk dikuburkan. Pihak polis berjaya menemui mayat Shanann dan anak-anak mereka di tempat yang diberitahu Chris. Mayat Shanann ditemui dalam kubur yang digali Chris manakala mayat kedua anaknya ditemui di dalam tangki minyak di kawasan itu. Pada bulan Ogos, Chris Watts ditahan atas tiga pertuduhan membunuh darjah pertama.

Walaupun Chris telah mengaku salah bagi tuduhan ini, namun dia sebenarnya masih belum menceritakan perkara yang sebenarnya berlaku. Pada bulan November, barulah dia mengaku telah membunuh isteri dan anak-anaknya.

Apa yang berlaku sebenarnya ialah, pada hari kejadian, Chris dan Shanann bergaduh apabila  dia menyatakan niat untuk berpisah dan semasa pergaduhan tersebut dia telah mencekik Shanann sehingga mati. Semasa hendak membawa mayat Shanann turun ke bahagian bawah rumah mereka, anak-anaknya terjaga daripada tidur dan bertanya apa yang berlaku.

Oleh sebab itu dia bertindak membawa anak-anaknya dan juga mayat Shanann ke tapak minyak syarikatnya. Sampai sahaja di sana, dia mula melemaskan anaknya, Celeste terlebih dahulu menggunakan selimut dan membuang mayat Celeste ke dalam tangki minyak di situ sambil disaksikan Bella. Menurut Chris lagi, Bella sempat bertanya “Is the same thing gonna happen to me as Cece?” sebelum Chris membunuhnya.

Setelah menceritakan hal sebenar, Chris Watts didakwa atas 3 pertuduhan membunuh darjah pertama, 2 tuduhan tambahan bagi pembunuhan anak-anaknya kerana mereka berusia kurang 12 tahun, 1 kesalahan menamatkan kandungan secara tidak sah (unlawful termination of pregnancy) serta 3 dakwaan merosakkan tubuh si mati (tampering with a deceased human body).

Chris mengaku bersalah bagi kesemua 9 pertuduhan. Pengakuan bersalah ini dibuat bagi mengelakkan hukuman mati. Dia dijatuhkan hukuman bagi hukuman penjara seumur hidup bagi 5 pertuduhan dan tambahan 84 tahun hukuman penjara bagi 4 lagi pertuduhan.

Dalam satu artikel daripada laman web Rolling Stone, kes ini adalah salah satu contoh kes pemusnah keluarga (family annihilator). “Family Annihilator” adalah istilah yang digunakan bagi lelaki, lazimnya berumur lingkungan 30-an yang membunuh seluruh ahli keluarganya. Mereka juga selalunya akan membunuh diri sendiri setelah itu.

Dalam kes ini, Shanann ada mengugut untuk tidak membenarkan Chris berjumpa dengan anak-anak mereka lagi. Hal ini mungkin menjadi faktor mengapa Chris hilang kawalan pada hari itu. Selain itu, Chris juga berkemungkinan mempunyai keinginan yang kuat untuk memulakan hubungan baru dengan wanita lain tanpa gangguan keluarganya yang dianggap sebagai penghalang. Kisah keluarga ini juga boleh ditonton di dalam filem Chris Watts: Confessions of a Killer.

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: