Apa itu Duit Jaminan?

Bolehkah seseorang yang dijatuhkan hukuman penjara dibebaskan dengan bayaran jamin/denda?

Apa itu duit jaminan?

Duit yang dibayar oleh penjamin bagi memastikan tertuduh datang ke mahkamah setiap kali dan tak cabut lari sehingga kes selesai. Ada kesalahan boleh dijamin, biasanya bagi kes yang hukuman yang tidak berat. Ada kesalahan yang tidak boleh jamin contohnya kes bunuh.

Bagaimana kalau tiada penjamin atau penjamin tidak cukup duit?

Kalau kesalahan boleh jamin, mahkamah akan putuskan berapa jumlah wang jaminan. Selagi tak cukup duit untuk jamin tertuduh, bagi memastikan dia selalu ke mahkamah, jadi tertuduh akan dimasukkan dalam penjara sementara menunggu duit jaminan. Peringkat jamin ini, kes belum selesai ya. Perlu hadir prosiding mahkamah sehingga kes selesai.

Kalau kes dah selesai, dan mahkamah jatuhkan hukuman bersalah, boleh atau tidak keluar dari penjara dengan bayar denda?

Ini sedikit tricky. Jawapannya boleh dan tak boleh. Semuanya berdasarkan jenis kesalahan.

Berdasarkan undang-undang, tiap-tiap kesalahan berbeza mengikut seksyen dan akta. Hukuman juga berbeza.

Ada hukuman yang dibaca sebagai penjara ATAU denda. Ada hukuman dibaca penjara DAN denda. Ada juga wajibkan hukuman rotan.

BOLEH bayar denda dan bebas dari penjara sekiranya kesalahan tertuduh itu hukumannya adalah penjara ATAU denda. Bagi hukuman begini, contohnya kes curi tertuduh boleh dihukum penjara ATAU denda. Selalunya mahkamah berikan denda dan akan dibaca begini “DENDA RM15,000.00 gagal bayar 4 bulan penjara”.

Jadi maksudnya, hukumannya bayaran denda tetapi kalau dah tak ada duit sangat, jadi 4 bulan penjara. Andai kata tertuduh sudah duduk dalam penjara 2 minggu dan tiba-tiba ahli keluarga baru ada duit untuk bayar, jadi selepas bayar RM15,000 maka tertuduh akan dibebaskan.

TIDAK BOLEH BAYAR DENDA untuk dibebaskan. Contohnya jika kesalahan itu adalah wajib penjara. Bagi kesalahan pecah amanah bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, hukumannya wajib penjara, wajib rotan dan wajib denda. Contohnya jika mahkamah putuskan begini “Penjara 6 bulan, 3 kali sebatan dan denda RM10,000.00, gagal bayar 3 bulan penjara” bagi kesalahan pecah amanah.

Jadi maksudnya penjara 6 bulan dah tentu wajib dijalani cuma jika gagal sediakan duit denda RM10,000.00 maka akan ada masa tambahan 3 bulan. Sebatan pun wajib. Jika dalam tempoh 6 bulan ahli keluarga bayar RM10,000, tertuduh masih perlu jalani yang 6 bulan itu dan kemudian dibebaskan.

Jadi kalau nak tahu jenis kesalahan kena semak seksyen kesalahan dan hukumannya. Itulah agaknya kenapa ‘Ustaz’ Madi drama Nur 2 boleh keluar? Ya dak?

Elakkan diri dari kesalahan jenayah atau menghampirinya. Pening hendak hadap proses. Sampai tak boleh tidur malam.

DISCLAIMER:

Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: