
Sejak adanya Perintah Kawalan Pergerakan ini ramai di antara kita terutamanya warga pekerja di dalam kumpulan “essential” yang khuatir sekiranya dijangkiti dengan Virus Covid-19 akibat ulang alik atas urusan kerja. Malah persoalan ini menghantui fikiran setiap warga pekerja di seluruh Malaysia pada masa ini.
Secara amnya, Kementerian Sumber Manusia telahpun menyediakan garis panduan yang harus dipatuhi oleh Majikan sejak terjadinya wabak Covid-19 ini.
Antara tanggungjawab yang patut dipatuhi oleh Majikan adalah:
1) Majikan hendaklah menyediakan:
a) alat saringan suhu badan dan mengambil bacaan suhu badan pekerja pada setiap hari;
b) Menyediakan “hand sanitizer” dan melaksanakan proses sanitasi dan pembersihan yang diperlukan
c) Garis panduan bagi “social distancing” disediakan dan dilaksanakan
2) Majikan hendaklah mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minima (sekurang-kurangnya sebanyak 50% daripada jumlah semasa);
3) Majikan harus memastikan pergerakan terhad pekerja
4) Sekiranya terdapat pekerja yang baru pulang dari negara yang mempunyai jangkitan kes coronavirus, majikan boleh mengarahkan pekerja itu menjalani pemeriksaan kesihatan secara serta-merta dimana kos pemeriksaan akan ditanggung oleh Majikan selaras dengan Seksyen 60F Akta Kerja 1955.
5) Sekiranya pekerja diarahkan oleh doktor yang bertauliah untuk kuarantin (sama ada di rumah atau di hospital), majikan TIDAK BOLEH memotong gaji pekerja tersebut untuk tempoh kuarantin tersebut. Majikan harus memberi cuti sakit bergaji kepada pekerja tersebut.
6) Majikan tidak boleh mengarahkan pekerja menggunakan peruntukan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh kuarantin

Selanjutnya Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.5/2020 di Lampiran 25 telah menyarankan langkah-langkah pencegahan yang patut dipatuhi oleh pekerja di tempat kerja seperti berikut:
a) Perlu mematuhi prosedur sanitasi dan penjagaan kebersihan diri
b) Perlu memakai “surgical mask”
c) Pekerja digalakkan makan di meja/kubikel sendiri
d) Menghadkan perkongsian makanan di tempat kerja
Jelas daripada huraian di atas majikan dan pekerja mempunyai tanggungjawab bersama untuk mengambil langkah-langkah pencegahan wabak Covid-19 ini.
Justeru itu Majikan dan pekerja haruslah berganding bahu secara bersama membanteras wabak Covid-19 dengan mematuhi peruntukan garis panduan yang disediakan kerana tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Sama-samalah kita memerangi Covid-19.
DISCLAIMER:
Artikel ini ditulis oleh Geetha Arumugam. Peguam dari Team Tanya Peguam Anda.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.