
Boleh saman ganti rugi atau tidak? Apa hukumannya?
Kalau jujur, mesti banyak nyawa yang diselamatkan. Kerana seorang individu yang pergi ke Italy (Kluster Italy) sebelum PKP dan kerana dia dikatakan gagal untuk kuarantin diri sendiri, telah mengakibatkan 37 orang yang lain dijangkiti dan 5 orang meninggal dunia.
Apa tindakan undang-undang bagi mereka yang menipu dan tidak jujur? Bagaimana dengan nasib ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia?
Saya rujuk Seksyen 12 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), memperuntukan bahawa jika anda tahu anda berpenyakit atau percaya anda mempunyai sesuatu penyakit berjangkit dan pergi ke tempat awam dan menggunakan perkhidmatan awam sehingga mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan. Anda bersalah dibawah Seksyen 12 ini.

Elemen kesalahannya:
1. Anda tahu ada berpenyakit; atau
2. Anda percaya anda mempunyai sebab untuk berpenyakit COVID-19.
Merujuk kepada kes Kluster Italy yang gagal untuk kuarantin diri sendiri dan menjalani hari seperti biasa dengan menyebarkan jangkitan. Dan satu kes, penularan wabak oleh seorang lelaki yang baru pulang dari Korea yang enggan beri kerjasama dan meminta agar dilepaskan secara pelepasan At-Own Risk dari hospital walaupun telah ditahan.
Pada pendapat saya mereka percaya ada sebab untuk mempunyai penyakit Covid-19. Mana mungkin mereka tidak mempercayai berkemungkinan berpenyakit? Pulang dari kedua-dua negara yang jangkitannya tinggi pada waktu itu. Pasti mereka tahu risikonya. Tambah pula jangkitan ini telah jadi isu dunia. Tak mungkin tidak tahu?
Samalah juga kesnya dengan mereka yang lain-lain yang tidak jujur seperti yang banyak dikongsikan dalam media sosial. Mereka tahu tetapi tidak jujur, kemudian merisikokan orang awam, di klinik, di hospital dan tempat-tempat lain, sehingga orang lain berjangkit.
Mereka ini boleh dihukum dibawah Seksyen 22 Akta 342. Bagi kesalahan pertama maksimum 2 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali. Kesalahan kedua atau berikutnya maksimum 5 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ini adalah kesalahan di antara si pelaku dengan pihak pendakwaan. Bagaimana pula dengan ahli keluarga, yang kehilangan mereka tersayang?
Ahli keluarga boleh menyaman dan menuntut ganti rugi selaras dengan Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956 iaitu ganti rugi oleh ahli keluarga kerana kematian yang diakibatkan oleh perbuatan salah, kecuaian, kelalaian oleh pihak yang menjadi punca kematian.
Kiraan ganti rugi berbeza-beza mengikut jumlah gaji, umur dan terdapat formula kiraan. Ada yang sehingga ratusan ribu ringgit atau jutaan. Semuanya bergantung kepada beberapa faktor dan formula kiraan.
Kenapa saya menggunakan Seksyen 7 ini sebagai alasan untuk menuntut? Kerana si pelaku ini berbohong dan menyebabkan kematian kepada yang lain. Mereka sedar mereka berkemungkinan mempunyai penyakit Covid-19 ini setelah pulang dari luar negara, tetapi mereka tidak jujur. Jadi perbuatan mereka salah. Mereka cuai dan lalai untuk menjaga keselamatan orang lain.

Artikel ini saya pernah tulis, sebelum bermula PKP berkenaan orang yang berpenyakit tapi masih berlegar-legar. Saya juga ada merujuk kepada kes Kerajaan Malaysia & ORS v. Lay Kee Tee & ORS [2009] 1 CLJ 663. Baca di link di ini untuk makluman kes yang lebih panjang.
Dalam kes ini, tuntutan ganti rugi oleh 184 orang akibat virus Nipah/Japanese Encaphalities (JE) terhadap kerajaan kerana atas alasan kerajaan cuai dan gagal bertindak dengan cepat untuk mengawal virus dari tersebar sehingga menyebabkan beberapa kematian. Mereka menuntut ganti rugi iaitu dan keseluruhannya lebih kurang RM1.6 juta.
Bermakna, kes tuntutan berkenaan ganti rugi akibat penularan wabak ini pernah dituntut dan difailkan di Mahkamah. Bukan sahaja anda bakal menghadapi hukuman penjara tuntutan malah perlu membayar ganti rugi yang tinggi.
Berlaku jujurlah. Jangan menipu. Kerana penipuan anda boleh meragut nyawa yang lain. Fikir atau tidak nyawa yang terkesan itu? Mungkin dia bekeluarga, mungkin anaknya masih bayi, mungkin hanya dia yang mencari sumber pendapatan untuk keluarga, mungkin kerana anda yang menjangkitkan sehingga terkena kepada anaknya yang masih bayi.
Perkara begini tidak perlu disekolahkan dengan undang-undang. Diri sendiri perlu ada kesedaran sivik dan perkemanusiaan juga. Kehidupan ini bukan pasal anda seorang yang pentingkan diri sendiri, tentang nyawa orang lain. Berhentilah bersikap pentingkan diri.
Maklumat berkaitan kes ‘Kluster Itali’ boleh dibaca disini.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.