Plague Doctor Bakteria Yersinia Pestis
Yersinia Pestis, mungkin ada yang menganggap ini adalah nama saintifik tumbuh-tumbuhan bukan? Namun hakikatnya, Yersinia Pestis ini merupakan nama satu bakteria yang telah meragut 50 juta nyawa dalam tempoh 5 tahun.
Wabak yang terkenal dengan nama Black Death ini dikatakan telah melenyapkan 30% ke 60% daripada jumlah populasi di Eropah ketika itu.
Bakteria ini akan menyebabkan wabak berlaku dalam 3 keadaan iaitu ‘pneumonic’ (menjejaskan paru-paru), ‘septicemic’ (jangkitan dalam darah), and ‘bubonic’ (bengkak atau benjolan di bahagian ketiak dan pangkal paha).
Tahun 1347, seperti hari kebiasaannya Pelabuhan Messina di Italy sibuk dengan orang ramai. Siapa tahu itu adalah hari dimana bermulanya satu wabak yang sangat mengerikan di Eropah.
Pada hari itu, 12 kapal yang belayar daripada Laut Hitam (Black Sea) telah berlabuh di pelabuhan itu. Apa yang kelihatan adalah mayat-mayat anak kapal yang bergelimpangan.
Ada juga anak kapal yang masih hidup tetapi berada dalam keadaan yang sangat teruk dan hampir mati. Di badan mereka kelihatan benjolan-benjolan berwarna hitam yang mengeluarkan darah dan nanah.

Seperti yang ditulis oleh penyair Italy iaitu Giovanni Boccaccio, “In men and women alike at the beginning of the malady, certain swellings, either on the groin or under the armpits…waxed to the bigness of a common apple, others to the size of an egg, some more and some less, and these the vulgar named plague-boils.”
Kemudian, bermula pula simptom-simptom lain seperti demam, kesejukan, muntah-muntah, cirit-birit, kesakitan yang teruk dan barulah orang yang dijangkiti menemui ajalnya.
Bakteria yang menyebabkan wabak ini pada asalnya dibawa oleh keluarga tikus liar yang lazimnya tinggal dalam bilangan yang banyak di suatu tempat. Kawasan tempat tinggal tikus ini dikenali sebagai ‘plague focus’.
Manusia pula akan dijangkiti oleh wabak ini apabila terdapat tikus-tikus yang tinggal di kawasan penempatan manusia (lazimnya tikus hitam) mendapat jangkitan daripada tikus liar tadi. Selalunya jangkitan ini mengambil 1-7 hari masa inkubasi sebelum seseorang itu jatuh sakit.
Anak-anak kapal yang berlabuh di Pelabuhan Messina sebenarnya dijangkiti oleh wabak ini apabila tikus-tikus di atas kapal yang menjadi perumah kepada kutu tikus mati akibat jangkitan bakteria Yersinia Pestis. Hal ini menyebabkan kutu yang ada pada tikus tersebut perlu mencari perumah yang baru.

Kutu-kutu ini pula kemudiannya menjangkiti manusia melalui pakaian mereka. Seterusnya ,menyebabkan jangkitan antara manusia dan manusia pula berlaku terutamanya di kawasan yang mempunyai populasi penduduk yang tinggi.
Menurut artikel daripada The New York Times, terdapat satu kajian berkenaan Black Death telah dijalankan oleh ahli genetik perubatan (medical geneticist).
Dapatan yang ditemui ialah, wabak ini berasal daripada spesies tikus yang ditemui di China. Menurut kajian itu lagi, wabak ini tersebar ke Eropah daripada kapal-kapal perdagangan yang melalui Jalan Sutera (Silk Road).
Antara sebab mengapa wabak ini begitu teruk melanda Eropah adalah berpunca daripada keadaan persekitaran yang kotor yang memudahkan lagi pembawa bakteria seperti tikus membiak sekali gus memudahkan penyebaran wabak.
Dalam percubaan untuk merawat pesakit yang dijangkiti, doktor-doktor pada zaman itu menggunakan beberapa cara seperti mengeluarkan darah dari badan pesakit (bloodletting), membuat hirisan di kulit untuk mengeluarkan nanah (boil-lancing) serta upacara seperti membakar herba untuk kesan aromatik dan mandian menggunakan air bunga ros atau cuka. Baju-baju yang dijangkiti pula dibakar.

Pada masa itu, mereka juga percaya bahawa wabak ini tersebar secara melalui udara (airborne). Doktor-doktor yang merawat wabak ini dikatakan memakai satu topeng berbentuk paruh yang dipercayai boleh mengelakkan mereka dijangkiti. Di dalam paruh itu diletakkan bunga-bunga kering, herba dan juga rempah-ratus.
Apabila tidak berjaya dan mula berasa panik, banyak doktor-doktor yang menolak untuk merawat pesakit, orang yang sihat pula akan mengelak untuk berjumpa dengan yang sakit.
Ramai juga di antara mereka yang melarikan diri ke kampung-kampung yang masih belum dijangkiti waktu itu sehingga sanggup meninggalkan orang tersayang atau ahli keluarga yang sakit.
Masyarakat pada zaman itu turut percaya bahawa wabak ini merupakan satu bentuk hukuman daripada tuhan disebabkan dosa yang dilakukan seperti sikap tamak.
Dengan itu, ada di antara mereka yang berusaha untuk memohon keampunan dengan menghapuskan orang-orang yang dianggap telah melakukan dosa. Kesannya ialah berlaku peristiwa pembunuhan beramai-ramai yang melibatkan ribuan orang Yahudi (Jews) pada tahun 1348 and 1349.

Satu-satunya cara untuk mengekang wabak ini pada waktu itu adalah dengan cara melakukan kuarantin. Semua sempadan ditutup dan sesiapa yang ingin memasuki tempat tersebut perlu mengemukakan satu pasport kesihatan individu.
Tempoh kuarantin ini adalah selama 40 hari lamanya. Selepas berlakunya Black Death, kapal-kapal yang datang ke pelabuhan perlu menunggu selama tempoh kuarantin itu sebelum dibenarkan berlabuh untuk memastikan tiada wabak atau penyakit dibawa.
Selain Black Death, bakteria Yersinia Pestis ini juga telah menyebabkan beberapa wabak lain berlaku iaitu Great Plague of London, Great Fire of London dan Third Pandemic.
Pada tahun 2010 hingga 2015, terdapat 3248 kes direkodkan di seluruh dunia dengan 584 kematian disebabkan bakteria ini. Pada masa kini, masyarakat dunia mempunyai banyak pengetahuan dan kemudahan teknologi untuk lebih bersedia menghadapi wabak-wabak ini.

Vaksin dan antibiotik adalah antara penemuan penting yang membolehkan kita menangani wabak-wabak ini. Tambahan lagi, jika dibandingkan dengan zaman pertengahan, masyarakat moden hidup dalam persekitaran yang lebih bersih dan selamat.
Setiap negara juga dilengkapi dengan organisasi yang mempunyai kepakaran untuk menangani penyebaran pelbagai jenis penyakit. Malaysia contohnya, mempunyai Pusat Rujukan Penyakit Berjangkit Kebangsaan iaitu Hospital Sungai Buloh.
Namun apa yang paling penting adalah kesedaran masyarakat sendiri tentang pentingnya tanggungjawab mereka dalam memastikan wabak ini terkawal dengan mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh menyebarkan wabak ini.
Contohnya, dengan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).
DISCLAIMER:
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.