Bolehkah Majikan Memotong Gaji Pekerja Dalam Keadaan Kewangan Yang Mendesak Disebabkan COVID-19?

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pastinya ada beberapa syarikat kecil atau perniagaan berskala kecil yang terkesan kerana masalah mengumpulkan keuntungan dan sekaligus terpaksa menanggung kos operasi syarikat termasuk gaji pekerja.

Persoalannya bolehkah Majikan memotong gaji pekerja dalam keadaan kewangan yang mendesak ini?

Menurut Akta Pekerjaan 1955, majikan sememangnya tidak dibenarkan memotong gaji pekerja atas dasar penutupan syarikat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sekiranya anda adalah pekerja di luar skop Akta Pekerjaan 1955, sebarang hak untuk potongan gaji adalah bergantung kepada peruntukkan di dalam kontrak pekerjaan yang ditandatangani di antara majikan dan pekerja.

Namun demikian, sekiranya keadaan kewangan majikan betul-betul tidak mengizinkan, apakah langkah yang boleh diambil oleh Majikan? Terutama dalam keadaan PKP.

Majikan bolehlah berunding berkenaan pemotongan gaji dengan pekerja terlebih dahulu dan mendapatkan persetujuan pekerja sebelum membuat pemotongan gaji.

Selalunya hujahan di mahkamah adalah berlandaskan oleh Akta dan juga dari keputusan kes terdahulu yang pernah diputuskan oleh Mahkamah.

Misalnya dalam kes Lim Ban Leong vs Gold Bridge Engineering & Construction [2017] 1 LNS 0370 di mana Mahkamah Perusahaan memutuskan bahawa:

However, if the company is facing losses and is trying to fight off closure of its business or retrenchment of its employees, the company can appeal to the employees to ride through the rough times with it and take a salary cut which can then be reinstated and increased when the business picks up again.

Mahkamah berpendapat dalam keadaan sekiranya sesebuah syarikat berdepan dengan masalah penutupan atau pembuangan pekerja, majikan boleh merayu kepada pekerja supaya mengharunginya bersama-sama misalnya secara potongan gaji.

Kemudian syarikat boleh membuat bayaran semula bagi potongan atau kenaikan selepas perniagaan kembali pulih.

Ini adalah salah satu kes yang diputuskan di mahkamah berkaitan dengan isu sekiranya majikan berdepan dengan situasi masalah kewangan yang teruk, pun begitu majikan perlu membuktikan di mahkamah bahawa keadaan kewangan syarikat sangat teruk serta menanggung kerugian misalnya dengan mengemukakan laporan audit, bukti syarikat disaman oleh penghutang atau apa sahaja bukti yang menyokong.

Pada hakikatnya ini adalah langkah terakhir (“last resort”) yang boleh di ambil oleh majikan sekiranya keadaan kewangan syarikat betul-betul tidak mengizinkan.

Pada kebiasaannya majikan akan mengambil tindakan sebegini bagi mengelakan situasi pembuangan pekerja yang dikenali sebagai “retrenchment”.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha dan Geetha Arumugam. Peguam-peguam dari Team Tanya Peguam Anda.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: