Cancer Scam

Setiap hari, pasti ada saja hantaran (post) memohon bantuan atau sumbangan dikongsi di laman Facebook terutamanya untuk membantu pesakit-pesakit yang tidak mempunyai dana untuk menjalani rawatan.  Pelbagai  usaha “crowfunding” dilakukan bagi membantu individu-individu ini tanpa mengira bangsa dan agama dan sudah tentu kita akan berasa gembira jika dapat memberi  walau sedikit sumbangan dalam usaha menyembuhkan seseorang itu.

Namun begitu, tahukah anda ada individu-individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas sifat prihatin orang ramai yang bersimpati dengan individu yang kononnya berpenyakit ini? Perkara ini dikenali sebagai Munchausen by Internet. Munchausen by Internet ini adalah satu gangguan psikiatri dimana seseorang itu akan berbohong tentang penyakit yang dihidapi oleh dirinya sendiri, anak ataupun ahli keluarga yang lain untuk mendapatkan perhatian, simpati atau untuk memberi keyakinan kepada diri di internet.

Berikut adalah antara contoh kes-kes dimana individu itu berbohong tentang penyakit kanser. Kes-kes ini juga dikenali sebagai “Cancer Scam”. Di Amerika Syarikat, seseorang itu boleh membuat laporan kepada American Cancer Society jika mengesyaki ada individu terlibat dengan “ Cancer Scam” ini.

1. Cristina Lagman (2015)

Christina Lagman adalah seorang wanita berumur 39 tahun dan berasal dari California yang mendakwa dia sedang berdepan dengan Kanser Payudara. Di laman Facebooknya, terdapat banyak gambar-gambar Cristina dalam keadaan botak dengan T-shirt kesedaran tentang Kanser Payudara. Tujuannya untuk meyakinkan orang ramai yang dirinya telah menjalani rawatan kemoterapi, radiasi dan pembedahan bagi penyakit itu.

Dia juga rajin bercerita tentang kisah hidupnya sebagai seorang ibu tunggal dan menulis surat untuk anak-anaknya apabila dia sudah meninggal dunia. Menurut Christina, selain Kanser Payudara, dia juga telah didiagnos dengan Kanser Serviks, Kanser Buah Pinggang dan Kanser Rahim. Penipuannya akhirnya terbongkar apabila kawan-kawannya di Facebook mula berasa syak kerana dia tidak berkelakuan seperti orang yang benar-benar sakit.

Siasatan polis mendapati dia tidak pernah menjalani sebarang rawatan kanser. Menurut mangsa penipuan ini, Cristina ada mengedarkan beberapa beg  bewarna pink yang bertulis “Cancer Sucks” untuk mengutip derma dan ramai orang yang memberi sumbangan. Cristina mengaku salah atas tuduhan membuat dakwaan palsu dan perlu memulangkan semula kutipan derma yang diperolehinya.

2. Brandi Lee Weaver-Gates (2016)

Pada tahun 2013 Brandi yang juga bekas ratu cantik memberitahu ahli keluarga dan rakan-rakannya, yang dia menghidapi Leukemia. Khabar sedih ini menyebabkan mereka mula mengadakan kutipan derma untuk membantu Brandi. Brandi juga tidak lagi perlu memandu jka ingin ke hospital untuk menjalani rawatan. Sentiasa ada yang menawarkan diri untuk membantu membawanya ke sana.

Keluarga dan rakan-rakannya mula mengesyaki dia berbohong apabila dia bertegas mahu menghadiri sesi kemoterapi secara bersendirian. Walaupun dia mencukur rambutnya untuk kelihatan seperti pesakit yang menjalani kemoterapi, rambut dilihat tumbuh semula. Tidak seperti pesakit sebenar. Apabila pihak hospital dihubungi, mereka mendapati tiada sebarang rekod yang menujukkan Brandi pernah menjadi pesakit disitu atau menghidapi Leukemia.

Brandi dijatuhkan hukuman penjara 2 hingga 4 tahun dan dikenakan 5 tahun tempoh percubaan atas tuduhan mencuri secara menipu dan menerima barangan curi. Dia mengaku telah menerima wang sebanyak $30,000 dan telah melakukan frod kepada 150 individu. Antara yang dikatakan pihak pendakwa ialah  “She actually stole that time and money from giving people who were actually suffering from cancer, some of whom lived near her and have since passed.”

Oleh itu pihak pendakwa menganggap perbuatan Brandi adalah satu perkara yang tidak dapat diterima, lebih-lebih lagi sebagai seorang “public figure” . Gelaran Miss Pennsylvania U.S yang diterimanya ditarik semula dan dia perlu memulangkan semula wang yang diterima daripada orang ramai.

3. Belle Gibson (2017)

Sebagai seseorang yang mempunyai kerjaya sebagai seorang “Wellness Guru”, Belle Gibson adalah seseorang yang agak dikenali. Terlebih lagi, dia merupakan seorang usahawan dan pengasas kepada aplikasi The Whole Pantry, satu aplikasi yang membantu individu untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan memberikan nasihat berkaitan diet seimbang, cara mengatasi masalah obesiti dan elergi serta cara untuk menjaga tubuh badan.

Aplikasi ini juga menawarkan nasihat untuk aktiviti Yoga dan perubatan secara holistik. Dia juga menulis satu buku masakan dengan nama yang sama. Belle mendakwa dia menghidapi Kanser Otak namun tidak mendapatkan sebarang perawatan moden. Katanya, dia berjaya menyembuhkan dirinya sendiri melalui diet, senaman dan terapi alternatif.

Selain itu, dia juga mendakwa telah menyumbangkan sejumlah wang hasil daripada keuntungan yang diperoleh daripada aplikasi dan buku masakannya kepada beberapa badan kebajikan. Belle sebenarnya tidak menghidapi Kanser Otak, malah dia juga telah menipu tentang umur dan juga kehidupan peribadinya.

Belle Gibson dikenakan denda sebanyak $410,000 atas kesalahan melanggar undang-undang pengguna (Consumer Law). Siasatan menunjukkan dia mengaut keuntungan sebanyak $440,500 daripada jualan aplikasi dan buku masakan, namun hanya menyumbangkan sebanyak $10,000 daripada jumlah itu kepada badan kebajikan. Sepanjang tahun 2017 hingga 2019, dia telah membelanjakan sebanyak $91,000 termasuk $13,000 ke atas pakaian, kosmetik dan perhiasan.

4. Jessica Smith (2019)

Jessica Smith ditahan kerana membuat kenyataan palsu tentang penyakit Kanser Kolon yang dihidapinya dan mengutip derma melalui laman GoFundMe dan Facebook. Melalui laman tersebut, dia mendakwa sedang berdepan kesukaran akibat bil perubatan, kos perjalanan dan bayaran lain berkaitan penjagaan anaknya serta tidak boleh bekerja kerana sedang menjalani  rawatan. Jumlah kutipan adalah bernilai $10,000.

Jessica juga berbohong tentang kematian bapanya semata-mata supaya dia tidak perlu hadir ke tempat kerja. Terdapat beberapa perkara yang menunjukkan dia sebenarnya berbohong seperti apabila dia mendakwa sedang dia dirawat di “Abraham Cancer Center”, dia sebenarnya merujuk kepada Abramson Cancer Center.

Pusat  Kanser tersebut  juga tidak mempunyai sebarang rekod Jessica yang menunjukkan dia telah dirawat bagi penyakit kanser di situ. Suami Jessica juga memberitahu pihak polis yang dia sebenarnya tidak mempunyai kanser dan dia dilindungi di bawah polisi insurans kesihatan pekerja.

Apabila pembohongannya tersebar secara online, dia sedaya upaya mempertahankan dirinya. Katanya, “If anyone straight up came up to me and said, ‘I think you’re faking this,’ I literally would say, ‘Okay, you’re coming to chemo with me on Monday’”. Setakat hari ini, dia masih menunggu untuk dibicarakan.

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: