Death of Caylee Anthony

Caylee Anthony (2 tahun)

Caylee Anthony adalah seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 2 tahun pada 2008. Si kecil ini tinggal bersama ibunya, Casey Anthony dan datuk serta neneknya, George dan Cindy Anthony di Orlando, Florida.

Menurut seorang rakan Casey, Caylee adalah seorang kanak-kanak yang pintar yang gemar bercakap dan menari. Dia juga sangat suka menonton rancangan kartun Pink Panther. Casey pula adalah seorang ibu yang sangat penyayang, selalu memberi perhatian dan bersikap terlalu melindungi anaknya. Ibu penyayang ini sudah tentu tidak akan sesekali mengabaikan anaknya.

Pada suatu hari, Casey membawa Caylee keluar dari rumah keluarga Anthony dan tidak pulang ke rumah selama 31 hari. Casey mendakwa bahawa dia sedang sibuk bekerja. Apabila ibunya bertanya mengenai keberadaan Caylee, Casey akan memberikan pelbagai jawapan yang berbeza

Casey Anthony dan Caylee

Antara jawapan yang diberikan ialah Caylee sedang bersiar-siar bersama pengasuhnya Zenaida “Zanny” Fernandez-Gonzalez di taman tema ataupun di pantai. Tidak lama kemudian, bapa Casey Anthony, mendapat tahu tentang kereta Casey yang berada di tempat pengumpulan kereta (Tow Yard).

Dia kemudiannya pergi ke sana untuk mendapatkan kereta itu semula namun mendapati ada bau busuk datang daripada kereta tersebut. Walaupun bau busuk itu mungkin datang daripada sampah yang berada dalam kereta tersebut, George dan Cindy Anthony percaya bahawa bau itu merupakan bau mayat yang sedang mereput.

Cindy dan George Anthony

Oleh itu, Cindy bertindak untuk melaporkan tentang kehilangan Caylee melalui talian kecemasan 9-1-1. Dia melaporkan bahawa sudah 31 hari dia tidak melihat Caylee dan mengatakan bahawa kereta anaknya Casey berbau seolah-olah ada mayat pernah berada di dalamnya.

Casey akhirnya mengaku yang Caylee sudah lama hilang. Sudah beberapa minggu sejak kali terakhir Caylee dilihat. Satu perkara yang sangat pelik kerana Casey ini tidak membuat laporan mengenai kehilangan anaknya.

Sebagai seorang ibu, mustahil dia tidak berasa risau apabila anaknya yang baru berusia 2 tahun tidak ditemui walaupun hanya untuk seketika. Inikan pula sebulan lamanya.

Apabila pihak polis menyoal Casey dia mengaku bahawa dia terlalu takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa. Dalam kenyataan Casey kepada pihak polis, Caylee telah diculik oleh pengasuhnya sendiri pada bulan Jun dan Casey sedang berusaha untuk mencari Caylee.

Siasatan lanjut yang dijalankan mendedahkan bahawa walaupun individu bernama Zenaida “Zanny” Fernandez-Gonzalez ini benar-benar wujud namun dia tidak pernah menjadi pengasuh Caylee selama ini seperti yang diberitahu Casey. Dia juga tidak pernah sama sekali bertemu dengan mana-mana ahli keluarga Anthony mahupun rakan-rakan Casey.

Selain itu, Casey juga memberitahu pihak polis bahawa dia bekerja di Universal Studio seperti yang diberitahu selama ini kepada ibu bapanya. Menyedari yang Casey mungkin tidak berkata benar, pihak polis meminta Casey untuk membawa mereka ke Universal Studio dan menunjukkan di mana letakkan ruang tempat dia bekerja.

Laluan yang digunakan Casey semasa di Universal Studio

Casey membawa pihak polis ke sekitar studio tersebut sebelum mengaku yang dia telah pun dibuang kerja beberapa tahun sebelum itu. Dia ditahan buat pertama kali pada Julai 2008 atas kesalahan memberi kenyataan palsu, pengabaian kanak-kanak dan menghalang siasatan jenayah tetapi dilepaskan selepas itu dengan jaminan sebanyak $ 500,000 serta perlu memakai alat pengawasan elektronik.

Ogos 2008, Roy Kronk, seorang pembaca meter (Meter Reader) telah menghubungi pihak polis untuk melaporkan tentang objek mencurigakan yang ditemuinya di kawasan hutan berdekatan kediaman keluarga Anthony namun panggilan tersebut tidak dijawab.

Roy kemudiannya bertemu dengan dua orang pegawai polis dan melaporkan yang dia ada melihat satu tengkorak bersama beg berwarna kelabu. Pihak polis bertindak untuk membuat carian di kawasan hutan tersebut namun tidak menjumpai apa yang dilaporkan oleh Roy.

Pada Disember 2008, Roy sekali lagi menghubungi pihak polis dan akhirnya pada 11 Disember, pihak polis menemui sebahagian rangka milik Caylee Anthony yang berada dalam satu beg sampah di kawasan hutan tersebut. 6 bulan selepas kehilangannya.

Dalam masa 4 hari selepas penemuan itu, pihak polis berjaya menemui bahagian tulang-tulang yang lain di beberapa kawasan sekitar tempat penemuan yang pertama. Pihak penyiasat turut menemui pita pelekat di bahagian mulut.

Menurut Pegawai Patologi Forensik, pita pelekat itu mungkin digunakan untuk memastikan supaya Caylee tidak menjerit. Pita ini juga turut ditemui di bahagian rambut mangsa. Ini memberi petunjuk bahawa kemungkinan Caylee telah melalui perkara yang sangat kejam sebelum kematiannya.

Menurut pihak pendakwa raya, motif pembunuhan mungkin kerana Caylee merupakan satu penghalang bagi Casey yang gemar berparti dan menghabiskan masa dengan teman lelakinya.

Selain itu terdapat juga barang-barang milik Caylee seperti selimut Winnie the Pooh seperti yang digunakan di rumah datuk dan neneknya. Antara bukti lain yang dibentangkan kepada pihak mahkamah adalah rekod carian Google daripada komputer yang boleh diakses oleh Casey.

Terdapat beberapa carian kata kunci di internet dilakukan, antaranya ialah “neck breaking” dan “how to make chloroform”. Walaupun pada mulanya pihak penyiasatan mendapati carian ini telah dilakukan sebanyak 84 kali, siasatan selanjutnya mendapati bahawa perisian yang digunakan untuk memeriksa carian ini sebenarnya membuat kesilapan.

Sebenarnya carian mengenai khloroform hanya dilakukan sebanyak satu kali. Menurut penyiasat lagi, terdapat 2 akaun menggunakan komputer tersebut, oleh yang demikian tiada cara boleh menentukan siapa sebenarnya yang telah melakukan pencarian maklumat itu.

Saksi-saksi yang dipanggil seperti ibu bapa Casey juga tidak dapat membuktikan bahawa Casey yang membunuh Caylee. Cindy Anthony mendakwa apabila dia berkata kereta itu berbau “like someone died” ia hanyalah “figure of speech”.

Tambahan lagi, saksi lain seperti pegawai polis yang mengendalikan anjing pengesan menyatakan bahawa anjing pengesannya ada mengesan bau proses penguraian (decomposition) pada bulan July namun tidak dapat mengesan apa-apa semasa pencarian kali kedua dijalankan.

Berkemungkinan punca bau tersebut telah pun dipindahkan ke tempat lain. Faktor masa yang terlalu lama juga mungkin menyebabkan apa yang berada di situ telah terhapus.

Walaupun Casey didakwa atas beberapa tuduhan iaitu “first degree murder, aggravated child abuse, aggravated manslaughter of a child, and four counts of providing false information to police”, Casey hanya didapati bersalah bagi tuduhan memberikan maklumat palsu kepada pihak polis sahaja memandangkan kekurangan bukti forensik tidak dapat membuktikan dia yang melakukan pembunuhan.

Hakim menjatuhkan hukuman setahun penjara dan denda sebanyak $1000 bagi setiap 4 tuduhan memberi maklumat palsu kepada pihak berkuasa. Dia juga menerima 1043 hari kredit bagi tempoh menjalani hukuman serta kredit tambahan bagi kelakuan baik. Casey Anthony dibebaskan pada July 2011.

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: