
Dalam tempoh mencabar yang disebabkan oleh wabak COVID-19, ramai antara kita yang terjejas dan hilang punca pendapatan. Ramai yang terpaksa meminta bantuan dan ramai juga yang membantu. Dalam tempoh ini juga dapat kita lihat betapa murahnya hati rakyat Malaysia.
Langsung tidak teragak-agak dalam menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tidak kira sama ada dalam bentuk kewangan mahupun barangan. Di Malaysia, kita selalunya akan berasa simpati akan nasib seseorang yang mungkin dilihat kurang baik berbanding kita. Sifat belas dan suka membantu ini sudah semestinya amat bagus dan digalakkan.
Namun begitu, kita juga perlu sedar bahawa di dunia ini, terdapat ramai orang yang suka mengambil kesempatan dengan menggunakan perasaan empati seseorang. Lebih teruk lagi jika seseorang itu mempergunakan orang lain untuk meraih simpati. Dalam satu kes yang berlaku di Amerika Syarikat, seorang ibu telah menjadikan anaknya sebagai alat untuk meraih simpati.

Pada tahun 2015, mayat seorang wanita bernama Claudine Blanchard yang juga dikenali sebagai Dee Dee ditemui dalam keadaan berlumuran darah di atas katil. Terdapat beberapa kesan tusukan dibadannya. Anaknya yang bernama Gypsy Rose pula gagal ditemui. Jiran-jiran mereka berasa risau dengan kemungkinan Gypsy Rose telah diculik. Tambahan lagi, keadaan Gypsy Rose yang mempunyai beberapa masalah kesihatan yang tidak memungkinkan dia untuk bergerak seperti orang lain.
Sejak Gypsy Rose masih kecil lagi, Dee Dee selalu merasakan bahawa anaknya itu mempunyai masalah kesihatan. Sewaktu masih bayi, Dee Dee telah berkali-kali membawa Gypsy Rose ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi masalah ‘Sleep Apnea’, satu keadaan dimana seseorang itu akan berhenti bernafas semasa sedang tidur. Hasil ujian pihak hospital pula mendapati Gypsy Rose tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
Semasa berumur 8 tahun pula, Dee Dee begitu yakin yang anaknya memerlukan pembedahan bagi kecederaan di bahagian lutut akibat kemalangan semasa menaiki motosikal. Hakikatnya kecederaan yang dialami Gypsy Rose hanyalah setakat luka tercalar (abrassion) yang tidak memerlukan sebarang pembedahan.
Setelah kemalangan ini, Gypsy Rose tidak lagi dibenarkan berjalan dan perlu menggunakan kerusi roda untuk kemana-mana. Sebenarnya, sebelum kemalangan ini berlaku lagi Gypsy Rose telah dipaksa untuk menggunakan alat bantuan berjalan walaupun dia sebenarnya tiada masalah untuk berjalan. Gypsy Rose juga tidak dibenarkan untuk ke sekolah.

Walaupun pada mulanya Dee Dee tinggal bersama ayah dan ibu tirinya, dia kemudiannya membawa anaknya untuk tinggal di satu rumah milik kerajaan yang diterima sebagai bantuan disebabkan masalah kesihatan anaknya, Gypsy Rose. Selalunya pasangan ibu dan anak ini akan menghabiskan masa mereka untuk pergi mendapatkan rawatan di pusat perubatan dan hospital kanak-kanak.
Menurut Dee Dee, Gypsy Rose memerlukan rawatan bagi masalah pendengaran,penglihatan dan sawan. Dia juga bertegas mengatakan yang Gypsy Rose mempunyai masalah otot (muscular distrophy) walaupun ujian yang dilakukan membuktikan Gypsy Rose tiada masalah tersebut.
Namun Dee Dee tetap berjaya mendapatkan persetujuan doktor untuk memberi preskripsi bagi ubat anti sawan setelah dia memberitahu doktor bahawa Gypsy Rose akan mengalami sawan sekali setiap beberapa bulan. Dalam tempoh ini, Gypsy Rose telah melalui beberapa pembedahan dan kerap-kali dibawa ke unit rawatan kecemasan walaupun untuk masalah kecil.

Dee-Dee dan Gypsy Rose kemudiannya berpindah ke satu pusat pelindungan bagi individu berkeperluan khas (Special Needs) setelah rumah mereka rosak akibat taufan Katrina. Di sini, Dee-Dee mendakwa, segala rekod perubatan dan dokumen kelahiran milik Gypsy Rose telah musnah akibat taufan. Oleh yang demikian, doktor di situ mencadangkan mereka dibantu untuk berpindah ke Missouri.
Setelah berpindah ke sana, Gypsy Rose menerima perhatian daripada pelbagai pihak terutamanya pihak media. Kisah tentang seorang ibu tunggal dan anaknya yang kurang upaya berjaya menyentuh hati ramai orang dan sudah tentu sesiapa saja yang melihat Gypsy Rose pasti akan percaya tentang apa yang diceritakan Dee Dee. Ini kerana keadaan fizikalnya benar-benar menunjukkan seolah-olah dia benar-benar mengalami pelbagai komplikasi penyakit.
Dee Dee mendapatkan rawatan Botox ke atas kelenjar air liur Gypsy Rose bertujuan untuk mengawal lelehan air liurnya. Kesan daripada rawatan ini dan ubat sawan yang digunakan, gigi-gigi Gypsy Rose reput dan perlu digantikan. Telinganya pula dipasang satu tiub untuk mengawal jangkitan telinga.
Rambutnya dicukur supaya dia kelihatan seperti pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi dan selalunya Dee Dee akan memakaikan Gypsy Rose rambut palsu atau topi. Apabila berada di luar rumah, Gypsy Rose perlu memakai tangki oksigen dan ‘feeding tube’. Sehingga usianya 20, Gypsy Rose dipaksa untuk makan cecair nutrisi tambahan bagi kanak-kanak. Keadaan fizikal Gypsy Rose sangat meyakinkan sehingga berjaya menyebabkan ramai pihak menghulurkan sumbangan.

Antara sumbangan orang ramai dan pihak kebajikan yang diterima ialah tiket penerbangan percuma untuk berjumpa dengan doktor di bandar Kansas, percutian ke Walt Disney World dan juga ‘backstage pass’ bagi konsert Miranda Lambert. Gypsy Rose juga menerima anugerah ‘2007 Child of the Year‘ daripada badan Oley Foundation, sebuah persatuan yang menyokong hak bagi pengguna ‘feeding tube’. Selain itu, satu badan kebajikan iaitu Habitat for Humanity turut membina sebuah rumah yang lengkap dengan laluan kerusi roda dan tab mandi panas (hot tub) bagi pasangan ibu dan anak ini.
Semasa Gypsy Rose berumur 18 tahun, Dee Dee melarang bekas suaminya, Rod Blanchard, memberitahu umur sebenar Gypsy Rose dan mendakwa anaknya itu masih berumur 14 tahun. Menurut jiran-jiran Dee Dee, Rod diceritakan sebagai seorang penagih dadah dan pemabuk serta tidak pernah menerima hakikat tentang masalah kesihatan anaknya. Dee Dee juga mendakwa Rod tidak pernah menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka walaupun sebenarnya, Rod ada menghantar sejumlah wang setiap bulan dan kerap menhantar hadiah untuk Gypsy Rose.
Gypsy Rose tidak mampu berbuat apa-apa walaupun tahu dia sebenarnya sihat. Ini kerana ibunya menggunakan kekerasan untuk mengawalnya. Apabila berada bersama orang lain, Dee Dee akan memegang tangan Gypsy Rose dan jika dia berkata sesuatu yang menunjukkan dirinya sihat, Dee Dee akan menggengam tangannya dengan lebih kuat sebagai amaran. Apabila mereka berduaan pula, dia akan dipukul menggunakan penyangkut baju.

Perkara ini berlanjutan sehinggalah pada tahun 2012, Gypsy bertemu teman lelakinya Nicholas Godejohn melalui internet. Nicholas mempunyai rekod jenayah dan sejarah penyakit mental. Kedua-dua mereka kemudiannya merancang untuk membunuh Dee Dee. Mengikut perancangan, Gypsy Rose akan membawa Nicholas masuk ke dalam rumah dan Nicholas akan membunuh Dee Dee yang sedang tidur. Selepas ibunya mati, Gypsy Rose dan Nicholas melarikan diri bersama sejumlah wang milik Dee Dee.
Apabila siasatan dijalankan, pihak polis menemui rakaman keselamatan yang menunjukkan Gypsy Rose memakai rambut palsu dan sedang berjalan tanpa sebarang bantuan. Gypsy Rose dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan membunuh darjah kedua. Manakala teman lelakinya, Nicholas dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Menurut Gypsy Rose, walaupun berasa kesal dengan pembunuhan ibunya, dia berasa lebih baik setelah ibunya tiada.

Kita seharusnya mengambil iktibar dari kisah ini. Adalah lebih baik sekiranya kita menyiasat dahulu kepada siapa sesuatu sumbangan atau bantuan itu diberikan kerana kadangkala, ada yang sengaja mengambil kesempatan menggunakan kisah sedih mereka bagi mengaut keuntungan. Berbagai kisah sedih diceritakan untuk menarik minat ribuan pengikut di media sosial. Mungkin juga dilakukan sebagai satu teknik pemasaran untuk melariskan jualan.
Respon baik dan bantuan yang diterima daripada masyarakat seolah-olah menjadi galakan kepada mereka. Kesannya, orang-orang ini mungkin akan melakukan perkara yang sama atau yang lebih teruk lagi secara berterusan asalkan mereka berjaya mendapatkan perhatian.
Seperti dalam kes ini, jika Gypsy Rose tidak berbuat-apa, besar kemungkinan dirinya akan terus diseksa dengan lebih teruk lagi oleh Dee Dee dan tidak mustahil akan benar-benar mengalami masalah kesihatan akibat rawatan-rawatan yang diterimanya meskipun dirinya sihat. Oleh itu, adalah digalakkan untuk memberikan sumbangan melalui sumber-sumber yang sah dan dipercayai sahaja.

DISCLAIMER:
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.