Kedudukan anak tidak sah taraf dalam undang-undang syariah.

Kedudukan anak tidak sah taraf dalam undang-undang syariah di Malaysia dinyatakan dalam 3 perkara utama, Hak Jagaan, Nafkah Anak, Faraid atau pembahagian pusaka.

Kerana untuk mengesahkan taraf seseorang anak itu wajib ada pernikahan yang sah diantara si bapa dan si ibu. Jika tiada ikatan, maka tiada asas untuk mengesahtarafkan anak tersebut dalam undang-undang atau meminta si bapa bertanggungjawab di atas hak jagaan atau nafkah atau menuntut faraid.

Definasi anak tidak sah taraf dalam undang-undang Syariah Malaysia adalah anak yang dilahirkan diluar nikah dan bukan dari persetubuhan yang syubhah.

Bagi Hak Jagaan Anak dan Nafkah Anak, Enakmen atau Akta Keluarga Islam di Malaysia menyatakan jelas bahawa ibu dan saudara mara ibu bertanggungan menjaga dan memberikan nafkah kepada anak tersebut kerana putusnya talian nasab keturunan antara anak dan bapa bagi mengharuskan pertanggungjawaban bapa itu pada anaknya.

Putusnya rantaian nasab antara anak dan bapa menyebabkan anak tersebut tiada hak pd perwarisan harta bapa tetapi berhak pada bahagian Faraid ibu.

Si bapa biologi pula atas dasar kemanusiaan walaupun tiada ikatan perkahwinan, wajib melayan anak biologinya sebaik-baiknya.

Dalam Fatwa kebangsaan tahun 2004 dan fatwa Negeri Selangor misalnya menyenaraikan kriteria anak tidak sah taraf:

1. Jika anak dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil zina, rogol atau secara saintifik yang bertentangan dengan hukum syara.

2. Anak yang dilahirkan kurang 6 bulan 2 lahzah (saat) kiraan takwim qamariah (180 hari) dari waktu imkan dukhul (kemungkinan persetubuhan berlaku) dan bukan hasil dari persetubuhan syubhah.

3. Anak yang dilahirkan lebih dari 6 bulan 2 lahzah qamariah dari segi waktu imkan dukhul selepas akad nikah yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut adalah anak tanpa nikah melalui iqrar mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat yang memenuhi hukum syara).

Walau apapun alasannya, anak tidak sah taraf berhak mendapat layanan terbaik daripada bapa dan ibunya seperti layaknya anak sah taraf.

Si bapa dan si ibu wajib bertaubat nasuha diatas kesilapan lampau dan memelihara anak-anak tersebut dengan sebaik-baiknya. Moga dosa lampau tertebus dengan memelihara anak-anak tersebut dan diampunkan dosa mereka oleh Allah taala.


DISCLAIMER:

Ditulis oleh Syafiah Sulaiman. Peguam dari Team Tanya Peguam Anda.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: