
Secara keseluruhannya tempoh PKP yang diarahkan oleh kerajaan adalah satu bulan setengah. Ramai yang menyokong tegas tindakan kerajaan Malaysia melanjutkan tempoh PKP ini memandangkan bilangan kes baharu yang direkodkan setiap hari masih berada di tahap yang membimbangkan.
Tetapi tidak dinafikan juga ramai yang menunjukkan protes atau meluahkan rasa tidak puas hati kerana lanjutan ini mungkin memberi kesan yang mendalam terhadap situasi kewangan masing-masing. Ada juga yang hendak PKP tamat segera kerana dah pening memikirkan resipi baru untuk dimasak buat keluarga.
Namun, apa yang hendak dibincangkan menerusi penulisan kali ini adalah contoh-contoh kesalahan yang paling biasa dilakukan oleh individu sepanjang tempoh PKP ini dan kesan kesalahan tersebut dari segi undang-undang.
- Menulis atau berkongsi tulisan-tulisan yang bersifat palsu, mengancam dan sebagainya kepada pihak ketiga.

Merujuk kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya seorang individu didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian (termasuk aplikasi media social seperti Facebook, Twitter, Instagram) untuk menghantar komunikasi yang palsu, bersifat mengancam, atau berbentuk lucah dan sebagainya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganaiya, mengugut atau mengganggu orang lain.
Oleh itu, sepanjang tempoh PKP ini, tidak hairan sekiranya kerajaan mengambil tindakan tindakan tegas terhadap golongan yang menulis atau menyebarkan berita-berita palsu yang boleh mengakibatkan huru hara atau menggangu gugat ketenteraman awam terutamanya di dalam tempoh yang genting seperti ini.
Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 233 ini, boleh didenda maksimum RM50,000.00 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga didenda selanjutnya sebanyak RM1,000.00 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan dilakukan.
2. Mengingkari PKP

Kesalahan mengingkari PKP ini dah semakin biasa kita dengar dan dilaporkan di dalam berita. Ramai orang yang masih degil untuk ‘stay at home’ dan memilih untuk melepak atau keluar rumah tanpa sebarang tujuan atau sebab yang munasabah.
Dari segi undang-undang, kebanyakan individu yang ditahan melakukan kesalahan ini akan didakwa di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan sekiranya sabit kesalahan, akan dihukum dibawah Peraturan 7 Peraturan yang sama iaitu denda maksimum RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Memandangkan tempoh PKP sudah memasuki fasa ketiga kini, sepatutnya tiada lagi kesalahan-kesalahan sebegini berlaku kerana rakyat sudah patut maklum berkenaan implikasi mengingkari arahan PKP ini.
Jangan sampai kerajaan Malaysia pun mengambil langkah mengupah ‘pocong’ seperti di Indonesia untuk berada di atas jalan raya pada waktu malam baru rakyat Malaysia takut nak keluar rumah, jadi teruskan lah mematuhi arahan kerajaan ya.
3. Menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas

Kesalahan ini adalah lebih serius. Baru-baru ini seorang lelaki telah direman sehari kerana antara kesalahan yang dilakukan adalah memaki pihak polis yang cuba menahannya. Antara 4 kesalahan yang dikenalpasti, salah satu adalah menghalang pihak polis menjalankan tugas di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Sabitan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara 2 tahun atau denda maksimum RM10,000.00 atau kedua-duanya sekali.
Walaupun Kanun Tatacara Jenayah mengatakan bahawa kesalahan di bawah Seksyen 186 ini adalah suatu kesalahan yang tidak boleh dijamin (non-bailable offence), harus diingatkan bahawa kuasa budi bicara adalah pada pihak Mahkamah untuk membenarkan atau menolak permohonan ikat jamin OKT atau Orang Kena Tuduh.
Jelas bahawa hukuman di bawah Kanun Keseksaan adalah lebih berat dan bertujuan untuk memberi teladan kepada si pelaku supaya tidak mengambil mudah dengan PKP ini.
Secara ringkas, ini adalah antara contoh-contoh kesalahan yang mungkin kita lakukan dengan sengaja atau tidak sengaja sepanjang tempoh PKP ini. Nasihat saya supaya kita sama-sama menghormati arahan kerajaan dengan mematuhi PKP ini kerana saya percaya ada kebaikan yang menanti kita setelah semua ini tamat.
DISCLAIMER:
Artikel ini ditulis oleh Rizwana Jamal Abdul Nazar. Peguam dari Team Tanya Peguam Anda.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.