Murder of Gabriel Fernandez

Helpless. Kamus Cambridge (Cambridge Dictionary) mendefinisikan perkataan “Helpless” sebagai “unable to care for yourself or protect yourself especially against danger”. Dalam kata lain, perkataan ini membawa maksud tiada keupayaan atau kuasa untuk melakukan sesuatu perkara.

Siapa pernah berada dalam situasi ini ? Jika anda melihat orang lain berada dalam situasi ini, apa yang akan anda lakukan?

The Trials of Gabriel Fernandez. Satu siri dokumentari yang ditayangkan di Netflix bermula 26 Februari 2020. Dokumentari ini menceritakan tentang kisah pembunuhan seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun bernama Gabriel Fernandez.

Pengarah dokumentari ini, Brian Knappenberger, berkata bahawa pihak produksi terpaksa menyediakan ahli terapi untuk bersedia sepanjang tempoh penghasilan dokumentari ini dijalankan. Hal ini membuktikan bahawa apa yang dilalui oleh Gabriel Fernandez sebelum pembunuhannya berlaku adalah sangat kejam dan mendatangkan trauma kepada orang lain, apatah lagi dirinya yang masih kanak-kanak.

Semenjak lahir, Gabriel dijaga oleh datuk saudara di sebelah ibu dan pasangan lelakinya. Oleh kerana datuk Gabriel tidak bersetuju dengan hubungan sesama jenis ini, dia membawa Gabriel pindah ke rumahnya sehinggalah pada tahun 2012.

Datuk saudara Gabriel, Micheal

Semasa berusia 7 tahun (2012) hak penjagaan Gabriel berjaya diperoleh oleh ibunya, Pearl Fernandez. Tujuan Pearl mendapatkan hak penjagaan adalah supaya dia dapat menerima pelbagai faedah daripada jabatan kebajikan yang disediakan untuk Gabriel.

Apabila Pearl mendapat hak penjagaan tersebut, keluarga Pearl ada menyuarakan tentang kebimbangan mereka berkenaan sikap Pearl yang selalu mengabaikan kanak-kanak namun tiada apa-apa dilakukan. Gabriel kemudiannya tinggal bersama ibu dan teman lelakinya yang bernama Isauro Aguirre selama 8 bulan berikutnya.

Pearl Fernandez dan Isauro Aguirre

Pada Mei 2013, Pearl Fernandez menghubungi talian kecemasan 9 -1-1 dan melaporkan bahawa Gabriel Fernandez sudah tidak bernafas. Apabila bantuan sampai, Gabriel ditemui sedang terbaring di atas lantai tanpa sebarang pakaian.

Ditubuhnya terlihat beberapa kesan kecederaan. Darah kelihatan di merata-rata tempat. Gabriel dikejarkan ke hospital namun dia disahkan mengalami kematian otak dan meninggal dunia 2 hari kemudian.

Berdasarkan autopsi yang dijalankan, kematian Gabriel adalah disebabkan kecederaan daya tumpul (Blunt Force Trauma). Siasatan mendapati sebelum kematian Gabriel, dia telah dipukul dengan teruk oleh Pearl dan Isauro selepas gagal mengemas barang permainannya.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Gabriel dipukul oleh Pearl dan Isauro. Sepanjang 8 bulan Gabriel tinggal bersama mereka, dia bukan sahaja telah dipukul malah telah diseksa dengan pelbagai bentuk penderaan.

Antaranya, dipaksa untuk memakan najis kucing, dipaksa untuk makan muntahnya sendiri, tidur dalam keadaan terikat di dalam almari kecil, disembur dengan semburan lada, dan dipaksa untuk memakan makanan yang telah basi atau tamat tempoh.

Bukan itu sahaja, Gabriel juga menerima pukulan yang menyebabkan tulangnya patah, dibakar di pelbagai bahagian badan, dibakar dengan rokok dan ditembak di beberapa bahagian badan seperti muka dan pangkal paha dengan pistol BB (BB Gun).

Pistol ini menggunakan butir-butir peluru yang lazimnya diperbuat daripada logam. Jika ditembak dari jarak dekat, ia boleh mengakibat kecederaan yang sangat serius.

Selain itu, mulut kanak-kanak ini juga disumbat menggunakan bandana dan sarung kaki. Giginya patah akibat dipukul menggunakan kayu pemukul (bat). Menurut adik-beradik Gabriel yang lain, Isauro juga pernah mencekik Gabriel hingga menyebabkan dia tidak boleh bernafas. Apabila Gabriel diseksa, ibunya dan Isauro akan mentertawakan dia. Terhibur dengan perbuatan kejam yang dilakukan.

Gabriel juga pernah dipaksa memakai pakaian wanita dan dipanggil “gay” oleh ibu dan teman lelakinya. Malah sebenarnya, ini adalah perkara pertama yang diberitahu oleh Isauro kepada pihak bantuan 9-1-1 yang datang semasa Gabriel dilaporkan tidak bernafas. Ini juga merupakan salah satu motif Gabriel didera.

Apa yang menyedihkan ialah Gabriel sebenarnya ada menunjukkan tanda-tanda yang jelas bahawa dia telah didera namun semuanya diabaikan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Gabriel pernah bertanya kepada gurunya, “Is it normal for your mum to hit you with a belt? Is it normal to bleed?”.

Pada suatu hari, Gabriel datang ke sekolah dalam keadaan mulut yang terluka. Apabila ditanya, dia menjawab bahawa ibunya menumbuk dia di bahagian mulut. Kepalanya pula dibotakkan dengan tidak sekata. Di kulit kepalanya terlihat kesan-kesan luka akibat dibakar dengan rokok yang mempunyai darah dan baru hendak sembuh.

Selepas kejadian ini, Gabriel sekali lagi datang ke sekolah dalam keadaan yang sangat teruk. Matanya kelihatan bengkak dan mukanya pula dipenuhi dengan lebam. Gurunya sekali lagi bertanya tentang apa yang berlaku. Walaupun pada mulanya dia memberitahu yang dia terjatuh, Gabriel akhirnya memberitahu bahawa dia telah ditembak menggunakan pistol BB.

Guru Gabriel sebenarnya sudah beberapa kali melaporkan perkara ini kepada pihak perkhidmatan sosial (Social Services) melalui talian hotline. Kata Gabriel, setiap kali pekerja khidmat sosial datang kerumahnya untuk menyiasat laporan yang dibuat, dia akan disakiti dengan lebih teruk lagi jadi dia enggan menceritakan hal sebenar pada mulanya.

Pada mulanya seorang pekerja khidmat sosial , Stefanie Rodriguez, menghubungi guru tersebut dan mengatakan bahawa bahawa perkara ini akan disiasat namun tiada usaha dibuat untuk mengeluarkan Gabriel dari rumah ibunya. Menurut Stefanie, dia mempercayai Gabriel apabila Gabriel mengatakan yang dia hanya kemalangan dan tidak memerlukan rawatan bagi kecederaannya.

Selain Stefanie, terdapat 3 orang lagi pekerja khidmat sosial yang mengendalikan kes Gabriel. Namun, kesemua mereka tidak mengendahkan petanda-petanda yang menunjukkan Gabriel didera.
Selepas lawatan terakhir Stefanie ke rumah Gabriel, Gabriel gagal untuk hadir ke sekolah selama 13 hari.

Pada hari Gabriel kembali ke sekolah, dia kelihatan sangat teruk. Menurut gurunya “He looked horrible, his eye was totally red there was no white showing, his forehead had skin that looked like it had peeled off, he said he fell off a bike… the kids were scared.”

Pada hari itu juga pihak sekolah sedang menjalankan projek bersempena dengan Hari Ibu. Oleh itu, semua murid di situ perlu mengambil gambar untuk dihadiahkan kepada ibu mereka. Semasa gambar Gabriel diambil, dia dilihat tersenyum ke arah camera sambil memegang sekeping kad bertulis ‘M’.

Gabriel juga ada menulis surat-surat yang menyatakan bahawa dia menyayangi ibunya. Dalam surat tersebut tertulis “ I love you until you die”. Masih sangat menyayangi ibunya walaupun telah diperlakukan dengan kejam.

Pada 2018, Pearl Fernandez mengaku salah dan dikenakan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol atas kesalahan membahayakan kanak-kanak manakala teman lelakinya Isauro Aguirre sedang menunggu untuk dihukum mati setelah didapati bersalah melakukan pembunuhan dengan niat secara penderaan.

Kes Gabriel Fernandez ini sebenarnya telah mendatangkan pelbagai kontroversi terutamanya tentang sistem perkhidmatan sosial dan pihak berkuasa (Sheriff). Ini kerana, selain guru Gabriel terdapat beberapa orang lagi yang pernah membuat laporan bahawa dia didera.

Antaranya ialah nenek saudara Gabriel dan seorang pegawai keselamatan di Los Angeles County Welfare Office yang perasan akan kecederaan yang dialami Gabriel. Secara keseluruhannya terdapat 60 aduan dilaporkan kepada Los Angeles County Welfare Office namun tiada apa-apa tindakan diambil sehinggalah kematian Gabriel.

Empat pekerja perkhidmatan sosial yang terlibat pada mulanya didakwa atas tuduhan penderaan kanak-kanak dan memalsukan rekod awam. Tuduhan ini walau bagaimanapun telah digugurkan pada Januari 2020. Pihak Sheriff yang terlibat pula perlu melalui proses pendisiplinan dalaman kerana tidak menjalankan siasatan terperinci tentang kes Gabriel.

Kisah Gabriel Fernandez hanyalah salah satu daripada ribuan kisah penderaan lain. Di Malaysia juga banyak berlaku kes penderaan kanak-kanak. Ada yang dapat dikesan dan ada juga yang tidak. Jika tiada yang mengambil peduli, bagaimana nasib mereka. Tidak mustahil apa yang berlaku kepada Gabriel akan berlaku lagi.

Oleh itu, jika anda berpeluang untuk menyelamatkan mereka, lakukan dengan sedaya upaya. Hubungi pihak berkuasa supaya mereka dapat mengambil tindakan.

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: