Sebagai ibu bapa, kita kena sentiasa peka dengan pergerakan anak-anak kita dan dengan siapa dia berkawan. Jangan letakkan 100% kepercayaan kerana tanpa kita sangka, berkemungkinan mereka yang kita percayai akan mengasari atau mencederakan anak-anak kita.

Kes ini tentang bagaimana seorang kanak-kanak yang terlepas dari jagaan ibunya sewaktu di pasaraya. Pelaku yang meragut nyawa anaknya ini hanya berusia 10 tahun. Siapa sangka?

Kita selalu beranggapan kanak-kanak mindanya bersih tetapi ada juga kes jenayah seperti jenayah seksual, curi dan mencederakan yang dilaporkan di Malaysia yang pelakunya berumur kurang dari 15 tahun. Tolong berhati-hati. Selidik dengan siapa anak anda berkawan supaya tidak menyesal kelak.

Pada tahun 1993, kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di pusat membeli belah New Strand Shopping Centre, merakam gelagat dua orang budak lelaki berusia 10 tahun iaitu Robert Thompson dan Jon Venables.

Pusat beli-belah New Strand.

Mereka dilihat sedang tekun memerhatikan kanak-kanak lain yang berada di sekitar mereka. Sepanjang hari itu juga mereka telah dilihat mencuri beberapa barangan seperti gula-gula, anak patung, bateri dan satu tin cat berwarna biru.

Pada petang itu, Denise Fergus bersama anaknya James Bulger (2 tahun) pergi ke pusat beli belah yang sama. Semasa Denise dan James berada di dalam sebuah kedai, Robert Thompson dan Jon Venables mendekati James tanpa disedari Denise.

Kedua-dua mereka kemudiannya membawa James keluar dari kedai tersebut sambil berpegangan tangan. James dibawa ke keluar dari pusat membeli belah tersebut menuju ke Leeds and Liverpool Canal, sebuah terusan yang terletak lebih kurang 400 meter daripada New Strand Shopping Centre.

Rakaman CCTV semasa James dibawa keluar dari pusat beli-belah.

Di situ, dia dijatuhkan sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian muka. Seorang saksi dalam kes ini berkata bahawa dia melihat James di terusan itu dalam keadaan sedang menangis. Mereka bertiga kemudiannya meneruskan lagi perjalanan sejauh 4 kilometer di sekitar kawasan Liverpool.

Sepanjang perjalanan itu mereka telah dilihat oleh seramai 38 orang saksi. Ada yang melihat Robert menendang James di dada, ada yang mendengar James menjerit memanggil ibunya dan ada juga yang perasan mengenai kecederaan di dahi James, namun mereka hanya diam tanpa melakukan apa-apa.

Hanya 2 orang daripada saksi-saksi tersebut yang menegur Robert dan Jon namun apabila ditanya Robert dan jon hanya menjawab bahawa James adalah adik mereka ataupun mereka dalam perjalanan untuk membawa James yang sesat ke balai polis.

Kalaulah kesemua saksi ini lebih agresif dan mengambil sikap ambil tahu, mungkin James masih selamat.

Ketiga-tiga kanak-kanak ini akhirnya sampai di kawasan berdekatan Stesen Kereta Api Walton dan Anfield yang tidak lagi digunakan. Tempat di mana James mula diseksa. Salah seorang daripada mereka telah menyimbah cat biru yang dicuri sebelum itu ke dalam mata James.

Stesen Kereta Api Walten dan Anfield.

Kanak-kanak 2 tahun itu juga telah ditendang, dihentak menggunakan kaki dan dibaling dengan batu-bata. Beberapa bateri dimasukkan ke dalam mulut James dan menurut pihak polis ada kemungkinan yang bateri itu juga telah dimasukkan ke dalam dubur (anus) kanak-kanak malang itu.

Tidak berhenti setakat itu, Robert dan Jon juga telah menjatuhkan besi landasan kereta api (railway fishplate) seberat 10 kilogram ke atas James yang mengakibatkan kecederaan parah di bahagian kepalanya.

Kedua budak lelaki itu kemudiannya membaringkan James di atas landasan kereta api. Satu serpihan batu juga diletakkan di atas kepala sebagai pemberat. Rancangannya adalah supaya kereta api yang lalu akan melanggar James dan membuatkan seolah-olah kematiannya adalah satu kemalangan.

Mayat James hanya dijumpai 2 hari selepas itu dalam keadaan terbelah dua akibat dilanggar kereta api. Menurut seorang ahli patologi kes ini, James mengalami sebanyak 42 kecederaan dan telahpun meninggal dunia sebelum dilanggar kereta api tersebut.

Pihak polis mengesyaki bahawa terdapat elemen seksual dalam kes ini kerana kasut, seluar dalam dan seluar James telah ditanggalkan. Selain itu terdapat juga kesan perlakuan seksual di bahagian kemaluannya.

Robert Thompson dan Jon Venables Berjaya dikesan berdasarkan rakaman CCTV dan ditahan setelah ujian forensik membuktikan pakaian kedua-dua mereka mempunyai kesan cat biru yang digunakan ke atas James.

Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) juga menunjukkan kesan darah yang terdapat pada kasut Robert adalah darah James. Kesan tapak kasut di muka James juga sepadan dengan kasut yang digunakan oleh Robert. Kesan yang terjadi apabila Robert menendang muka James.

Robert dan Jon didakwa atas tuduhan membunuh dan menculik. Selain itu mereka turut didakwa atas tuduhan percubaan menculik yang dilakukan sebelum pembunuhan James. James sebenarnya merupakan sasaran yang kedua setelah percubaan menculik kanak-kanak yang pertama tidak berjaya kerana disedari oleh ibunya.

Kedua-dua mereka dibicarakan sebagai seorang dewasa. Pihak mahkamah memutuskan bahawa kedua-dua mereka mempunyai keupayaan untuk melakukan sesuatu tindakan dengan niat jenayah memandangkan mereka mereka boleh memahami bahawa mereka melakukan kesalahan.

Hal ini dibuktikan dengan kenyataan daripada pegawai psikiatrik yang menemu bual Robert dan Jon. Oleh yang demikian, prinsip ‘doli incapax’ yang mengandaikan bahawa kanak-kanak tidak boleh dipertanggungjawabkan secara undang-undang adalah tidak terpakai.

Perbicaraan itu juga mendedahkan bahawa, walaupun Robert yang mengetuai penculikan itu, namun Jon yang memberikan idea untuk membawa James ke landasan kereta api. Robert dan Jon didapati bersalah atas tuduhan membunuh James Bulger semasa berusia 11 tahun.

Ini menjadikan mereka pembunuh paling muda dijatuhi hukuman di Britain. Menurut Hakim kes itu, “they had committed a crime of unparalleled evil and barbarity… In my judgment, your conduct was both cunning and very wicked.”

Selepas dijatuhi hukuman mereka menjalani tahanan selama 8 tahun di sebuah rumah yang lokasinya dirahsiakan. Segala yang dilakukan oleh kedua-dua mereka direkodkan sebanyak 2 kali sehari dan rekod tersebut perlu ditandatangani oleh pegawai yang bertugas.

Tempat penahanan Robert Thompson.

Pada tahun 2001 diusia 18 tahun, kedua-dua mereka dibebaskan dan diberikan identiti yang baru. Robert Thompson tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan selepas dibebaskan pada 2001 sehingga ke hari ini.

Jon Venables pula kembali dipenjarakan selama 2 tahun pada 2010 atas kesalahan memuat turun dan mengedarkan imej penderaan seksual kanak-kanak.

Dia diberi identiti baru buat kali kedua setelah dibebaskan yang mana mendatangkan kemarahan bapa James Bulger, Ralph Bulger. Menurut Ralph “Jon Venables is and always was a predatory sex killer who will never be changed. He will always be a danger to children which is why he must be locked up for life.”

Pada 2018, dia sekali lagi dipenjarakan selama 40 bulan kerana memiliki imej penderaan kanak-kanak.

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: