
Manusia gila memang ramai diluar sana. Saya memang tidak boleh membaca tentang pedofilia. Kalau sebut tentang golongan ini memang ringan rasanya saya hendak mencarut. Ya saya betul-betul marah.
Sebab pelaku pedofilia ini memang berperangai Syaitan. Mereka bukan tidak boleh membezakan salah dan betul. Mereka tahu tetapi mereka menurutkan nafsu syaitannya dengan melampiaskan nafsu pada kanak-kanak. Mereka ada dimana-mana kalau kita tidak hati-hati.
Biasanya mangsa kanak-kanak, kalau disuruh berdiamkan diri atau diugut pasti mereka diam dan tidak beritahu perbuatan syaitan pedofilia ini. Pelaku akan sentiasa mengugut mangsa. Hanya selepas mereka meningkat remaja atau telah masuk umur 20-an baru mereka mengakui, pernah dilakukan begitu dan begini.

Bayangkan kalau ikut kisah-kisah rakan-rakan saya sendiri, ada beberapa orang juga yang pernah menjadi mangsa waktu kecil dulu. Oleh jiran-jiran, saudara mara atau oleh orang asing sewaktu bermain. Cuma bila membesar baru mereka berani bercerita. Sewaktu kecil dahulu mereka takut, malu dan rasa bersalah.
Kami membesar zaman 80 an dan 90 an, waktu ini sudah ada kes-kes begini. Jadi kisah mangsa pedofilia ini memang sering jadi rahsia sehingga mangsa berani ‘open up’. Itu pun sudah beberapa tahun kemudian dan kebanyakan jenayah pedofilia ini sangat memberi impak pada mangsa.
Hilang percaya, tidak yakin, dihantui, paranoid dan pelbagai lagi yang memberikan kesan kepada perkembangan masa depan kanak-kanak.

Bayangkan pula, itu berapa puluh tahun dahulu. Tidak ada internet dan sumber-sumber lucah dan idea-idea pelik masih kurang. Cuba bayangkan zaman sekarang. Masyarakat kita pun baru peka tentang jenayah pedofilia ini. Istilah pedofilia ini baru dicanang-canang dalam masyarakat kita kerana kita mula peka.
Jadi dengan lambakan sumber lucah di internet ini, pasti akan memberikan idea kepada syaitan-syaitan ini untuk mencari mangsa dan memangsakan golongan kanak-kanak. Sebagai ibu bapa tolonglah peka. Janganlah lepaskan anak bermain di kawasan kejiranan tanpa pemantauan.

Orang hendak buat jahat, sekejap sangat. Tolonglah jangan bagi 100% kepercayaan kepada orang lain selalu bersama-sama dengan anak kita. Sebab pelaku pedofilia dia tidak ada cop dekat dahi, kadang-kadang dia datang dalam rupa yang paling tidak kita sangka-sangka.
Tolong juga jangan letak gambar anak-anak mandi tidak berbaju atau berlampin sahaja di sosial media. Orang gila ramai. Orang macam ni sangat bahaya, dia tidak akan berhenti dengan melihat gambar sahaja. Dari gambar ini, akan pergi secara fizikal.
Tahun lepas ada selebriti Malaysia yang muat naik tarian anak-anaknya yang masih kecil menari dan tarian itu memang tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana agak erotik. Ramai minta dia padamkan tetapi dia enggan.

Saya terbaca satu komen “Saya minta tolong sangat-sangat. Turunkan video ni. Saya pohon sangat sebab memang dia tidak buat anak-anak encik tetapi kalau dia dapat anak-anak jiran, kasihan mereka jadi mangsa melampiaskan nafsu”.
Tertusuk saya baca. Komen itu tidak mengecam, betul-betul ikhlas dari hari hatinya yang takut sesuatu perkara tidak baik berlaku kepada kanak-kanak lain. Saya scroll gambar-gambar lama anak-anak selebriti ini. Kalau ikut budaya dan agama kita, memanglah pakaian dan cara bergambar itu tidak bersesuaian. Terlalu terdedah.
Ada satu gambar anak-anaknya ditepi pantai dengan pakaian mandi yang terdedah. Anaknya mungkin berumur antara 6-12 tahun. Tiba-tiba ada komen di bawah gambar “Nyumm nyum belahan itu”. Orang gila dengan kanak-kanak pun bernafsu, walaupun masih kecil.
Sehingga hari ini, saya tengok masih gambar anak-anaknya tidak diturun dan masih ada komen itu. Gambar-gambar begini mungkin menjadi inspirasi kepada pedofilia melakukan jenayah dan mereka suka follow akaun begini.
Pedofilia ini kadang-kadang dia save dan simpan gambar anak-anak kita untuk tontonan mereka pada masa akan datang. Dijadikan koleksi. Mereka ada folder dan kadang-kadang mereka akan kongsi dalam laman gelap mereka.

Macam kes Nur Fitri, rakyat Malaysia yang didakwa dan disabitkan kesalahan di United Kingdom pada 2014 bagi 13 kesalahan memiliki dan membuat gambar dan video lucah kanak-kanak berjumlah hampir 30,000 dengan niat menyebarkan gambar dan video tersebut. Pada ada asalnya dia dihukum 5 tahun tetapi dikurangkan dan dibawa pulang ke Malaysia sebab dia ini genius Matematik dan bawah tajaan MARA.
Dia genius atau tidak, saya tidak peduli. Patutnya hari itu dia dibiar meringkuk dalam penjara 5 tahun, sekurang-kurang menghalang dari aktiviti gilanya selama 5 tahun. Pada saya, otaknya itu rosak. Kalau manusia normal dia tidak bernafsu dengan kanak-anak. Apa entah lagi menyimpan 30,000 salinan gambar dan video.
Kalau dia jiran saya, saya pindah kerana memikirkan keselamatan anak atau anak saya tidak dibenarkan keluar langsung. Jadi tolonglah berhati-hati dan lebih peka. Kita tidak tahu siapa disekeliling.

Tambah pula sekarang ada pelbagai penipuan dari pedofilia di sosial media, hendak beri bantuan dari farmasi dan minta gambar kemaluan anak untuk semak ada ruam atau tidak. Minta gambar anak hendak bagi, pakaian percumalah.
Dalam kehidupan ini, percayalah tidak ada yang terlalu indah untuk jadi reality atau “to good to be true”, pasti ada udang disebalik batu. Jangan mudah percaya. Anak kita amanah kita.
Sekian jaga anak elok-elok.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha. Peguamcara dan Peguambela.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.