Bila ada yang menawarkan sesuatu yang percuma tetapi sebagai syarat memerlukan untuk kita memberikan maklumat kawan atau saudara mara yang lain. Tolong jangan beri. Berkemungkinan strategi scam yang terlatih.

Saya pernah terkena, nombor saya diberikan kepada mereka ini. Beberapa bulan yang lalu, tiba-tiba saya dihubungi oleh syarikat pembersihan tilam. Dia minta untuk tetapkan untuk satu temujanji untuk servis secara PERCUMA. Nilai servis bernilai kononnya ratusan ringgit.

Katanya lagi, “Kami memperolehi nombor puan ni dari kawan sekolah puan, Encik H. Dia yang cadangkan. Dia pun dah cuba”, begitulah cara wanita ini memancing. Seperti biasa mereka ini lembut, peramah dan cepat mesra.

Kebiasaannya bila nombor kita ini diberikan oleh kawan dan kawan pula telah guna servis, pastilah kita percaya. Kan? Cadangan kawan sendiri. Pandai strategi mereka. Hendak tanam rasa percaya. Saya maklumkan saya sibuk dan belum dapat tetapkan jadual, tetapi dia masih cuba juga menetapkan tarikh. Saya masih tidak mahu. Saya simpan nombornya dan tidak jawab panggilannya selepas itu.

Dua hari kemudian, kawan saya hubungi saya “Beth, aku nak minta maaf sangat bagi nombor kau. Tak sangka dierg tu macam kira scammer juga. Masa dia datang tu, dia tunjukkan cara pembersihan tilam. Aku pun, orang lain yang bagi nombor. Memang bagus sangat. Banyak kekotoran keluar. Dia suruh aku beli juga produk pembersihan tu. Dahlah beribu. Aku tak nak. Lepas tu dia kata kalau taknak, dia minta 7 nombor orang lain. Dia kata, dia hendak promosikan. Aku fikir nombor je kan, terpulanglah kalau kau nak ke tidak”.

Rupa-rupanya, selepas balik mereka tetapkan temujanji yang kedua. Memang mereka tidak akan lepaskan. Nombor telefon sudah ada, rumah sudah tahu di mana. Kali kedua mereka datang, kali ini lebih memaksa. Tunai atau kredit kad. Perlu bayar penuh bukan pendahuluan tetapi barang sampai 2 minggu kemudian. Harga produk yang dijual RM7,999. Walhal harga pasaran baru RM4,000. Hendak tunggu 2 minggu entah dapat atau tidak barangnya.

Manakala nombor yang diperolehi pula mereka akan buru dan buru semua nombor tersebut dan dari nombor yang diperolehi, mereka akan minta nombor yang lain. Mereka akan gunakan segala kepakaran untuk menundukkan kita dan membeli produk dengan harga ribuan ringgit.

Bayangkan dari satu individu dia perolehi 7 nombor telefon. Kalau dari 10 indvidu dia akan perolehi 70 nombor telefon dan dari 70 nombor orang ini, mungkin ada 5 atau 10 yang mengalah atau masuk perangkap mereka. Ini sudah cukup membuatkan mereka kenyang.

Ini sistem pyramid. Yang atas dapat hasil, anak-anak buah dapat hasil. Kemudian paksa orang beli. Janji dia lepas jual. Yang putih mata, mangsa. Tambah pula dalam keadaan sekarang yang sepatutnya kita menyimpan duit.

Saya jangkakan selepas ini akan pelbagai cara manusia-manusia licik begini akan menggunakan cara untuk memancing kita mengeluarkan duit kepada mereka. Ekonomi tengah tidak stabil. Harap jangan bagi nombor kawan-kawan, saudara-mara atau pakcik-makcik. Melebur nanti duit mereka.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: