Tangkapan Khalwat Jenayah Syariah

Khalwat (atau bersunyi-sunyian dengan lelaki atau isteri yang bukan mahram di dalam bangunan atau tempat sehingga menimbul syak berlakunya maksiat) adalah dikategorikan sebagai kesalahan jenayah syariah di dalam undang-undang jenayah syariah seluruh negeri di Malaysia. Terma Khalwat amat popular dan menyeramkan dikalangan masyarakat islam kita.

Umumnya kesalahan Khalwat dinyatakan di dalam Seksyen yang berbeza-beza. Contohnya didalam Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan Tahun 1997 yang menyatakan:

Seksyen 27. Khalwat.

Mana-mana-

(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau

(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


Kesalahan Khalwat di Malaysia dinyatakan dalam Seksyen yang berbeza-beza mengikut Negeri, Wilayah persekutuan meletakkannya dalam Seksyen 27, manakala Negeri Sabah pula meletakkannya di dalam Seksyen 84, Selangor pula meletakkannya didalam Seksyen 29.

Hukuman pula adalah berbentuk takzir (memberi pengajaran) dan pesalah dikenakan adalah jumlah denda dan hukuman penjara yang berbeza-beza, ada negeri yang meletakkan denda tidak lebih RM2,000 sehingga RM 3,000, penjara tidak melebihi satu tahun atau dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tujuan undang-undang ini dikuatkuasakan untuk mendidik dan mencegah orang-orang islam daripada melakukan maksiat berleluasa.

Malah, kesalahan khalwat antara kesalahan utama yang merekodkan statistik tangkapan paling tinggi oleh penguatkuasa agama serta kesalahan yang acap kali dikendalikan dikalangan pegawai pendakwa. Angka-angka kesalahan jenayah syariah saban tahun jika diteliti menggerunkan sanubari.

Masyarakat islam secara umumnya menentang perbuatan khalwat ini kerana itulah undang-undang sedia ada dikuatkuasakan malah ada cadangan bagi memperkasakan undang-undang berkaitan jenayah syariah agar lebih memberi kesan dikalangan masyarakat islam dalam usaha mengurangkan kebejatan sosial yang kian membarah di negara ini.

Selama ini, para penguatkuasa agama mempunyai standard operating procedure atau garis panduan yang lengkap berdasarkan undang-undang dalam mengendalikan kes-kes serbuan dan tidak membuat serbuan sesuka hati dan mematuhinya.

Pihak penguatkuasa Agama akan membuka kertas siasatan setelah menerima laporan dan menyerahkannya kepada pihak pendakwa bagi tujuan pendakwaan jika kes bermerit.

Perlu diingat pihak pendakwaan wajib membuktikan adanya elemen-elemen khalwat seperti yang diperutukkan dalam Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri, jika gagal kes berkemungkinan besar tidak disabitkan.

Jika anda ditangkap atau serbuan dibuat oleh pihak penguatkuasa, anda berhak diikat jamin mulut paling maksimum RM 3000 (hanya isi borang jamin dan tiada wang diserahkan kepada penguatkuasa) dan tidak perlu membuat sebarang pengakuan melainkan di Mahkamah Syariah kelak. Anda juga tidak boleh dipaksa mengaku salah sebelum dibicarakan.

Jika anda berasa dianiaya atau diperangkap, anda bebas untuk tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim bicara di Mahkamah Syariah.

Usahakan untuk mendapatkan nasihat guaman dan perwakilan dari mana-mana peguam syarie swasta atau peguam syarie bertauliah di bawah agensi kerajaan yang berkaitan.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Syafiah Sulaiman. Peguam dari Team Tanya Peguam Anda.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: