
Apabila bercerita tentang Black Widow, sudah pasti ramai yang akan berfikir tentang watak Black Widow atau Natasha Romanoff yang dilakonkan oleh Scarlett Johansson dalam filem-filem keluaran Marvel Studios seperti Avengers: Endgame dan Captain America tapi tahukah anda, sebenarnya Black Widow merujuk kepada perempuan yang berkahwin dengan beberapa lelaki yang berbeza untuk mewarisi hartanya melalui pembunuhan yang diaturkan oleh perempuan jahat ini.
Pada tahun 1985 Stacey Castor yang berumur 17 tahun ketika itu bertemu dengan suaminya, Michael Wallace. Dua tahun kemudian, anak pertama kepada pasangan ini yang bernama Ashley dilahirkan. Anak kedua mereka, Bree pula lahir pada tahun 1991.

Pada tahun 1999, Micheal mula menujukkan tanda-tanda bahawa dia sedang sakit. Menurut keluarganya, Micheal sering mengalami gejala seperti batuk dan kelihatan kurang keseimbangan. Micheal kemudiannya mati sebelum mendapatkan sebarang rawatan perubatan. Menurut doktor, Micheal Wallace mati disebabkan oleh serangan jantung.
Semasa kematian Micheal, anak mereka Ashley yang berusia 11 tahun ketika itu berada bersama bapanya. Kematian Micheal menyebabkan Ashley menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak berbuat apa-apa walaupun dia perasan bahawa bapanya kurang sihat pada hari itu.
Keluarga Micheal yang tidak mempercayai sebab kematiannya meminta untuk menjalankan autopsi namun tidak dipersetujui oleh Stacey.
Menurut Stacey, dia percaya dengan apa yang dikatakan oleh doktor yang mengesahkan kematian suaminya. Selepas kematian suaminya, Stacey berkahwin semula pada tahun 2003 dengan David Castor.

Berbanding sebelum ini, kehidupan Stacey bersama suami barunya yang juga pemilik sebuah syarikat pemasangan penyaman udara adalah lebih baik. Dia juga mula bekerja dengan suaminya sebagai pengurus namun pada tahun 2005, satu lagi tragedi berlaku.
Pejabat Sherrif menerima panggilan telefon daripada Stacey yang mengatakan bahawa suaminya David Castor telah menguncikan diri di dalam bilik tidur dan tidak menjawab sebarang panggilan telefon.
Menurut Stacey, perkara ini berlaku setelah dirinya dan David bertengkar. Apabila David tidak hadir bekerja, Stacey berasa sangat risau kerana David turut mengalami masalah kemurungan. Apabila Sherrif berjaya membuka pintu bilik tidur tersebut, David Castor telah pun menemui ajalnya.
Turut ditemui berdekatan David, satu bekas yang mengandungi cecair antibeku (antifreeze) dan sebuah gelas yang mengandungi cecair berwarna hijau terang. Stacey yang melihat keadaan suaminya menjerit mengatakan “He’s not dead, he’s not dead.” Nampak begitu tragis dan menyedihkan kehidupan yang dilalui oleh Stacey Castor bukan?

Kematian David diklasifikasikan sebagai bunuh diri. Menurut Stacey, “David had been depressed because he had recently lost his father — and that possibly his drinking and suicide that weekend was as a result of him being depressed about his father’s death.”
Meskipun begitu, bekas isteri David Castor tidak menyetujui apa yang dikatakan oleh Stacey. Keadaan bertambah pelik apabila pihak polis mendapati David Castor telah mewariskan kesemua hartanya kepada Stacey dan anak-anak perempuannya (anak-anak tiri David) tetapi tidak kepada anak lelaki kandungnya.
Tiga bulan setelah kematian David, pihak polis mendapati ada beberapa persamaan antara kematian kedua-dua suami Stacey. Stacey disyaki telah menggunakan antibeku (antifreeze) untuk meracuni kedua-dua suaminya.

Satu cara pembunuhan yang berlaku secara perlahan-lahan dan sangat kejam kerana mangsa akan mengalami kerosakan pada sistem saraf dan buah pinggang. Jika mangsa hidup sekalipun, mereka akan mengalami kerosakan kekal di bahagian otak. Pihak polis mengambil keputusan untuk menggali semula kubur Micheal Wallace dan melakukan autopsi.
Keputusan autopsi menunjukkan bahawa badan Micheal mempunyai kesan kandungan kristal berpunca daripada ‘antifreeze’ yang digunakan. Apabila Stacey mendapat tahu bahawa pihak polis sedang berusaha mencari bukti pembunuhan yang dilakukannya, dia mula merancang untuk melepaskan diri.
Stacey cuba untuk membunuh anaknya Ashley dan membuatkan seolah-olah Ashley ingin membunuh diri dengan mencampurkan pelbagai pil bersama minuman campuran yang mengandungi soda, jus dan alkohol.

Dia juga menyediakan satu nota bunuh diri yang mengandungi pengakuan bahawa Ashley bertanggungjawab di atas kematian kedua-dua suaminya. Ashley yang tidak sedarkan diri ditemui oleh adiknya Bree.
Bree turut menemui nota bunuh diri yang ditulis oleh Stacey di sebelah Ashley. Tanpa mengetahui rancangan Stacey, Bree menyuruh ibunya untuk menghubungi talian kecemasan. Menerusi panggilan itu, Stacey menyatakan bahawa Ashley telah meminum minuman beralkohol dan memakan beberapa dos ubat-ubatan.
Apabila Ashley tersedar di hospital, dia menafikan bahawa dia ingin membunuh diri. Selain itu, dia juga tidak pernah menulis apa-apa nota yang menyatakan dia telah membunuh bapa dan bapa tirinya. Stacey Castor ditahan semasa berada di hospital atas tuduhan membunuh David Castor dan cubaan membunuh Ashley Wallace pada hari yang sama.
Pada tahun 2007, Stacey Castor telah didakwa atas tuduhan membunuh darjah kedua, percubaan membunuh darjah kedua dan melakukan pemalsuan wasiat. Motif pembunuhan ini dilakukan adalah untuk mendapatkan pampasan insurans di atas kematian suaminya. Dia dijatuhi hukuman penjara selama 51 tahun pada 2009.
Stacey tidak pernah sekalipun mengaku bahawa dia melakukan pembunuhan tersebut sehinggalah kematiannya pada tahun 2016 semasa menjalani hukuman. Menurutnya, “I did not kill Michael Wallace, I did not kill David Castor, and I did not try to kill my daughter, period”.
Dalam satu temubual bersama ABC News, Ashley mengatakan “I hate my mother for ruining so many people’s lives, what gave her the right to play God with people? I never knew what hate was until now. Even though I do hate her, I still love her at the same time.”
Sukar untuk dibayangkan jika orang yang paling disayangi adalah orang yang sanggup membunuh diri kita.
Begitulah kisah Stacey Castor atau lebih dikenali sebagai The Black Widow. Black Widow sebenarnya adalah satu nama bagi spesis labah-labah berbisa yang memakan pasangannya.
Istilah ini juga digunakan untuk menggambarkan perempuan yang membunuh suami atau kekasih mereka seperti yang dilakukan Stacey. Kisah ini juga telah diadaptasi dalam sebuah filem bertajuk Poisoned Love: The Stacey Castor Story.
DISCLAIMER:
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.