Tips Keselamatan Semasa PKP.

Saya hendak kongsi tips keselamatan kerana PKP sudah hampir sebulan setengah. Keadaan lenggang, banyak tempat sunyi. Penjenayah pula bertambah berani hendak buat kerja.

Tambah pula mungkin ramai yang terdesak hendak ambil jalan mudah. Duit tidak ada, peluang banyak sebab situasi sunyi.

Berita semalam, seorang lelaki secara solo merompak bank di Seksyen 13 Shah Alam dengan sepucuk pistol. Dia melepaskan tembakan dan membawa lari RM3,716. Sewaktu kejadian hanya 4 orang yang berada dalam bangunan bank. Selalunya rompakan bank ini berkumpulan. Ini memang cubaan berani mati. Berita lanjut di link ini.

Apabila dia berani masuk seorang diri dan bersenjata begitu bermakna dia nekad, dia terdesak dan seolah-olah ‘apa nak jadi, jadilah’. Saya pasti dia sebelum dia buat kerja, dia mesti dipengaruhi dadah. Ramai yang begini. Bahaya.

Jadi tolong ambil langkah berjaga-jaga. Ini tips keselamatan. Paling utama kepada ibu tunggal dan anak-anak dirumah, kadang-kadang yang tinggal seorang atau apa sahaja situasi anda, anda perlu peka.

Berikut adalah langkah-langkah keselamatan:

1. Kepada ibu tunggal atau seorang diri di rumah, maklumkan pada seorang saudara atau kenalan rapat keadaan anda yang sangat anda percayai. Beritahu jika anda tidak dapat dihubungi pada waktu tertentu tolong minta mereka ambil tindakan seperti hubungi polis peronda untuk periksa keadaan anda.

2. Tolong jangan biarkan pintu pagar atau pintu terbuka. Kadang-kadang kita hendak angin masuk dan supaya rumah tidak terkuap.

Kita buka pintu luas-luas, macam mengajak orang masuk. Manggakan pagar atau pintu gril. Banyak kes yang tiba-tiba perompak masuk parang tanpa perlu kopak pintu sebab kelalaian begini. Mudah-mudah sahaja.

3. Waktu malam tutup semua langsir, jangan biarkan sesetengah langsir tingkap terbuka. Takut ada yang memerhati mengira bilangan seisi rumah, keadaan rumah, ada lelaki atau tidak? Ini sudah cukup untuk mereka mula mengatur strategi.

4. Kalau boleh berkenalanlah dengan jiran-jiran. Minta nombor telefon. Minta kalau boleh lebih 2-3 orang. Kalau malam-malam anda dengar bunyi orang hendak pecah masuk, anda boleh minta jiran tengok dari view rumah mereka kalau anda tak nampak. Minta mereka hubungi polis.

5. Buka lampu luar rumah. Sebab sebelum PKP. Ramai yang balik kampung. Ada rumah memang tiada penghuni. Perompak selalu target rumah begini. Senang buat kerja, tiada risiko.

Jadi kena tunjukkan tanda-tanda rumah berpenghuni. Sekurang-kurangnya mereka tahu ada penghuni. Tambah pula kalau lampu luar dibuka, pergerakan mereka boleh dilihat oleh jiran-jiran.

6. Di sosial media, kalau berkenaan harta, duit atau keuntungan meniaga, jangan tunjuk. Manalah tahu anda jadi sasaran. Rumah pula orang tahu, senang mereka hendak target.

7. Ini saya belajar dari sahabat saya seorang polis. Bagi rumah yang kereta diletakkan dikawasan luar rumah, pasti kunci kereta bersama dengan anda sewaktu tidur.

Jika anda dengar bunyi seolah-olah rumah anda dikopak, terus tekan alarm kereta. Perompak akan panik dan cuba larikan diri.

8. Hubungi polis peronda sekiranya anda berasa tidak selamat atau anda dengar rumah anda dipecah masuk. Sentiasa simpan nombor balai polis berdekatan kawasan anda. Anda boleh google untuk dapatkan nombor ini.

Jika berlaku sesuatu hubungi balai tersebut dan maklumkan pada Balai tersebut bahawa terdapat satu situasi yang mengancam keselamatan/ ugutan atau apa-apa sahaja yang memerlukan tindakan segera polis. Tips lanjut tentang polis peronda di link ini.

9. Bila hendak keluar rumah. Jangan terlalu sambil lewa. Sentiasa peka. Jangan melenggang, main telefon sehelum masuk kereta. Duduk dalam kereta tengok Facebook dulu sambil tunggu enjin panas.

Kalau ada yang memerhati anda memang akan jadi sasaran terbaik kerana tidak peka. Sentiasa ‘sharp and alert’. Kalau ke bank pun begitu, segerakan proses pengeluaran wang. Jangan berlengah, jika tidak anda akan mudah menjadi sasaran.

Sekian. Staysafe dan sentiasa berhati-hati.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: