Perkataan ini, lain orang lain penilaiannya. Betulkan?

Ada setengah yang cepat tersentuh atau terasa mungkin penerimaannya lain. Kadangkala kita niat hendak bergurau tetapi mungkin kita jenis kasar, jadi gurauan itu disalah anggap.

Bagi kes fitnah atau saman malu di mahkamah, atas perkara yang mahkamah teliti dan nilai sebelum memutuskan sama ada perbuatan itu fitnah atau memalukan adalah pada perkataan. Contohnya kes saman malu yang dikemukakan oleh artis Malaysia iaitu Fazura ditolak pada tahun 2009 kerana penafsiran perkataan ‘rela’.

Memetik ulasan Yang Arif Hakim; “Mahkamah berpendapat ‘redha’ dan ‘rela’ adalah hampir sama. Oleh itu fakta yang paling penting (untuk membuktikan fitnah) tidak dapat dibuktikan oleh Plaintif”.

Begitu juga dalam kes DOMINICA TOYAT DOMINIC v. PETER WEE TECK HO [2008] 5 CLJ 679. Sewaktu dihadapan pihak ketiga Peter telah mengeluarkan perkataan “bekas aku ia you” merujuk kepada Dominica.

Dominica tidak berpuas hati dengan perkataan tersebut kerana beranggapan memberi gambaran bahawa dia adalah merupakan bekas kekasih dan/atau perempuan simpanan dan rendah moral.

Dominica memanggil pakar Bahasa Melayu sebagai saksi (PW5) bagi menjelaskan makna perkataan. PW5 juga menyatakan makna ‘bekas’ membawa kepada perkara yang negatif. Namun demikian di akhir kes mahkamah memutuskan bahawa:-

“In this time and era, the words “ex-girlfriend” or “ex-wife” are commonly used and no reasonable man will take it to mean that the woman is of bad character. It may be insulting in nature when the relationship has broken up but it will not be construed to be defamatory”.

Maksudnya perkataan bekas kekasih atau bekas isteri ini sering diguna pakai pada zaman ini dan tidak akan menggambarkan akhlak yang tidak baik. Mungkin perkataan ini seolah-olah menghina sekiranya pihak-pihak berpisah tetapi ia bukan perkataan fitnah.

Sebagai tambahan kepada perkongsian ini, untuk pengetahuan bersama, Akta Fitnah mempunyai satu seksyen khas untuk wanita iaitu Seksyen 4. Seorang wanita boleh memulakan saman sivil sekiranya seorang wanita dituduh sebagai berzina, melakukan hubungan seks luar pernikahan.

Walaupun tidak boleh disaman kerana perkataan yang bukan jatuh kategori fitnah tetapi perkataan itu sudah cukup memberi kesan kepada orang yang ditujukan. Cuba letak diri kita di tempatnya.

Jadi jaga perkataan, jaga tulisan. Kadangkala bila berbual-bual dalam kumpulan, takut terbawa-bawa mulut kita ini sehingga ada yang sentap atau terluka dek kerana cakap tidak berfikir.

Saya ini memang jenis suka bersembang, suka juga hendak beri komen. Apa yang saya amalkan, sebelum perkataan keluar dari mulut saya, saya fikir dahulu. Adakah perkataan atau komen ini baik jika saya katakan? Adakah ada yang tersentap? Adakah bunyi meninggi diri atau bongkak bila saya katakan?

Begitulah. Saya ini tidak sempurna tetapi sentiasa cuba jadi sempurna. Setiap hari saya usaha baiki diri sendiri ke arah yang lebih baik. Tidak bahagia hidup ini jika kita tidak membahagiakan orang sekeliling. Jaga bahasa dan etika.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: