Saman ini merujuk kepada Saman bagi kesalahan Trafik oleh Polis, JPJ, Majlis Perbandaran atau Jabatan Kesihatan bagi kesalahan merokok atau kegagalan mematuhi kebersihan dalam pengendalian makanan.
Tulisan ini tidak merujuk kepada saman tuntutan sivil contohnya disaman tidak bayar pinjaman bank, disaman ganti rugi kecederaan. Saman sivil bukan dikeluarkan oleh polis atau apa-apa Jabatan Kerajaan dan jika terima saman sivil memang tidak ada cara mengelak ke mahkamah, masih perlu hadir.
Contoh saman oleh polis atau Jabatan Kerajaan seperti gambar di bawah, saya pinjam anak guam punya dengan keizinannya.

Bila terima saman, ada yang boleh bayar sahaja dan ada yang ke mahkamah? Kenapa? Bagaimana hendak tahu boleh bayar sahaja atau wajib ke mahkamah? Kalau boleh, kita hendak elakkan sampai ke mahkamah kerana tidak mahu ambil cuti kerja dan leceh prosesnya. Tambahan pula jika gagal hadir, waran tangkap akan dikeluarkan pula.
Kalau hendak elak ke mahkamah sebaiknya anda bayar kompaun tetapi anda perlu pastikan sama ada kesalahan itu boleh dibayar kompaun atau tidak. Sekiranya anda berjaya bayar kompaun sebelum tarikh yang ditawarkan, anda sudah tidak perlu ke mahkamah. Jika gagal bayar kompaun sebelum tarikh, anda perlu ke mahkamah mengikut tarikh dalam saman.
Cuba lihat gambar saman ini “Kamu adalah dengan ini diperintahkan supaya hadir sendiri atau melalui peguam di Mahkamah Majistret Kajang, pada 17/12/2018”.
“Nota: Kesalahan ini boleh (perkataan ‘boleh’ ini dipotong)/ tidak boleh dikompaun.
Jika kesalahan ini boleh dikompaunkan, kamu dinasihatkan boleh mengkompaunkan di mana-mana kaunter bayaran saman PDRM sebelum 14/11/2018″.
Berdasarkan nota, kesalahan ini tidak boleh dikompaun. Bagaimana kita hendak tahu jenis kesalahan boleh kompaun? Anda boleh semak jadual kesalahan mengikut Akta/Peraturan yang disabitkan. Ada senarainya tetapi rumitkan, saya sebagai peguam pun rasa payah nak cari akta dan semak.
Bagi anda yang tidak ada akses pada Akta/Peraturan ini, cara terbaik adalah semak pada Nota saman itu, sama ada boleh kompaun atau tidak. Jika tidak dinyatakan, hubungi segera Jabatan yang isukan saman. Jangan lambat! Takut terlepas tarikh tawaran kompaun. Sekiranya ada dinyatakan tawaran dan tarikh tamat kompaun, elok bayar untuk mengelakkan ke mahkamah.

Jika kesalahan tidak boleh dikompaun, tiada pilihan, anda perlu ke mahkamah seperti tarikh yang ditetapkan. Tiada bayaran yang boleh dibuat sebelum tarikh di mahkamah ini, anda hanya perlu tunggu tarikh dan bayaran denda hanya dibuat selepas Majistret perintahkan jumlahnya di mahkamah.
Jika anda, enggan ke mahkamah maka waran tangkap akan dikeluarkan. Di mahkamah pula, selepas anda mengaku bersalah, mahkamah akan jatuhkan hukuman denda bagi kesalahan anda dan anda perlu sediakan wang secukupnya. Minggu depan saya akan terangkan kaedah bayaran denda bukan secara tunai.
Jadi bila terima saman begini, anda perlu:
- Pastikan ada tawaran kompaun atau tidak;
- Jika tidak pasti ada tawaran hubungi segera pihak yang isukan saman;
- Bayar segera sebelum mengelakkan ke mahkamah;
- Jika tiada tawaran kompaun, perlu hadir ke mahkamah dan buat semakan jumlah minimum dan maksimum kesalahan supaya anda boleh sediakan duit denda;
- Pastikan datang ke mahkamah, jika gagal waran tangkap akan dikeluarkan.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.