Pernah tular di Facebook kes buli kanak-kanak berusia 7 tahun yang dibuli oleh kanak-kanak lain yang berusia 8 tahun.

Kejadian buli semakin menjadi-jadi. Saya juga ada dirujuk beberapa kali kes buli anak di sekolah begini. Bolehkah hendak saman kerana ini melibatkan kanak-kanak? Apa hak ibu bapa dan apa yang sepatutnya dilakukan?

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan, mangsa boleh membuat laporan polis untuk tindakan jenayah dan tuntutan sivil untuk menuntut gantirugi bagi kesalahan mencederakan. Tetapi bila pihak-pihak melibatkan kanak-kanak sebagai pesalah ramai yang keliru boleh atau tidak diambil tindakan? Sebabnya mereka masih kecil.

Kanak-kanak boleh dituduh dan dibicarakan di mahkamah khas untuk kanak-kanak selaras dengan Seksyen 11 Akta Kanak-Kanak 2001. Cara pengendalian mahkamah ini adalah tertutup dan didengari oleh Majistret dan 2 penasihat yang dilantik oleh kementerian. Salah seorang penasihat mesti seorang wanita.

Tugas penasihat adalah untuk memberitahu atau menasihatkan tentang kesan hukuman yang akan dijatuhkan kepada kanak-kanak. Sekiranya perlu, penasihat boleh menasihatkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang menghadapi pertuduhan.

Apa yang perlu ibu bapa lakukan sekiranya didapati anak-anak dibuli di sekolah?

1. Hubungi pihak sekolah dahulu. Cuba berbincang. Mungkin kejadian berlaku akibat salah faham atau contohnya kejadian tiba-tiba menjadi buruk seperti terjatuh sewaktu bergurau. Nampak ada kecederaan tetapi kita tidak tahu punca. Sebaiknya bincang dahulu.

2. Minta kerjasama pihak sekolah untuk menyelesaikan hal ini sebelum dibawa ketengah. Kerana jika melibatkan pihak lain akan ada tindakan tegas seperti gantung atau buang sekolah. Walhal kita tidak tahu punca.

3. Sekiranya memang kejadian disengajakan, minta pihak sekolah ambil tindakan kepada pelajar yang membuli sebagai pengajaran untuk tidak mengulangi perbuatan dan juga sebagai contoh teladan kepada pelajar lain.

Sekiranya tidak mendapat kerjasama dari pihak sekolah, hal ini boleh dimajukan dan diadukan kepada Kementerian Pelajaran.

4. Sekiranya melibatkan kecederaan serius seperti berdarah-darah atau kecederaan dalaman, buat laporan polis kerana hal ini sebaiknya dikendalikan oleh pihak polis bagi tujuan siasatan dan tindakan mahkamah.

Kanak-kanak akan disiasat dan didakwa di mahkamah selaras dengan prosuder Akta Kanak-kanak. Ini akan melibatkan hukuman terhadap pelaku kanak-kanak.

5. Sekiranya ahli keluarga ingin menuntut gantirugi terhadap kecederaan. Dapatkan nasihat peguam untuk tuntutan ganti rugi.

Kalau saman menyaman begini, kanak-kanak masih boleh menyaman atau disaman selaras dengan Aturan 76 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 iaitu diwakili oleh ibu bapa atau penjaga dan peguam.

Dari usia muda begini, banyakkan berpesan pada anak-anak tentang kesan dan akibat perbuatan. Kalau dari kecil sudah mula membuli, kalau tidak dibendung dari awal, susah hendak kawal.

Mungkin dengan membuat laporan polis itu nampak berat tetapi kalau kecederaan yang teruk sampai berdarah-darah sampai pecah muka. Itu sudah keterlaluan. Perlu diajar. Jangan biar kes yang berlaku kepada arwah Zulfarhan berulang kerana kita gagal mengambil tindakan di peringkat awal.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: