
Tahun lepas Berita Harian ada berkongsikan informasi seperti dalam gambar.
Kenapa ini bahaya? Aplikasi begini memungkinkan mesej atau pesanan kita dipantau dan boleh menyebabkan berlaku penipuan dengan menggunakan identiti kita.
Contohnya jika seorang mangsa ditipu oleh identiti kita (walaupun bukan kita). Mangsa kemudian membuat aduan. Polis memulakan siasatan terhadap kita kerana berdasarkan siasatan penipuan dibuat menggunakan identiti kita.
Memang kita boleh membela diri dengan membuktikan identiti kita telah dicuri TETAPI hendak menghadapi proses siasatan. Ditahan polis, memberi keterangan, melantik peguam. Susah hati dan panik. Hati tidak tenteram selagi kes tidak selesai.
Memandangkan ada ribuan aplikasi di Google Store, pasti susah hendak kawal yang mana yang tulen dan yang mana direka untuk kegunaan pihak tidak bertanggungjawab.
Selain daripada tuduhan jenayah, kecurian identiti ini juga melibatkan kerugian wang ringgit. Jadi perlu berhati-hati dan jangan dedahkan informasi diri terutama nama dan nombor kad pengenalan.
Saya ada menerima kes beberapa anak guam yang nama mereka disenaraihitamkan kerana didaftarkan di talian Telco, syarikat penapis air atau pinjaman hutang. Sedangkan mereka langsung tidak pernah membuat permohonan, menggunakan servis atau mendapat apa-apa nilai hutang.
Sudahnya kes-kes anak guam saya ini disenarai hitamkan di CTOS dan tidak mendapat kelulusan bagi pinjaman di bank-bank. Ada juga kes sehingga di saman di mahkamah bagi nilaian yang terhutang.
Boleh menggunakan pembelaan kecurian identiti tetapi prosesnya panjang dan rumit. Jalan yang terbaik adalah kita cegah sebelum berlaku. Berhati-hati muat turun aplikasi dan jangan sebarkan informasi kita kepada pihak ketiga yang tidak boleh dipercayai.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.