Prosiding Perbicaraan Inkues Kes Kematian Muhamad Adib

Artikel ini ditulis sehari selepas keputusan prosiding perbicaraan inkues kes kematian Muhamad Adib. Namun artikel ini dinaikkan semula bagi penjelasan inkues.

Apa maksudnya? Prosiding ditutup? Adakah sudah diputuskan?

Masih belum lagi diputuskan keputusan inkues. Prosiding ditutup bermaksud tiada lagi saksi-saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Apa maksud Inkues kematian? Mungkin ada yang salah faham, bahawa inkues diadakan untuk menjatuhkan hukuman siapa yang bersalah selepas mendapat tahu punca kematian. Bukan. Teruskan membaca.

“Inkues bukanlah satu perbicaraan jenayah. Tidak ada pertuduhan, tidak ada pendakwaan mahupun pembelaan. Dalam erti kata lain, tiada tertuduh yang dibicarakan oleh mahkamah”- Perenggan 14, Dalam Perkara Inkues Terhadap Kematian Chandran Perumal; Si Mati Mahkamah Khas Koroner, Kuala Lumpur.

Laporan Mahkamah kes Chandran Perumal ini adalah rujukan yang sangat baik jika ingin tahu berkenaan prosiding inkues, beban pembuktian dan prosedur inkues. Dalam kes ini, Chandran ditemui mati dalam sel, sewaktu dalam tahanan polis.

“Dia dijumpai mati di selnya pada 10 September 2012. Bedah siasat mendedahkan bahawa kematian si mati adalah akibat sakit jantung hipertensi. Laporan bedah siasat juga menunjukkan perutnya kosong kerana si mati tidak makan apa-apa dan mengambil apa-apa ubat.

Terdapat juga tanda-tanda kecederaan pada mayat si mati. Dalam inkues yang dijalankan atas kematian si mati, koroner memutuskan kematian si mati adalah akibat kecuaian, peninggalan dan keabaian tugas oleh pihak polis”-Petikan fakta kes dalam kes yang dilaporkan [2018] 8 CLJ 529, iaitu kes tuntutan kematian oleh pentadbir pusaka si mati.

Sekiranya berlaku kematian yang disyaki terdapat elemen ‘unlawful’ (Seksyen 329 Kanun Tatacara Jenayah), siasatan akan dimulakan oleh polis. Sekiranya berdasarkan siasatan polis mendapati kematian adalah disebabkan bukan sebab semulajadi atau unsur jenayah, polis akan mengaturkan bagi post-mortem mayat tersebut dengan pegawai perubatan kerajaan berdekatan (Seksyen 330 KTJ).

Selanjutnya pegawai perubatan kerajaan akan menyediakan satu laporan berdasarkan post-mortem (Seksyen 332 KTJ) dan menyerahkan kepada Majistret laporan (Seksyen 333, KTJ).

Seksyen 337 KTJ, menyatakan adalah tugas koroner untuk memastikan:

a) Bila si mati meninggal dunia/mati?
b) Di mana si mati meninggal dunia/mati?
c) Bagaimana si mati meninggal dunia/mati?
d) Si mati mati di dalam apa cara?
e) Adakah sesiapa bertanggungjawab secara jenayah berkenaan kematian si mati?

– Perenggan 4, Laporan Inkues Chandran Perumal.

Inilah antara perkara-perkara yang perlu dititikan beratkan oleh Mahkamah sewaktu memutuskan laporan kematian dalam inkues. Banyak elemen-elemennya. Jadi, sewaktu inkues masih belum ada pertuduhan.

Sama juga bagi kes arwah Adib. Kita perlu tunggu keputusan dan selepas dapat keputusan sama ada kematian ada unsur jenayah atau tidak, atau disebabkan kecuaian kemudian ada prosiding undang-undang yang lain. Contohnya seperti pertuduhan jenayah dibawah Seksyen 302 sekiranya didapati kematian akibat pembunuhan atau ada tuntutan oleh ahli keluarga kerana kecuaian kematian. Ini prosiding berbeza , tidak sama dengan inkues.

Dalam kes Chandran Perumal ini, selepas memperolehi laporan inkues, ahli keluarga menyaman akibat kecuaian, peninggalan dan keabaian tugas oleh pihak polis. Ahli keluarga berjaya mendapat pampasan. Jadi, kita tunggu keputusan inkues. Berdasarkan laporan ini baru ada tindakan sepenuhnya.

Saya doakan semoga keadilan terhadap arwah diperolehi dan arwah serta ahli keluarga mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya. Saya menyanjung arwah kerana pengorbanannya sewaktu menjalankan tugas, ini yang patut kita contohi. Takziah kepada ahli keluarga dan semoga terus bertabah.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: