
Berkenaan dengan kes remaja berumur 16 tahun yang disiasat kerana menyebabkan kematian kepada penceroboh bersenjatakan pisau yang masuk ke rumahnya.
Suspek memecah masuk rumah yang dihuni remaja berumur 16 tahun dan ibunya. Dilaporkan suspek masuk dan mengacukan pisau kepada penghuni rumah, menyebabkan pergelutan dan suspek tewas. Suspek disahkan meninggal dunia.
Remaja tersebut disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Ada beberapa persoalan disini iaitu dakwaan dibawah Seksyen 307, cubaan membunuh. Kenapa tidak dibawah Seksyen 304 bunuh tanpa niat? Suspek telah meninggal dunia dan adakah masih dikategorikan sebagai cubaan membunuh?
Soalan seterusnya adalah adakah suspek boleh dipersalahkan kerana mempertahankan ibu dan dirinya?

Saya sempat membaca hampir 20 kes yang dilaporkan di mahkamah melalui Current Law Journal. Kesemua kes-kes ini bukanlah dari laporan pemberita tetapi berdasarkan minit mahkamah dan dokumen-dokumen sewaktu perbicaraan dan keputusan dan akan dibukukan sebagai kes panduan peguam sewaktu berhujah di mahkamah. Jadi sumbernya adalah sahih.
Dalam kesemua kes sabitan ini, bagi kes cubaan membunuh, kesemua mangsa tidak meninggal dunia tetapi mengalami kecederaan teruk kerana dia OKT yang ingin membunuh tetapi tidak berjaya. Berpantang ajal sebelum maut.
Jadi mengapa kes remaja ini masih disabitkan bawah Seksyen 307? Ingin juga saya ingatkan, maklumat yang kita terima adalah laporan berita bahawa dia disiasat bawah Seksyen 307. Jadi belum menjadi sahih dan laporan berita juga bukanlah laporan lengkap. Laporan yang lengkap adalah siasatan dari pihak polis.

Walaupun dilaporkan dalam berita pelaku disiasat bagi seksyen-sekyen tertentu, tetapi pertuduhan dan dakwaan masih boleh dipinda oleh pendakwa raya bila dirasakan sesuai.
Saya rujuk kes SENGGUTUWAN CHANDRA SEGARAN V PENDAKWA RAYA [2018] 1 LNS 305.
Dalam kes ini, tertuduh tidak berpuas hati dengan tindakan pendakwaraya yang menuduh perayu di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan bagi tuduhan membunuh kerana pada asalnya siasatan kes ini bermula dan berakhir dengan kesalahan di bawah s. 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
(‘APJ’). Kecuaian memandu sehingga menyebabkan kematian.
Mahkamah memetik seperti berikut:
“Undang-undang telah terlalu mantap berkenaan dengan kuasa Pendakwa Raya untuk mendakwa atau tidak mendakwa seseorang sepertimana yang termaktub dengan kukuh di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.”
Bermaksud kalau siasatan dimulakan dalam Seksyen berbeza sekali pun dan sekiranya pendakwaraya berpendapat perbuatan jenayah tertuduh lebih sesuai memenuhi elemen tertentu jenayah lain, maka pertuduhan akan dibuat bagi dakwaan lain.
Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada pendakwa raya untuk menarik kes atau meneruskan atau menentukan pertuduhan kes. Jadi dalam kes remaja ini mungkin disiasat bawah Seksyen 307 tetapi baru peringkat siasatan, ada kemungkinan dakwaan adalah berbeza.

Tambahan pula Seksyen 307 ini sekiranya disabitkan dalam kurungan (2) boleh dihukum gantung sampai mati. Ada juga kes yang menyentuh sama ada sesuai dibawah (1) atau (2). Panjang ceritanya, tidak habis nanti penulisan saya.
Berkenaan dengan isu. Adakah wajar remaja ini dituduh kerana mempertahankan diri. Begini, siasatan tetap siasatan. Sekiranya berlaku jenayah, pelaku tidak boleh ke balai dan maklumkan kepada polis “Saya mempertahankan diri” dan terus dibebaskan. Tidak begitu.
Bayangkan jika hal ini berlaku, ramailah suspek yang menggunakan ‘tarikan’ masing-masing atau cerita sedih sebaik sahaja ditangkap dan terus dibebaskan. Jika ini berlaku, habislah perlaksanaan undang-undang.
Jika pelaku yang pandai berlakon, maka bebaslah perogol, perompak, penyamun begitu sahaja kerana pihak berkuasa bersetuju dengan alasan dan tiada tangkapan dibuat.
Undang-undang itu seragam. Jika ada jenayah, ada laporan polis perlu menyiasat. Ikut segala prosedur seperti dalam Kanun Tatacara Jenayah (KTJ). Semuanya ada dalam KTJ, dari tangkapan, ambil keterangan sehingga dakwaan ke mahkamah.

Benar, kita marah dan rasa tidak adil apabila perompak masuk ke rumah dan kita hanya mempertahankan diri tetapi kita ditahan. Seperti saya kata, undang-undang seragam. Cara perlaksanaan perlu sama.
Cuba pula kita bandingkan situasi ini dengan kes lain, kita diragut dan sewaktu kejadian kita diseret dan dicederakan. Kemudian kita buat laporan dibalai, peragut ditangkap dan mula buat cerita sedih, dia ingin sara anaknya yang kurang upaya dan polis melepaskannya, sedangkan tiada siasatan yang rapi. Apa pula perasaan kita?
Jadi sekiranya ada sabitan jenayah, maka ikutlah prosedur. Ada tangkapan, ada siasatan dan pada waktu ini tertuduh boleh lantik peguam. Hak tertuduh tidak dinafikan. Undang-undang dan prosedur ini wujud sejak berpuluh tahun dahulu lagi bukan sejak bertukar kerajaan.

Dalam kes remaja 16 tahun ini, dia ditahan dan dia boleh beri keterangan apa berlaku dan dia cuba pertahankan diri. Semua keterangan ini direkodkan.
Polis akan membuat siasatan lanjut, teliti tempat kejadian, mayat penceroboh akan dibedah siasat dan selesai proses ini, pihak polis akan merumuskan kertas siasatan dan dihantar kepada pendakwaraya. Sepanjang proses ini tertuduh boleh mendapatkan nasihat dan khidmat undang-undang dari peguam.
Pendakwaraya akan memberi izin untuk kes dibicarakan di mahkamah. Sewaktu di mahkamah, remaja ini boleh membela diri dan sekiranya dia berjaya membuktikan elemen mempertahankan diri, dia akan dibebaskan.
Saya kongsi disini berkenaan tulisan saya tentang kes sekiranya suspek ingin menggunakan alasan membela diri. Apakah undang-undang membenarkan? Apa pembuktiannya.
Jadi selagi mana siasatan belum selesai dan tiada dakwaan di mahkamah. Maka, panjang lagi prosesnya. Jadi kita tidak tahu apakah keputusan akhir kes ini.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.