Seorang rakan saya yang dihubungi oleh syarikat kurier berkenaan barangan yang dihantarkan dan meminta wang sekiranya tidak mahu ditangkap polis.
Syarikat kurier itu mendakwa tiba-tiba barangan yang ingin dihantar dan dibungkus rapi milik rakan saya telah dibuka oleh kastam dan didapati mengandungi sejumlah duit yang banyak. Oleh itu, ini adalah menjadi kesalahan dibawah AMLA (Pengubahan Wang Haram).

Paniklah kawan saya. Kata wakil syarikat kurier, polis telah mengesan siapa pemiliknya dan akan datang untuk membuat tangkapan terhadap rakan saya. Jadi dia minta kawan saya buat bayaran RM3,200 bagi tujuan menyelesaikan supaya tiada tangkapan.
Nasib baik rakan saya terdetik ini adalah scam. Dia kata akan berbincang dengan peguamnya (sayalah tu). Kalau dia terus bayar. Mereka akan minta dan minta lagi. Bahaya. Bila kita panik, takut jenis yang menurut sahaja.
Kes ini mungkin juga boleh terjadi kepada kita kerana kebocoran maklumat sewaktu kita menghantar bungkusan. Zaman sekarang macam-macam. Jadi bagaimana cara kita mengatasinya?
Jika ada individu yang hubungi kononnya dari syarikat kurier mendakwa ada menemui dadah atau duit atau barangan yang salah disisi undang-undang. Perkara yang anda perlu tahu:
1) Polis atau penguatkuasa tidak akan membuat tangkapan melalui talian telefon. Mereka tidak akan memberi amaran awal hendak membuat tangkapan melalui telefon.
Bayangkan jika kes dadah, polis memang hendak buat tangkapan dan jika mereka hubungi untuk maklum akan tangkap, siapa-siapa yang jadi suspek akan lari bersembunyi. Hukuman dadah bukan biasa-biasa. Siapa-siapa pun akan cabut. Polis tidak akan call dahulu. Terus datang tangkap.
2) Polis atau penguatkuasa tidak akan mengarahkan pihak ketiga membuat penyelesaian KEWANGAN untuk pihak mereka.
Kalau didapati anda melakukan kesalahan jenayah. Mustahil ada ‘settle tepi’ kerana ini kes jenayah. Tidak melibatkan ganti rugi wang ringgit bukan kes sivil. Kes jenayah begini melibatkan hukuman penjara dan/atau denda. Denda pun perlu dibayar di mahkamah.
Jadi kenapa perlu call untuk minta duit bagi penyelesaian tidak ditangkap. Itu adalah kesalahan. Tidak mungkin polis akan hantar wakil untuk minta duit begitu. Silap-silap semua yang terlibat kena tangkap.
3) Polis atau penguatkuasa tidak akan mengarahkan mana-mana pihak mewakili mereka untuk tujuan penyelesaian.
Kalau betul-betul berlaku barang dijumpai dalam kotak kurier, adalah menjadi kesalahan untuk syarikat kurier menghubungi pemilik dan memaklumkan maklumat yang masih dalam siasatan polis kepada pelaku. Tambahan pula membantu pelaku mengelakkan diri dari siasatan atau tindakan jenayah.
Jadi segala ugutan atau gertak bahawa polis atau penguatkuasa akan membuat tangkapan melalui telefon adalah tidak munasabah. Lagi tidak munasabah bila mereka minta duit untuk selesaikan.
Hati-hati. Elakkan ditipu. Perlu lebih bijak. Banyak berkongsi cerita begini kepada ahli keluarga dan rakan-rakan. Supaya tidak jadi mangsa. Kes-kes begini makin berleluasa mungkin kerana masih ramai yang tidak tahu.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.