Isu kebanjiran pesakit mental di jalanan.

Isu kebanjiran pesakit mental di jalanan ini jangan ambil ringan. Pesakit mental atau orang gila ini, kalau yang jenis tidak menggangu tidak mengapa tetapi jika yang jenis agresif, bahaya juga.

Beberapa tahun dahulu, cerita rakan saya. Dia sedang menanti lampu trafik hendak melintas jalan di Masjid Jamek. Kemudian tidak jauh dari situ ada seorang pesakit gila. Matanya tepat memandang seorang wanita mengandung yang berdiri di sebelah rakan saya.

Tidak semena-mena laju dia berjalan, dia menghampiri wanita itu. Kemudian dia lempang wanita ini. Tergamam ibu mengandung ini, sambil menahan sakit dan rasa terkejut. Entah kenapa tiba-tiba. Barangkali wanita ini mengingatkan dia kepada seseorang.

Pesakit gila ini terus beredar laju. Tiada siapa marah. Semua sekeliling terkejut. Kalau ditahan atau dipukul semula sekalipun bukan dia faham. Ya tidak?

Ada juga pernah saya lihat, pesakit gila wanita yang tiba menjerit-jerit membuka bajunya sehingga separuh bogel. Ada juga kes yang kita tahu pesakit gila lelaki yang membuka seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada anak-anak kecil. Itulah saya kata, jika agresif, mereka bahaya.

Dua tiga hari ini, jika ada sedikit waktu terluang saya cuba membuat sedikit carian tentang isu pesakit gila. Sebab kes 3 ekor kucing yang dilemaskan oleh pesakit mental di dobi.

Saya ingin tahu sekiranya ada akta yang meletakkan tanggungjawab mereka kepada ahli keluarga seperti situasi ibu bapa atau penjaga dengan kanak-kanak.

Misalnya bagi kes kanak-kanak sekiranya ibu bapa atau siapa-siapa yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak mengabaikan, menganiaya atau mendedahkan kanak-kanak adalah bersalah di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh di denda atau dipenjara.

Kenapa seksyen ini diwujudkan kerana fitrah kanak-kanak yang perlu bergantung, tidak tahu membezakan salah atau betul. Maka, adalah menjadi tanggungjawab individu yang memelihara mereka untuk tidak mengabaikan dan tidak mendedahkan kepada situasi bahaya.

Begitu juga dengan pesakit mental, mereka perlu bergantung dan mereka tidak boleh membezakan salah atau betul. Jadi adakah menjadi kesalahan sekiranya ahli keluarga mengabaikan mereka dan membiarkan dijalanan tanpa sebarang usaha?

Saya ada terjumpa dibawah Seksyen 13, Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) iaitu Tatacara dalam kes pengabaian atau layanan kejam orang yang disyaki bercelaru mental.

Sekiranya didapati orang yang bercelaru mental diabaikan atau dilayani dengan kejam oleh mana-mana saudara atau mana-mana orang yang bertanggungjawab, jika didapati bersalah didenda tidak melebihi RM1,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Tidak ketat.

Tidak banyak tentang isu penjagaan dan pengabaian pesakit mental oleh ahli keluarga ini. Mereka ini perlukan penjagaan dan juga pemantauan. Malahan Akta 615 ini kebanyakan berkenaan prosedur dan tatacara undang-undang tentang rawatan pesakit mental. Lihat, betapa pentingnya mereka ini dirawat.

Jadi ahli keluarga perlu lebih peka dan ambil tanggungjawab. Pesakit Mental juga boleh didaftarkan sebagai OKU tetapi mereka mendapat rawatan sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut dan di sahkan oleh Pakar Psikiatri sebagai Kurang Upaya Mental.

Sebagai OKU hak mereka lebih terjamin, kerana ada banyak keistimewaan dan perlindungan. Malahan berdasarkan Seksyen 38, Akta Kurang Upaya 2008 memperuntukan perlindungan sepanjang hayat dan sistem sokongan sosial oleh kerajan sekiranya orang OKU kematian ibu bapa atau pemberi jagaan.

Tetapi jika dari awal ahli keluarga mengabaikan. Tidak membawa rawatan untuk disahkan oleh Pakar Psikiatri ini untuk membolehkan mendapat hak mereka. Bagaimana nasib mereka?

Panjang kalau hendak saya keluarkan Akta atau ulasan. Cuma setakat ini sahajalah tulisan saya, kalau undang-undang tidak ketat berkenaan isu pengabaian pesakit mental oleh penjaga.

Saya cuma harap, kita lebih peka isu ini supaya dapat mendidik yang lain.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: