Kenapa saya cadangkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat harta?Bagaimana pula kesalahan hina YDPA?

Semalam saya memberi pendapat agar perosak lukisan mural didakwa dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada harta benda bernilai RM25 ke atas.

Walaupun nampak kesalahan itu macam kecil tetapi hukuman di bawah Seksyen ini berat. Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang 1 tahun dan maksimum 5 tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kenapa hukuman bagi Seksyen ini berat? Kerana kebarangkalian melibatkan kerosakan harta yang dasyat. Saya ada terbaca kes, kerana sakit hati kereta jiran diletakkan dihadapan rumahnya.

Habis dia rempuh. Ada yang gilis motor. Sebab kebiasaannya dakwaan bawah Seksyen ini melibatkan kes-kes melampau dek kerana marah.

Semalam diruang komen, ramai bertanya bagaimana kesalahan menghina YDPA oleh perosak mural? Tidak boleh dihukumkah atau tiada dakwaan khususkah untuk kesalahan ini?

Begini, kalau kes di mahkamah, tertuduh bukan sahaja perlu didakwa berdasarkan kesalahan tetapi juga perlu memenuhi elemen jenayah bagi setiap kesalahan.

Kalau gagal buktikan ada elemen, apa berlaku? Terlepaslah si tertuduh dari sabitan setelah tamat prosiding undang-undang terhadapnya.

Contohnya macam kes beberapa hari lepas, yang telah saya kongsikan iaitu kes Farid S Shah Mansour lwn. PP [2018] 9 CLJ 92.

Farid dalam kes ini yang mabuk melanggar mati seorang anggota polis sedang bertugas. Farid disabitkan dibawah Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, memang dibuktikan Farid mabuk, memang dibuktikan Farid menyebabkan kematian.

Cuma satu elemen sahaja gagal dibuktikan oleh pendakwaraya iaitu akibat Farid mabuk, dia gagal kawal kenderaannya. Maka, Farid pun terlepas. Saya share link, tulisan supaya anda jelas. Cuba fahami kenapa pentingnya pembuktian setiap elemen jenayah supaya tidak mencacatkan kes.

Nampak? Semua elemen jenayah perlu ada. Tugas pendakwaraya di mahkamah susah kerana akan sentiasa dicabar dan dipatahkan oleh peguam pembela. Jadi pendakwaraya perlu teliti dari peringkat pertuduhan dan dakwaan lagi, iaitu tuduh pelaku pada perbuatan elemen jenayah paling jelas mengikut Seksyen dan kesalahan supaya tertuduh tidak akan terlepas.

Kalau kesalahan menghina YDPA ini biasanya akan didakwa dibawah Akta Hasutan 1948. Jom, kita lihat elemen jenayah dalam Akta ini untuk kita kaitkan dengan perosak mural ini.

Dibawah Seksyen 2, tafsiran menghasut ialah apabila sesuatu perkataan, terbitan dll dipakai bagi atau digunakan mempunyai kecenderungan menghasut.

Kemudian Seksyen 3 Akta ini juga menyebut kencederungan menghasut antara elemennya bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan. Kerana penggunaan perkataan ‘atau’ ini bermakna salah satu, disini mungkin kita boleh gunakan elemen ‘penghinaan’ tetapi masih perlu elemen menghasut ke arah kebencian.

Hukumannya pada saya juga masih tidak berat iaitu kesalahan kali pertama didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya dan, bagi kesalahan yang kemudian, boleh dipenjarakan tidak melebihi 5 tahun.

Bandingkan hukuman ini dengan Seksyen 427 KK. Kalau kalian hendak hukuman yang mana pada perosak mural?

Pada pandangan saya, jika perosak mural didakwa dibawah Akta Hasutan kerana menghina YDPA, elemennya tidak kuat kerana kebiasaanya Akta Hasutan ini lebih kepada ‘hate speech’ mengajak orang tidak setia kepada Agung. Kuncinya adalah menghasut ke arah kebencian.

Sebab itu kalau kesalahan menghina YDPA atau mana-mana Sultan di Internet, kebanyakan dakwaannya adalah dibawah 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik, dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Seksyen 233 bukanlah dikhususkan kepada kesalahan menghina YDPA tetapi kepada kesalahan menyalahgunakan internet. Kebanyakan kes menghina YDPA di internet adalah dibawah Seksyen ini. Kenapa? Kerana elemennya lebih jelas, apabila mereka ini mengubah gambar YDPA, membuat ejekan dan ini dikatakan komunikasi jelik dan menyakitkan hati orang lain dan bukan hasutan dengan menggunakan internet.

Jadi kes perosak mural ini tidak melibatkan ejekan dan komunikasi jelik di internet, Seksyen 233 langsung tidak sesuai digunapakai.

Mungkin kita boleh mempertimbangkan Seksyen 504 KK iaitu penghinaan dengan niat memecahkan keamanan awam. Jadi di sini benar perosak mural telah melakukan penghinaan bukan sahaja YDPA tetapi juga kepada pemimpin negara. Elemennya ada, namun perlu dibuktikan apakah maksud memecahkan keamanan awam?

Bagi kesalahan ini, hukumannya penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Saya masih mahu hukuman lebih berat seperti Seksyen 427KK kepada perosal mural.

Habis saya cuba petik kebarangkalian dakwaan kesalahan perosak mural mengikut Akta. Itu yang semalam, saya rasakan Seksyen 427 KK lebih sesuai. Pun begitu, di mahkamah tempat peguam-peguam dan pendakwaraya berhujah. Masing-masing ada pendapat dan alasan hujah masing-masing.

Jadi saya hormati pendapat yang lain, bahawa kesalahan ini turut menghina YDPA dan pemimpin. Ini jelas dan saya amat bersetuju. Kurang ajar perosak mural itu. Jika hendak dakwa di mahkamah, kita minta pendakwaraya buat yang terbaik. Jangan kasi lepas.

Nanti jangan pula dia bagi alasan, tidak niat hendak hina YDPA secara spesifik tetapi kerana waktu kejadian malam. Saya tidak nampak, saya hanya spray sahaja. Macam-macamlah alasannya lagi. Tiba-tiba lepas dari dakwaan Seksyen 4, Akta Hasutan atau mungkin Seksyen 506 KK. Jangan jadi seperti kes Farid S Shah Mansour lwn. PP, terlepas kerana tidak cukup elemen.

Tetapi paling nyata, dia telah melakukan khianat pada sesuatu yang bernilai lebih RM25. Mana mahu lari? Perbuatannya jelas. Itulah sebabnya saya berpendapat Seksyen 427 itu lebih jelas elemen jenayahnya.

Apa-apa pun, kepada PDRM, semoga segera dia ini ditangkap dan semoga maju jaya kepada team pendakwaan meneruskan kes terhadap perosak mural.

Sekian, sahaja pendapat saya wahai rakan-rakan saya yang bijaksana. Selamat bekerja.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: