Pembunuh Kanak-kanak atau Remaja.

Dulu saya selalu tonton rancangan 732 Crime Scene di Astro. Punyalah banyak dokumentari pasal pembunuh kanak-kanak atau remaja. Banyak!

Sehinggakan ada macam jenis dokumentari, ada bermusim-musim. Ada bersiri-siri. Punyalah banyak. Tapi itu remaja luar negara. Kes-kes remaja diluar negara memang keterlaluan.

Tetapi sejak kebelakangan ini risau membaca laporan berita kes campak bayi oleh beberapa remaja berasingan. Kelmarin, 18/7/2020 sekitar jam 12.35 tengahari di Ipoh, seorang remaja mencampak bayi dari tingkat 2. Bayi mengalami kecederaan dikepala.

Sebelum ini ada lagi kes campak bayi seperti berikut:

10/7/2020 pada pukul 8.25 pagi di Pulau Pinang
14/5/2020 sekitar jam 8.00 pagi di Pulau Pinang.

Dalam tempoh 3 bulan ini, sudah 3 kali dilaporkan. Perbuatan semuanya dilakukan siang hari. Remaja yang tiada simpati dan empati. Bukan sahaja tidak ada belas kasihan terhadap darah daging sendiri, malahan tidak takut diketahui. Kasihan anaknya dilayan benar-benar seperti sampah dan tidak berharga.

Dalam undang-undang ada memperuntukkan Seksyen 309A iaitu Infanticide. Seksyen ini memperuntukkan sekiranya si ibu membunuh anak yang baru lahir kerana kesan mental akibat dari melahirkan anak adalah bersalah Infanticide.

Hukuman bagi Infanticide adalah dibawah Seksyen 309B iaitu berdasarkan budi bicara mahkamah, dengan maksimum penjara hingga 20 tahun dan denda. Untuk membuktikan kesalahan dibawa Seksyen ini perlu ada pengesahan mental dari pakar Psikiatri.

Bagaimana sekiranya, perbuatan remaja-remaja ini langsung tidak didorong oleh Infanticide? Semata-mata hendak menghapuskan bukti dan melepaskan diri. Membunuh anak sendiri dengan mencampakkan dari atas bangunan.

Bahaya kalau pemikiran begini tidak dibendung di kalangan remaja. Sangat bahaya! Kenapa? Maka, jadilah kanak-kanak atau remaja kita seperti kes-kes di luar negara. Kes di luar negara memang gila! Tahu siapa yang selalu menjadi mangsa-mangsa pembunuh remaja di luar negara? Ahli keluarga sendiri. Ya! Mereka bunuh ibu bapa sendiri kebanyakannya.

Punca membunuh ibu bapa sendiri kerana menghalang hubungan cinta. Kerana menghalang kebebasan hidup. Gila bukan? Misalnya Jasmine Richardson seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, telah membunuh ibu, bapa dan adiknya berusia 8 tahun. Pembunuhan itu dilakukan dengan kekasihnya berusia 23 tahun kerana cinta mereka di halang.

Begitu juga dengan kes Nicholas Browning berusia 15 tahun yang menembak mati ibu, ayah dan kedua adik lelakinya berusia 13 dan 11 tahun. Begitu juga dengan kes Daniel Petric, pada usia 16 tahun membunuh ibu dan bapanya kerana bapanya merampas permainan video.

Pada 2013, Nehemiah Griego berusia 15 tahun telah membunuh kedua-dua ibubapanya dan 3 adik beradik yang lain kerana kebencian. Banyak lagi senarainya, anda boleh cari sendiri di internet.

Rata-rata mereka memang membunuh keluarga sendiri. Mungkin juga mereka rasa dikongkong dan ingin bebas. Penyelesaian paling mudah, membunuh dan menamatkan semuanya. Tiada simpati dan empati. Tidak peduli sama ada darah daging sendiri atau tidak.

Sudahnya kes begini jadi terlalu banyak di luar negara. Paling banyak tentulah di USA. Tidak termasuk kes pembunuhan tembakan secara rambang oleh remaja di sekolah.

Saya tidak akan lupa kejadian kebakaran di pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang pelakunya adalah remaja. Betapa bahayanya jika remaja ini tiada belas kasihan, simpati dan empati.

Begitulah bahayanya jika isu tiada simpati dan empati di kalangan masyarakat makin bernanah. Semoga anak-anak kita sentiasa diterap dengan isu agama dan juga moral. Janganlah mereka tersimpang jauh.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: