Pindaan bagi hukuman pemandu mabuk diperketatkan.

Kelmarin (16 Julai 2020) saya membaca berita bahawa PDRM berharap agar pindaan bagi hukuman pemandu mabuk diperketatkan. Kini menunggu kelulusan dari Dewan Rakyat bagi pindaan hukuman.

Sekarang hukuman bagi pemandu mabuk dibawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (APJ) iaitu memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah memperuntukan:

Penjara tidak kurang 3 tahun dan tidak lebih 10 tahun dan didenda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000. Selain itu ada juga lesen digantung. Pindaan yang dicadangkan adalah penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum RM150,000.

Selain dari Koperal Safwan yang terkorban kerana dilanggar pemandu mabuk sewaktu dalam tugasan, ada juga sebenarnya kes anggota PDRM yang terkorban kerana pemandu mabuk. Cuma mungkin kita tidak perasan liputannya.

Nyawa memang tidak dapat dikembalikan, sekurang-kurangnya jika ada sabitan bersalah terhadap pemandu mabuk, puas hati juga. Bagaimana sekiranya tiada pembelaan? Akhirnya tertuduh tidak didapati bersalah. Sakit hati bukan?

Inilah yang berlaku dalam kes FARID S SHAH MANSOUR lwn. PP [2018] 9 CLJ 92. Dalam kes ini, Farid yang memandu dibawah pengaruh alkohol telah melanggar seorang anggota polis iaitu M Kalaichelvan a/l Mariyapan sehingga mati.

Di peringkat Mahkamah Majistret, Farid didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun mulai tarikh sabitan dan denda RM9,000 jika ingkar, penjara tujuh bulan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Farid merayu di Mahkamah Rayuan. Mahkamah membenarkan rayuan Farid dan Farid dibebaskan dan dilepaskan dari sabitan.

Mengapa? Kerana Mahkamah berpendapat bagi kesalahan di bawah Seksyen 44(1)(a), pendakwaan perlu membuktikan elemen-elemen kesalahan iaitu:

(i) Responden memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol;
(ii) Responden tidak berkeupayaan mengawal kenderaannya;
(iii) Responden menyebabkan kematian

Dalam kes ini, memang dibuktikan bahawa sewaktu kejadian Farid memang mempunyai kandungan alkohol lebih dari had dibenarkan.

Namun demikian, pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa akibat mabuk, dia telah gagal mengawal kenderaannya. Dalam kes ini, si mati yang sedang membuat rondaan bersama satu anggota lain dikatakan telah secara cuai memasuki laluan jalan yang sah Farid sehingga menyebabkan kemalangan.

Bermakna, walaupun Farid mabuk dan merempuh si mati. Si mati juga telah cuai memasuki jalan Farid sehingga Farid melanggar si mati.

Di Malaysia, APJ tidak memperuntukkan anggapan bahawa jika anda mabuk, anda tidak boleh mengawal kenderaan. Pihak pendakwaan perlu membuktikan dengan bertanyakan kepada saksi bahawa pemandu mabuk dan akibat dia mabuk dia gagal kawal kenderaan.

Mahkamah dalam kes ini turut memetik perbandingan dengan undang-undang di Singapura iaitu Seksyen 30B Road Traffic (Amendment) Act 1973 Presumption of incapability of having proper control of motor vehicle.

Bermakna di Singapura, kalau mabuk memang dianggap tidak boleh mengawal kenderaan. Jadi dalam kes pemandu mabuk di Malaysia, bagi disabitkan kesalahan, pemandu bukan sahaja perlu dibuktikan mabuk.

Pemandu juga perlu dibuktikan akibat mabuk, jadi dia hilang kawalan kenderaan. Misalnya kerana dia mabuk, dia gagal memberhentikan kereta sehingga melanggar anggota PDRM yang berada dilaluanya.

Soalan ini perlu dikupas di mahkamah. Malangnya dalam kes ini, pihak pendakwaan telah membuat anggapan sendiri dan tidak dikupas isu ini sewaktu perbicaraan. Maka Farid dilepaskan dan dibebaskan. Mahkamah turut memerintahkan denda RM9,000 dibayar semula kepada Farid.

Jadi jelas, pindaan bukan sahaja sepatutnya kepada hukuman terhadap pemandu mabuk. Malahan penambahbaikan kepada undang-undang berkaitan anggapan pemandu mabuk gagal mengawal kenderaannya juga perlu dipinda dan apa-apa sahaja elemen yang boleh memperkukuhkan dakwaan dan sabitan terhadap pemandu mabuk.

Jangan kasi muka!

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: