
Hari ini saya nak terangkan apa itu PENGHAKIMAN TERUS untuk kefahaman semua. Sebelum itu kita perlu tahu apa itu Penghakiman?
Penghakiman adalah perintah oleh Mahkamah memerintahkan Defendan membayar kepada Plaintif jumlah yang terhutang.
Dalam Penghakiman biasanya dia akan tulis antaranya “ADALAH PADA HARI INI DIHAKIMKAN BAHAWA Defendan hendaklah membayar jumlah seperti berikut:-“. Diletakkan jumlah yang perlu dibayar dalam penghakiman.
Kalau tidak bayar, ini yang boleh kena sita, bankrap, syarikat digulungkan dan lain-lain. Proses hendak dapatkan penghakiman ini, mula-mula perlu ada surat tuntutan peguam. Surat ini adalah amaran untuk menuntut sebelum bawa ke mahkamah. Masih juga gagal bayar, jadi Plaintif akan failkan kes ini di mahkamah melalui Writ Saman dan Penyataan Tuntutan.
Kalau mendapatkan penghakiman begini, ini adalah kes sivil dan bukan jenayah ya. Kes sivil ini yang melibatkan tuntutan wang ringgit, yang dibayar kepada pihak menuntut iaitu Plaintif. Dalam kes DS Najib, Plaintif adalah LHDN dan DS Najib adalah Defendan.

Hendak dapatkan penghakiman ada beberapa cara.
Cara pertama, apabila Defendan gagal hadir. Kalau gagal hadir biasanya mahkamah akan membenarkan semua jumlah tuntutan yang dituntut oleh Plaintif.
Kalau hadir, sekurang-kurangnya dapat membela diri atau kurangkan tuntutan, tetapi siapa suruh tak hadirkan? Nasiblah. Ini dinamakan Penghakiman Ingkar Kehadiran. Mahkamah tetap memberi arahan bayar walaupun tak hadir.
Seterusnya ada Penghakiman Persetujuan, bila pihak-pihak kata “Kita janganlah gaduh-gaduh, jom kita settle”. Jadi mereka pun masukkan penghakiman dengan terma-terma yang dipersetujui masing-masing dan direkodkan di mahkamah.
Satu lagi cara adalah Penghakiman lepas perbicaraan penuh. Maknanya setelah memanggil segala saksi-saksi datang bagi keterangan, peguam dah berhujah. Kemudian Mahkamah buat keputusan berdasarkan keterangan saksi dan hujahan peguam.

Satu lagi cara adalah secara PENGHAKIMAN TERUS (PT). Macam kes yang sedang kita bincang. Apa itu PT?
PT adalah perintah mahkamah untuk membayar jumlah terhutang tanpa perlu perbicaraan kerana kes yang terlalu ‘plain, obvious dan straight forward’.
Macam mana pula kes obvious atau jelas ni? Misalnya saya bagi contoh kes-kes yang jelas dan tak boleh dicabar langsung dan tak guna pun pergi perbicaraan sebab Mahkamah sudah boleh agak jawapannya. Misalnya kes hutang kredit kad, hutang kereta, hutang rumah dan segalanya yang melibatkan perjanjian yang jelas.
Bukanlah saya kata Mahkamah itu, ahli nujum tetapi bayangkan kes yang jelas begini dibawa sehingga peringkat perbicaraan. Soalan yang bakal ditanya adalah, adakah encik telah menandatangani perjanjian hutang ini? Adakah encik berhutang? Adakah encik tak bayar?

Memang jelas sudah jawapannya. Hutang yang tidak bayar. Kalau dibawa perbicaraan juga buang masa. Kes di mahkamah sudahlah terlalu banyak pada kadar harian. Bayangkan kalau satu hari bank failkan ribuan kes terhadap penghutang dan setiap satu perlu perbicaraan.
Isu akan timbul misalnya ada orang tiru tandatangan, melainkan ada cacat pengiraan faedah. Barulah mahkamah benarkan bicara penuh. Mahkamah hendak putuskan sama ada memberikan PT atau tidak adalah berdasarkan permohonan oleh Plaintif.
Maknanya Plaintif perlu pohon di mahkamah untuk masukkan PT tanpa perlu bicara kerana kes yang terlalu jelas dan tidak boleh dicabar. Jadi hendak masukkan PT ini bukanlah pakai air liur sahaja, perlu ada Notis Permohonan yang disokong oleh Afidavit Sokongan.
Kalau dalam kes LHDN v DS Najib ini, Afidavit Sokongan akan difailkan oleh LHDN. Dalam Afidavit Sokongan perlu dilampirkan segala bukti, dokumen pencukaian, cara kiraan. Misalnya yang dikenakan itu adalah 1.6 Billion, bagaimana boleh dapat jumlah ini, kiraannya perlu dihuraikan?
1.6 Billion hanyalah jumlah yang dikenakan dari pendapatan sebenar, kebiasaanya nilai anggarannya adalah 25% (mengikut tahun isytihar peratusan cukai), ditambah juga penalti 10% setiap bulan kerana gagal bayar dari 2011 hingga 2017.

Kiraan yang perlu dibuat adalah berapa nilai pendapatan sebenar, dari situ dapat 25% misalnya, 10% dan segala bagai kiraan sehingga memperoleh 1.6 Billion.Jadi LHDN perlu perincikan dalam Afidavit Sokongan. Pasti rumit kerana melibatkan jumlah belasan angka.
Saya pernah mewakili Defendan dalam kes LHDN ini bagi tuntutan cukai dan terdapat pertikaian dalam kiraan faedah. LHDN sendiri telah menarik balik tuntutan dan difailkan semula. Nampak? Kiraan terperinci adalah sangat penting untuk menjadikan ianya Penghakiman Terus.
DS Najib pula akan diberikan peluang untuk membela melalui Afidavit Balasan, DS Najib boleh menyediakan segala dokumen menyatakan contohnya beliau tidak berhutang, beliau telah membayar dengan segala bukti bayaran, kiraan salah dan lain-lain untuk mencabar permohonan Penghakiman Terus.
Kemudian segala Afidavit dari kedua-dua pihak yang saling berbalasan ini, diakhiri dengan rumusan melalui hujahan peguam masing-masing dan akhirnya Mahkamah akan memberi keputusan.

Dalam kes DS Najib ini, Mahkamah membenarkan Penghakiman Terus bermakna Mahkamah bersetuju bahawa segala dokumentasi lengkap, kiraan lengkap, bukti lengkap sehingga Mahkamah membenarkan PT. Tidak boleh disangkal lagi, tiada lagi perlu bicara dan terus diputuskan DS Najib perlu bayar.
Sekiranya DS Najib tidak berpuas hati, DS Najib masih boleh merayu untuk diketepikan keputusan dan pergi kepada perbicaraan penuh untuk membuktikan dia tidak berhutang. Ini bukan sembang politik ya, ini prosedur Mahkamah.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.