30 tahun lepas, kalau nak miliki TV kita perlu bayar Lesen Televisyen. Betul ke?

Beberapa tahun dahulu, sebelum wujudnya Youtube, Tiktok, Instagram, Facebook yang tidak dilesenkan dan bakal dilesenkan ini, setiap rumah yang memiliki Televisyen perlu ada lesen.

Lesen TV ini selaras dengan Peraturan-Peraturan Penyiaran (Lesen-lesen Alat Terima Siaran Televisyen Dan Untuk Berniaga Alat Terima Siaran Radio Dan Televisyen ) 1991.

Bawah peraturan ini, jika anda memiliki TV di rumah perlu ada lesen. Lesen ini perlu dibayar setahun RM24. Banyak nilai RM24 untuk 30 tahun lepas. Masa zaman ni, roti canai pun tak mahal lagi. Bukanlah semua mampu hendak membayar, apatah lagi memiliki TV pada waktu dahulu.

Kalau ada penguatkuasaan datang ke rumah dan dapati tiada lesen TV, pemilik TV akan dikenakan denda tak lebih RM60. Lesen TV ini sebenarnya bertujuan hendak membiaya penyiaran awam. Masa dulu-dulu iklan komersial tidak banyak, jadi ini salah satu cara.

Masa kecil-kecil dahulu, saya dapat tahu pasal lesen TV pun, dari majalah lawak Gila-Gila, bagaimana kartun-kartun ini selalu panik menyembunyikan TV supaya tak perlu bayar denda. Kelakar.

Zaman pun dah berubah, lesen TV ini telah dimansuhkan lama dahulu. Ikut peredaran zaman. Banyak undang-undang yang tidak ikut peredaran zaman sudah dimansuhkan misalnya Akta Penyiaran 1988 yang digantikan dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kalau yang didebatkan tentang lesen video pendek di social media juga boleh digubal, dimansuhkan dan ditambahbaik ikut peredaran zaman, kerana yang sedia ada ini definisi, kesalahan dan perlaksanaan tidak merangkumi social media yang sudah menjadi sebahagian kehidupan masyarakat.

Kalau benar bagai dikatakan oleh Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam Kenyataan Media bertarikh 23/7/2020 bahawa tidak akan menyekat kebebasan di social media dan menerima sebarang cadangan serta penambahbaikan, syukurlah.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: