Adakah para pembuat video di media sosial dikira salah kerana tidak berlesen seperti yang diperuntukkan bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia Act 1981 (Akta 244)?

Para pembuat video Facebook Live, Instagram, Tiktok, Youtube dll, adakah anda dikira salah kerana tidak berlesen seperti yang diperuntukkan bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia Act 1981 (Akta 244)?

Denda dia bukan main-main. Kalau disabitkan kesalahan denda maksimum RM50,000 atau penjara tak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali. Atau tambah lagi kalau kesalahan berterusan, bermakna video itu tak habis-habis ditayangkan sehari RM10,000. Fuh! Berhabis harta hendak bayar denda.

Adakah kita ini bersalah jika rakam video dan muatnaik tanpa lesen di sosial media untuk tontonan umum?

Hari ini, Menteri dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata, jika tidak ada lesen bagi perakam atau pembuat video/filem, maka adalah bersalah dibawah Seksyen 22 Akta tersebut.

Beliau tambah lagi dengan memetik Seksyen 2 iaitu interpretasi apa makna filem? Bermaksud filem, filem pendek, pengiklanan filmlets, APA-APA SAHAJA JENIS MATERIAL RAKAMAN, TERMASUK VIDEO TAPE DAN DISCS VIDEO GAMBAR BERGERAK DENGAN BUNYI ATAU TANPA BUNYI, dokumentari UNTUK TONTONAN UMUM.

Kenapa saya letakkan huruf besar kerana ini memang yang selalu kita buat. Rakam filem atau video dan muat naik di sosial media. Jadi kita mungkin bersalah kerana maksud filem juga video pendek.

Kalau ikut tegasnya definisi ini, bermakna kalau kita rakam video kita bersama keluarga dan muatnaik di sosial media untuk tontonan umum, maka jatuhlah dalam definisi makna filem ikut Seksyen ini.

Sebab ianya jenis material rakaman untuk tontonan umum. Jadi terpakai jugalah untuk FB Live, Tiktok, Instagram dll.

Seksyen 22 juga memperuntukkan setiap aktiviti produksi, penyebaran dan tayangan video perlu berlesen. Jika tidak bersalah dan perlu bayar denda yang puluhan ribu di bawah Seksyen 25 Akta tersebut. Hukuman seperti yang saya nyatakan di atas.

Seksyen 2 Akta ini juga memberi interpretasi kepada perkataan yang digunakan dalam Seksyen 22 iaitu: 1) produksi filem 2) penyebaran filem dan 3) tayangan filem ini.

Kita lihat satu-satu interprerasi aktiviti bawah Seksyen 22 ini:

Interpretasi produksi filem bermaksud prosesan filem (filem itu masih mengikut makna yang saya jelaskan di atas), rakaman atau penduaan (duplicate) video kepada orang awam atau kumpulan orang awam.

Kalau saya rujuk kepada situasi video social media, kita buat video atau kita download video orang dan muat naik semula dalam senarai rakan kita juga sudah jatuh maksud yang ini.

Interpretasi maksud penyebaran filem ini lebih selamat sedikit kerana lebih kepada berkenaan dengan menyewakan filem, membeli dengan tujuan keuntungan.

Yang ini okay! Tidak nampak ada kena mengena dengan kita sebagai pengguna sosial rakam suka-suka video tanpa keuntungan.

Tetapi Seksyen 22 memperuntukkan bahawa salah satu aktiviti jika tidak ada lesen pun masih boleh didenda dibawah Seksyen 25. Bermakna salah satu dari, produksi, penyebaran atau tayangan atau kesemua aktiviti mesti berlesen. Bahayakan?

Interpretasi tayangan filem bermaksud menayangkan filem kepada orang awam atau kumpulan orang awam. Ini boleh jadi kita, sebab video kita muat naik memang untuk tayangan awam.

Saya faham di bawah Seksyen 6, tugas Finas perlu melindungi industri filem negara, memastikan perkembangan filem negara dll.

Tetapi jika undang-undang ini jika ingin diperketatkan untuk mengawal industri filem, saya harap mereka pindalah undang-undang baru selaras dengan aliran zaman sekarang.

Kalau hendak kenakan lesen atau yuran subscribe, mungkin boleh buat jika video itu mendatangkan jumlah keuntungan kepada pembikin. Jangan main pukul rata semuanya.

Lambakan video social media ini sangat banyak faedah dan kreativitinya. Ada yang lucu, ada yang berbentuk nasihat, ada yang informasi dan macam-macam lagi. Banyak video dari rakyat Malaysia.

Sumber : Saluran Youtube ML Studios.

Penuh dengan kreativiti, setanding dengan video luar negara walaupun filem kita mungkin tidak setanding luar negara tetapi video-video pendek dari ramai pengguna social media di Malaysia memang bagus-bagus.

Bayangkan kalau disekat, diletakkan undang-undang perlu bayar lesen dan subscription fees. Bayangkan kalau ada kes dibawa ke mahkamah bayar denda puluhan ribu kerana tidak berlesen muatnaik video pendek di social media. Maka akan menyekat kreativiti pengguna social media. Semua jadi takut.

Jadi tidak adalah lagi video-video kreatif begini. Kita layan sahajalah banyaknya video sosial media dari luar negara.

Sebenarnya video di social media juga adalah satu cara mempromosikan Malaysia, misalnya video masakan, makanan, percutian, video ajar bahasa Malaysia dll. Sayangnya jika semua ini diletakkan sekatan. Sudahlah promosi memperkenalkan Malaysia tidak dibuat secara berleluasa.

Kadangkala bila remaja ada hobi menghasilkan kreativiti begini, mereka akan mendalami minat dan tidak pergi melepak atau bercampur dengan gejala tidak sihat.

Sumber : Saluran Youtube Oh Media.

Kalau semua ini dibuat hanya untuk melindungi industri filem kita, adakah drama atau filem kita cukup hebat sehingga buat kita terpana dihadapan Televisyen dan tidak mahu alternatif lain? Jangan takutkan saingan tetapi buat lebih baik supaya tidak tersaing.

Kalau berkenaan alasan undang-undang lesen ini diperketatkan untuk nengawal segala video berbau lucah, jelik, jengkel dan mendatangkan rasa ketidak selesaan di internet ini sudah pun diperuntukan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Ada hukuman dan dendanya.

Lakukan perlaksanaan lebih baik dibawah Seksyen 233 ini bukan melaksanakan undang-undang yang bakal menyekat kreativiti.

Mungkin ada bagusnya jika Akta ini digubal, untuk fokus kepada video social media diberikan pengecualian selagi tidak mendatangkan keuntungan atau tetapkan had. Zaman sudah berubah, ikut peredaran zaman.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: