Eh? Kenapa DSN tak terus dipenjarakan? Kenapa dihukum serentak? Kenapa tak asing-asing.

Eh? Kenapa DSN tak terus dipenjarakan?
Kenapa serentak? Kenapa tak asing-asing.

Sejak semalam ramai yang bertanya macam-macam dihujani soalan dari Whatsapp, komen di ruang FB dan juga messenger. Saya jawab di sini ya, supaya semua faham prosesnya.

Begini, asas konsep kemanusiaan di mana-mana negara membangun adalah “right to be heard” atau hak untuk didengar. Melainkan negara yang diperintah oleh diktator. Masih ada beberapa negara begini di dunia dan rakyatnya tiada hak berhak bersuara, begitu juga diadili dengan sistem keadilan yang betul.

Di Malaysia ini, kita bukanlah negara diktator ketenteraan atau bersifat diktator. Oleh yang demikian semua ada hak untuk membela diri di mahkamah.

Begitulah juga dalam mana-mana kes yang pernah dituduh sebelum ini, semua boleh membela diri. Tidak kiralah misalnya mediang Karpal Singh yang pernah dituduh dan didakwa untuk kes Akta Hasutan. Semuanya ada hak membela diri.

Setelah diputuskan di mahkamah walaupun diputuskan adalah bersalah dan menghadapi hukuman masih lagi hak tertuduh yang didapati bersalah didengar melalui rayuan.

Ini yang berlaku dalam kes DSN, iaitu DSN mempunyai hak untuk merayu di mahkamah yang lebih tinggi. Di sini sekali kes DSN akan didengari oleh tiga orang hakim yang berbeza dalam Mahkamah Rayuan. Manalah tahu sabitan dan hukuman dikekalkan atau dilepaskan dan dibebaskan.

Begitulah proses di mahkamah, tertuduh akan didengar melalui pembelaan dan rayuan. Jadi sementara menunggu rayuan, entah kalah atau menang, tertuduh boleh meminta penangguhan hukuman penjara.

Mana tahu kalau kes rayuannya menang di mahkamah, sabitan dan hukuman diketepikan. Bagaimana sekiranya hukuman penjara telah dijalankan sejak keputusan dibuat? Siapa yang hendak mengembalikan semula waktu-waktu yang dihabiskan dipenjara?

Berbeza dengan wang denda hukuman, memang perlu dibayar segera. Jika sudah dibayar setelah keputusan didapati bersalah dan kemudian rayuan berjaya diperingkat seterusnya.

Wang denda ini boleh dipulangkan. Tidak sama macam penjara, tiada galang gantinya waktu yang telah berjalan. Bagaimana hendak pulangkan?

Walaupun denda perlu dibayar segera tetapi pihak pembelaan (peguam-peguam DSN) perlu membuktikan keadaan istimewa sekiranya mereka ingin memohon bagi penangguhan bayaran denda.

Jadi dalam kes ini pasukan pembelaan telah berjaya berhujah dan penangguhan diberikan, namun demikian mahkamah memerintahkan agar jumlah jaminan DSN perlu dinaikkan kerana denda RM210 juta tidak dibayar segera. Jaminan tambahan tersebut perlu dibayar hari ini.

Seterusnya, berkenaan dihukum serentak. Memang bagi kes-kes jenayah di mahkamah sekiranya terdapat sabitan dan hukuman bagi lebih 1 kesalahan, hukuman pemenjaraan biasanya dijalankan serentak. Bukan untuk kes DSN sahaja tetapi rata-rata kes jenayah pun begitu.

Dari sudut ini, wajar atau tidak hukuman serentak ini? Ada beberapa kes undang-undang diputuskan dan didebatkan tentang isu ini di mahkamah. Saya minta maaf tak sempat hendak buat kajian dalam penulisan ini.

Cukup saya maklumkan, memang kes-kes jenayah yang diputuskan di mahkamah memang dihukum serentak.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: