
Hari ini ditetapkan keputusan kes DS Najib (DSN) di mahkamah bagi 7 pertuduhan dan mahkamah telah memutuskan bahawa DSN adalah bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati kepada penyokong-penyokong, seperti biasa jika ada rasa tidak puas hati, pastilah akan ada tuduhan-tuduhan seperti keputusan yang tidak adil, keputusan yang salah dan macam-macam lagi.
Tulisan saya ini adalah kepada penjelasan undang-undang bagaimana keputusan akhir kes dibuat?Adakah DSN bakal dipenjarakan segera? Adakah ini keputusan muktamad dan bolehkah DSN merayu?

Begini, kalau di Mahkamah bagi kes sabitan jenayah iaitu dalam kes ini dibawah Seksyen 23, Akta SPRM 2009 atau apa sahaja jenayah, mestilah diputuskan melalui siasatan kes berdasarkan dokumen-dokumen dan keterangan saksi-saksi di mahkamah.
Bagi kes DSN ini, kita semua tahu dari semasa ke semasa dilaporkan puluhan saksi dipanggil untuk beri keterangan. Berhari-hari keterangan diberikan.
Dalam kes ini memandangkan, pendakwaraya berjaya membuktikan kes mereka pada peringkat pendakwaan iaitu bermakna tanpa keraguan munasabah DSN telah melakukan kesalahan seperti dalam pertuduhan. Oleh yang demikian, DSN diberi peluang untuk membela diri.
Kes jenayah ini ada dua peringkat, pertama peringkat pendakwaan. Ada setengah kes yang tidak kuat dan pendakwaan gagal buktikan bahawa tertuduh melakukan jenayah, jadi tertuduh akan dibebaskan.
Namun jika pendakwaraya berjaya membuktikan bahawa tertuduh melakukan jenayah, tertuduh akan memasukkan pembelaan dan mengemukakan dokumen-dokumen, bukti-bukti dan saksi-saksi.
Memandangkan kes DSN telah memasukkan pembelaan maka saksi bukan sahaja dari pihak pendakwaan tetapi juga dari pihak DSN. Bermakna DSN boleh memanggil seberapa ramai saksi untuk membela kesnya dan untuk membuktikan dakwaan dia dituduh itu tidak benar.
Dalam kes ini memang DSN telah memanggil saksi dan mengemukakan kesnya. Namun begitu Hakim berpendapat bahawa pasukan pembelaan (peguam-peguam yang membela DSN) gagal membangkitkan keraguan munasabah bawah Section 23(1) Akta SPRM 2009.
Maknanya apa? Apa itu pula keraguan munasabah. Secara ringkas dan untuk fahaman mudah, maksudnya jika peguambela DSN mencabar pertuduhan dan ingin membuktikan DSN tidak bersalah, mereka perlu membangkitkan keraguan kepada pertuduhan yang disabitkan kesalahan.

Contohnya, tidak, ini bukan duit rasuah tetapi cuma salah faham. Ini duit derma, perlu dibuktikan siapa pemberi derma, panggil penderma datang, panggil orang menyaksikan derma atau transaksi derma datang, sahkan bahawa tujuan derma.
Perlu juga dibuktikan duit guna untuk tujuan derma. Sehinggakan mahkamah meragui dakwaan yang dibuat oleh pendakwaraya sebab DSN ada bukti cukup, lengkap, padat dan tepat.
Saya bagi contohnya bagaimana membangkitkan keraguan munasabah dalam kes jenayah. Misalnya berlaku satu pembunuhan dan suspek ditangkap, mangsa dirogol dan dibunuh tetapi berdasarkan siasatan, tiada langsung cap jari tertuduh ditempat kejadian. Yang ada cap jari orang lain.

Malahan, tiada langsung air mani tertuduh ataupun DNA dari rambut atau bulu badan tertuduh. Namun terdapat air mani dan DNA individu yang tidak dikenali. Maka adalah amat diragui suspek sebenarnya yang melakukan pembunuhan dan merogol si mati.
Ambil contoh kes Norita Samsuddin bagaimana tertuduhnya boleh dibebaskan? Kerana terdapat keraguan bahawa suspek melakukan jenayah ini. Ada individu lain yang terlibat dan tidak dipanggil. Jadi mahkamah meragui bahawa tertuduh adalah merupakan pembunuh kepada Norita, mungkin orang lain.
Itulah maksudnya keraguan yang munasabah. Munasabah bermaksud yang logik dan diterima akal, bukanlah yang diada-adakan dan mengarut. Pembuktian keraguan yang munasabah teramatlah penting dalam kes jenayah, pembelaan perlu membuktikan bahawa terdapat keraguan tertuduh melakukan jenayah.

Misalnya jika kes dadah yang ditemui dalam kereta atau rumah, biasanya pasukan pembelaan perlu mengemukakan bukti bahawa rumah tersebut boleh diakses oleh orang lain selain tertuduh dan berkemungkinan besar pihak lain yang mempunyai akses ini meletakkan dadah. Jadi biasanya akan dibuktikan bahawa kereta itu adalah kereta sewa atau orang lain telah menggunakan, bukan tertuduh yang bawa.
Apa sahaja pembelaan yang boleh menimbulkan keraguan bahawa tertuduh betul-betul melakukan jenayah berdasarkan seksyen tersebut dan jika mahkamah setuju bahawa terdapat keraguan, maka tertuduh boleh dilepaskan dan dibebaskan dari sabitan.
Sekiranya pihak pembelaan ingin membuktikan pembelaan mereka, amatlah penting mereka mengemukakan dokumen-dokumen dan juga saksi-saksi di mahkamah.

Misalnya hendak katakan bahawa kereta yang memiliki dadah adalah kereta sewa, perlu kemukakan semua senarai penyewa, borang sewaan, bukti transaksi. Jika cakap guna air liur sahaja, ini bukanlah bukti yang boleh menimbulkan keraguan, ini dianggap penipuan atau menyembunyikan sesuatu.
Di mahkamah di bawah Seksyen 114 (g) Akta Keterangan 1950, sekiranya saksi menyatakan tentang sesuatu tetapi gagal membawa bukti maka dianggap dia cuba menyembunyikan fakta sebenar yang mungkin akan mendatangkan kesusahan kepadanya.
Jadi dalam kes DSN, DSN telah memanggil saksi-saksinya pun begitu Yang Arif Hakim yang memutuskan kes ini telah membacakan keputusan kes ini secara terperinci. Satu demi satu.
Saya pernah mengendalikan kes di hadapan Yang Arif Mohd Nazlan Mohd Ghazali ini. Memang teliti orangnya, lama juga sewaktu beliau membacakan alasan kes keputusan kes kami.
Kita pula dalam hati hendak tahu kesimpulan terus, menang ke kalah? Berdebar-debar menanti dia membacakan alasan keputusannya sebelum memberi keputusan. Mujurlah kami menang kes, penantian yang sangat berbaloi.

Dalam kes DSN sebab itu lama untuk membaca keputusannya. Di pagi hari, beliau membacakan alasan keputusan kes dan keputusan dan selepas waktu makan berkenaan hukuman.
Antara lain keputusan Yang Arif, mempertikaikan kenapa DSN tidak meminta kepada pegawai-pegawaI kerajaan, terutamanya daripada Jabatan Perdana Menteri, untuk mengesahkan kesahan “derma” itu dengan pihak Arab Saudi.
Selain itu juga amatlah dipertikaikan kenapa DSN tidak mengambil langkah tertentu apabila mendapat tahu ada kemasukan ke dalam akaunnya. Mahkamah juga berpendapat bahawa amat sukar dipercayai pembelaan DSN bahawa DSN adalah mangsa penipuan Jho Low.

Secara ringkas dapat saya simpulkan bahawa keterangan saksi-saksi DSN gagal menimbulkan keraguan. Pun begitu, DSN masih boleh memohon penangguhan bagi hukuman pemenjaraan jika ada kerana artikel ini saya tulis tanpa mendapat laporan hukuman DSN Najib.
Penangguhan hukuman penjara boleh dibuat sehingga rayuan DSN di Mahkamah Rayuan didengar dan diputuskan. Sudah tentu DSN boleh mengemukakan haknya untuk merayu di mahkamah rayuan.
Panjang artikel ini. Nanti saya akan tulis berkenaan hukuman DSN dan juga Rayuan. Tulisan ini hanya berkaitan dengan keputusan kes Mahkamah.
Bagi yang merasakan tulisan ini panjang berjela kami juga akan membuat video yang dimuatnaik esok (29 Julai 2020), bagi tujuan kefahaman terperinci berkenaan isu ini.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.