Pihak Media Dilarang Mendedahkan Butiran Kanak-kanak Yang Terlibat Dalam Sesuatu Kes Jenayah.

“Sorry teacher, teacher sorry, sorry teacher, I don’t know why I did it”- PP v KK [2007] 6 CLJ 367.

Pada 2002, di Kuala Lumpur, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun telah membunuh anak guru tuisyennya yang baru berusia 11 tahun dengan cara menikam menggunakan pisau dapur bertubi-tubi.

Dalam kes ini, nama suspek juga tidak dilaporkan secara penuh dan hanya ditulis sebagai KK dalam Journal undang-undang. Manakala nama si mati juga hanya dirujuk sebagai L. Ini kerana tertuduh adalah kanak-kanak.

Berikut yang direkodkan di mahkamah dalam kes ini:

“[2] Seperti yang telah dinyatakan, dalam penghakiman ini simati akan disebut sebagai “L” sahaja. Ini adalah berikutan dengan perintah yang dibuat oleh mahkamah ini, melarang pihak akhbar dan media masa dari mendedahkan nama, alamat, sekolah atau menyiarkan apa-apa butir yang membolehkan si mati dikenali atau membawa kepada pengenalan identitinya.

[3] Perintah larangan yang serupa juga telah dibuat oleh mahkamah ini berkaitan dengan identiti KK. Saya akan menghuraikan tentang perintah larangan itu sebentar lagi.”

Prosiding kes di mahkamah kanak-kanak/juvana adalah tertutup dan tidak boleh dihadiri oleh orang lain selain keluarga dan peguam. Begitulah undang-undang melindungi pesalah atau mangsa kanak-kanak.

Di bawah Akta Kanak-Kanak 2011 (Akta 611) memberikan perlindungan kepada kanak-kanak ke atas laporan dan penyiaran media selaras Seksyen 15 Akta.

Ada beberapa keadaan berdasarkan Seksyen ini, yang mensyaratkan agar kanak-kanak dilindungi dari pendedahan media.

Antaranya adalah sekiranya kanak-kanak tersebut terlibat dengan jenayah atau menjadi saksi kes jenayah atau sekiranya kanak-kanak tersebut memerlukan pemeliharaan dan pelindungan seperti yang didefinisikan dalam Seksyen 17 Akta. Syarat-syarat lain sila rujuk dalam Akta.

Sekyen 17 pula, ada memberikan beberapa keadaan yang sepatutnya kanak-kanak dilindungi dari laporan media. Antaranya besar kemungkinan kanak-kanak itu akan dicederakan dari segi fizikal atau dicederakan dari segi emosi.

Hal kematian sangat menyedihkan, apa entah lagi jika melibatkan kes pembunuhan. Sangat meruntun emosi. Hal begini kita perlu sensitif. Fikir kesan dan akibatnya kepada mangsa dan keluarga. Kanak-kanak patut dilindungi dari kecederaan emosi begini.

Mereka cuba melupakan atau cuba menangani, kalau ada laporan berita di sana sini sudah cukup perit. Apa entah lagi kalau dikongsikan gambar.

Banyak undang-undang di semua negara tidak membenarkan gambar suspek jenayah kanak-kanak disiarkan. Begitu juga di Malaysia. Kenapa? Kerana tidak mahu memberi impak yang tidak diingini kepada kanak-kanak, dari sudut emosi atau masa depan.

Mereka memang pesalah dan melakukan jenayah dan adalah dianggap waktu jenayah berlaku, penilaian mereka tidak tepat sebab itu bagi hukuman dibawah Seksyen 302 kerana membunuh, kanak-kanak tidak dihukum bunuh tetapi akan dipenjara dengan perkenan YDPA, ini selaras dengan Seksyen 97, Akta 611.

Kanak-kanak adalah golongan yang sangat fragile dan sensitif dan perlu dilindungi terutama sekali yang menjadi mangsa, walaupun tiada perintah mahkamah kita patut lebih sensitif untuk memuatnaik muka mereka sehinggakan menjadi perbualan atau kenal identiti. Terutama mangsa kanak-kanak. Lindungilah mereka.

Kasihan mereka perlu jawab soalan-soalan yang dia sendiri tidak sanggup. Kasihan mereka jika orang kenal identiti dan dipandang atas bawah dengan wajah simpati ke sana sini, dia pergi.

Tolonglah sensitif. Bukan sahaja hal-hal yang begini. Kadangkala ada jenis manusia yang tak sensitif, hal kahwin cerai ibu bapa juga hendak ditanyakan kepada kanak-kanak atau berseloroh sambil bertanya tentang isu keluarga. Kanak-kanak tak perlu tahu dan diingatkan hal-hal begini. Sila sensitif.

Semoga anak arwah Prof. Madya Dr. Maizatulnisa terus tabah mengharungi hari-harinya walaupun gambarnya secara tidak wajar dipaparkan di akhbar tanpa mengira sensitiviti. Harap kawan-kawan jangan sama-sama kongsi gambarnya dan minta yang lain-lain padam jika ada dimuatnaik.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: