Adakah pemberi maklumat di Malaysia ini ada undang-undang yang melindungi?

Kita semua pun jadi tertanya-tanya berkenaan kes Abang burger, apa kedudukan pemberi maklumat.

Kes ini mungkin menjadi contoh kepada yang lain tentang isu sejauh mana pemberi maklumat dilindungi. Semua hendak tahu.

Di Malaysia kita ada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (AKTA 711). Nama pun Akta perlindungan dan memang jelas di bawah Akta ini banyak, seksyen yang memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat. Misalnya:

Bahagian III Akta, semua hal berkaitan Pelindungan pemberi maklumat.

Seksyen 7, Perlindungan pemberi maklumat.

Seksyen 8, perlindungan ke atas maklumat sulit yang diberikan.

Seksyen 9, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah. Banyak lagi.

Ibarat kalau kita baca Akta 711, percayalah kita bahawa kedudukan kita sebagai pemberi maklumat ini terlindung. TETAPI tidak juga sebenarnya, kerana ada kes di mahkamah yang diputuskan apabila pemberi maklumat gagal memenuhi elemen dan syarat dibawah Akta ini, maka pemberi maklumat tidak layak mendapat perlindungan.

Apa pula ikut syarat dan tak ikut syarat untuk dapat perlindungan ni? Apa syarat-syarat menjadi pemberi maklumat yang layak dilindungi dibawah Akta ini?

Yang ini saya akan rujuk kepada kes Rokiah Mhd Noor v. Menteri Perdagangan dalam Negeri & Koperasi Kepenggunaan Malaysia & lain-lain [2016] 8 CLJ 635.

Dalam kes ini, Plaintif yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (‘SSM’) dan seorang lagi telah didakwa bersama-sama mengarang sepucuk surat kepada pihak ketiga termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bersifat biadab dan mengandungi dakwaan-dakwaan yang memudaratkan SSM. Akibatnya kedua-dua mereka telah diambil tindakan displin dan Rokiah ditamatkan kontrak perkhidmatannya.

Oleh demikian, Rokiah membawa kes ini ke mahkamah bagi semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan tindakan displin dan penamatan kontrak terhadapnya dan menggunakan perlindungan di bawah Seksyen 10 iaitu Perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan.

Mahkamah putuskan untuk menolak rayuan Rokiah, (maknanya dia tak berjaya guna pembelaan perlindungan bawah Akta 711), atas alasan Rokiah gagal memenuhi syarat sebagai pemberi maklumat di bawah Akta 711.

Ini ayat yang diputuskan oleh mahkamah guna:

(4) Untuk mendapatkan perlindungan di bawah APPM, seseorang yang mendedahkan kelakuan tidak wajar mesti membuat pendedahan tersebut hanya kepada mana-mana agensi penguatkuasaan dan bukan kepada orang lain.

Dalam kes ini, Rokiah dan seorang lagi tidak melayakkan diri sebagai pemberi maklumat kerana selain daripada mendedahkan salah laku ahli SSM dan Suruhanjaya Anti Rasuah, pendedahan itu juga dibuat kepada pihak ketiga dan tiada seorang daripada mereka adalah ‘agensi penguatkuasa’ mengikut pengertian Seksyen 2 Akta 711.

Oleh kerana kedua-dua Rokiah dan Azryain tidak melayakkan diri sebagai pemberi maklumat dalam pengertian APPM, mereka tidak berhak mendapat perlindungan di bawah Seksyen 10 Akta 711

Maknanya begini jika berdasarkan kes ini, seseorang mestilah memberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan bukanlah kepada pihak lain.

Misalnya seseorang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguatkuasaan (Seksyen 6), pemberi maklumat mesti membuat aduan kepada penguatkuasaan seperti kementerian, jabatan, agensi atau badan yang dituduhkan oleh kerajaan persekutuan, polis dan segalanya yang jatuh bawah definisi Seksyen 2. Barulah layak mendapat pelindungan berdasarkan Akta 711 ini.

Malahan Seskyen 11 memperuntukkan bahawa pembatalan perlindungan bagi pemberi maklumat, antaranya dia sendiri terlibat dalam aktiviti tak elok yang dilaporkan atau laporan palsu atau remeh dan lain-lain.

Jadi untuk kita bandingkan dengan kes Abang Burger ini, laporan pendedahannya dibuat dalam video untuk tontonan umum. Jelas, dia tidak boleh menggunakan pelindungan bawah Akta 711 ini kerana pendedahan dibuat olehnya bukan lagi kepada badan seperti SPRM, PDRM, MBSA tetapi kepada awam.

Saya menulis ini dalam konteks undang-undang yang ada. Saya sendiri mengecam perbuatan rasuah, salah laku, tiada intergriti. Semoga negara kita bebas dari perbuatan rasuah ini.

Ramai yang melakukan rasuah kerana mereka anggap kalau mereka pandai sembunyi, perbuatan mereka tak diketahui tetapi mereka lupa Allah itu dan syurga neraka itu benar.

Ramai juga ambil rasuah, mereka fikir nanti mereka boleh bertaubat apabila tua tetapi mereka lupa mati itu tak mengenal usia.

Esok saya kongsi sama ada boleh atau tidak kita saman pihak penguatkuasa sebab gagal ambil tindakan perbuatan rasuah. Saya rujuk pada kes mahkamah juga.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: