Denda maksimum RM1 JUTA bagi pembocor maklumat yang diperolehi dalam tugasan dan fungsi kerja.-Seksyen 203A Kanun Keseksaan

Denda maksimum RM1 JUTA bagi pembocor maklumat yang diperolehi dalam tugasan dan fungsi kerja.

Saya memang suka perbincangan ilmu. Sama-sama kita kongsi dan sama-sama kita beri pendapat. Atas kebenaran dari pemilik akaun saya kongsi pertanyaannya disini dan mari kita sembang tentang isu ini.

Seksyen dan Akta Undang-undang ada banyak sekali di Malaysia ini, jadi kalau ada yang ‘highlight’ kepada saya isu yang tertentu untuk kupasan. Sangatlah saya suka dan saya akan memberi pendapat jika berkesempatan.

Saya ini tidak hebat, ilmu pun bukan penuh didada. Banyaknya ilmu saya kerana hasil pembacaan dan juga pengalaman. Saya suka melihat ramai kawan-kawan di Facebook ini, apabila saya menulis atau mengupas sesuatu isu, sama-sama beri pandangan dan sama-sama kita berkongsi ilmu.

Betapa saya rasa diruang komen tulisan saya ini, penuh dengan maklumat dan informasi dari rakan-rakan. Saya sendiri banyak juga belajar dari komen rakan-rakan di ruang komen saya. Terima kasih.

Saya ada ditanyakan tentang Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu hukuman bagi pendedahan maklumat. Soalan yang cukup cantik dan baik. Mungkin juga bagi yang tidak tahu, jadi takut hendak beri maklumat apa tidaknya kerana pemberi maklumat bakal didenda tidak lebih RM1 JUTA atau penjara boleh sampai 1 tahun.

Fuh! Banyaklah hendaklah membayar maksimum RM1,000,000 semata-mata beri maklumat seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 203A tetapi sebelum kita terjah kepada kesimpulan, kita selidik dahulu.

Soalannya kepada saya begini “Bila tgk pada akta 711 (Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010) nie. Sy lihat sek 203a penal code mcm jd penghalang pada pemberi maklumat takut untuk memberi maklumat. Apa pendapat puan?”

Saya buat perbandingan dan dibawah Seksyen 203 A (1) ini telah diperuntukkan bahawa sesiapa yang memberi maklumat (membocorkan maklumat) yang diperolehi dalam menjalankan tugas atau menjalankan fungsinya dibawah undang-undang bertulis.

Malahan subseksyen (2) pula adalah diperuntukkan bagi mereka yang tahu tentang kebocoran maklumat dalam tugasan seseorang dan menyampaikannya juga kepada orang lain boleh boleh dihukum dengan hukuman yang sama. Maknanya penyampai kepada penyampai pun kena.

Ini pula jawapan saya kepada orang yang bertanya soalan “Berkenaan Seksyen ini, adalah berkenaan seorang anggota/pegawai/ejen yang mendedahkan maklumat dalam pelaksanaan tugas dan fungsinya.

Perlaksanaan tugas dan fungsi (di bawah Seksyen 203A) lebih merujuk kepada kerahsiaan tugas dan bukan seperti yang dirujuk kepada Akta 711 iaitu pelakuan tidak wajar. (Akta 711 sangat melindungi pemberi maklumat perlakuan tidak wajar sekiranya menepati syarat)

Bawah Seksyen 203A KK, misalnya begini anggota diberikan arahan utk satu serbuan di sebuah kilang yang beroperasi secara haram.

Anggota ini telah menghubungi taukeh kilang memaklumkan berkenaan serbuan sebagai amaran supaya taukeh tersebut menghapuskan segala bukti atau cabut lari.

Bermakna dia telah secara salah dibawah Seksyen ini mendedahkan maklumat dalam pelaksanaan tugas dan fungsinya. (Maka dia boleh disabitkan dan dihukum bawah Akta ini).

Jadi undang-undang dibawah Seksyen 203A ini berbeza dengan Akta 711, yang mana Akta 711 adalah pemberian maklumat bagi ‘improper conduct’ atau ‘kelakuan tidak wajar’.

Malaysia ini negara membangun. Bertahun-tahun undang-undang digubal, dipinda dan diwujudkan demi memastikan sejajar dengan peredaran zaman dan cukup melindungi hak-hak kita. Kita perlu banyakan membaca dan meneliti. Banyak undang-undang yang ada kita tak tahu wujud.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: