Boleh atau tidak kita menyaman kerajaan atau badan tertentu kerana kesalahan anggotanya menerima rasuah?
Soalan ini ada dalam ruang komen saya. Ini berkaitan dengan isu Hot Burger. Ada yang bertanya, kalau benar, ada anggota yang tutup mata, boleh atau tidak hendak saman?
Sebelum saya jawab soalan ini, saya hendak kongsikan satu kes legend yang telah dilaporkan di mahkamah.
Kenapa saya panggil legend sebab dalam kes ini Plaintif dengan tegar menyaman habis semua orang, termasuklah pada waktu itu Ketua Peguam Negara, Ketua Polis, Pendakwaraya, beberapa pegawai SPRM dan pegawai Polis, PDRM, SPRM dan kerajaan Malaysia. Semua habis disamannya!

Dalam kes ini juga, kita akan belajar berkenaan Seksyen 72 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694). Dibawah Seksyen ini memperuntukkan tentang kekebalan.
Kekebalan dalam Seksyen ini merujuk kepada kekebalan terhadap tindakan guaman atau pendakwaan terhadap Kerajaan Malaysia, mana-mana pegawai atau pekerja Kerajaan Malaysia atau Suruhanjaya atau mana-mana jawatankuasa yang dilantik oleh Akta atau orang yang sah bertindak bagi kerajaan Malaysia atau Suruhanjaya.

Mereka adalah kebal dari tindakan guaman atau pendakwaan sekiranya mereka melaksanakan segala kerja-kerja siasatan, pendakwaan dan/atau melaksanakan Akta ini, atau apa-apa perintah bertulis, arahan, petunjuk, notis atau apa jua benda yang dikeluarkan di bawah Akta ini dengan suci hati.
Bermakna, kalau dakwaan, siasatan dan/atau apa sahaja kerja yang dijalankan dibawah Akta ini secara suci hati (tidak didorongi rasa khianat) terhadap suspek rasuah, walaupun kemudian tiada sabitan dan dibuktikan tidak bersalah. Maka, dia tidak boleh menyaman pihak-pihak dibawah Seksyen 72.

Dalam kes Dato’ Pahlawan Ramli Yusuff V. Tan Sri Abdul Gani Patail & Ors [2014] 9 CLJ 489, Plaintif menyaman kerana dakwaan terdapat konspirasi oleh kesemua Defendan-Defendan memulakan siasatan dan dakwaan berkenaan rasuah terhadapnya sehingga menyebabkan beliau ditamatkan perkhidmatan dari PDRM.
Dakwaan Plaintif lagi konspirasi ini sengaja diwujudkan bagi menghalang beliau dicalonkan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Plaintif menuntut ganti rugi kepada semua Defendan kerana mendakwa akibat siasatan dan tindakan Defendan-Defendan telah mengakibatkan Plaintif menghadapi beberapa tuduhan jenayah seperti rasuah dan salah gunakuasa.

Bagi sabitan jenayah Mahkamah jenayah memutuskan bahawa Plaintif dilepaskan dan dibebaskan terhadap semua pertuduhan. Jadi ini adalah pembuktian Plaintif tidak bersalah.
Oleh yang demikian, beliau memulakan tindakan sivil bagi menuntut ganti rugi terhadap semua Defendan bagi dakwaan konspirasi, siasatan berniat jahat, salah guna kuasa tanpa alasan munasabah dengan niat menjatuhkan reputasi Plaintif.
Di mahkamah Defendan menggunapakai pembelaan kekebalan dan ingin memohon bagi membatalkan kes terhadap Plaintif tetapi mahkamah memutuskan pembatalan tidak dibenarkan dan Defendan perlu memasukkan pembelaan bagi dakwaan yang dituntut oleh Plaintif.

Nampak, bagaimana undang-undang di Malaysia ini sebenarnya memberikan kita sangat-sangat peluang untuk didengar. Kadang-kadang ada orang kata, kalau saman kerajaan, kalau saman PDRM tak mungkinlah menang. Tidak juga.
Pendapat saya, negara Malaysia ini adalah negara berdaulat. Kedaulatan undang-undang juga sentiasa diangkat dan hak kita juga sentiasa didengar. Kalau saya tidak menulis tentang kes ini, pasti ramai yang tidak tahu bahawa Defendan-Defendan di atas boleh disaman.
Cuma pada kita untuk ketahui hak kita, tahu cara yang betul. Ramai yang tanya boleh saman atau tidak jika ada salah laku kerajaan. Boleh. Kerajaan juga tidak terkecuali. Petang tadi saya kongsi cara hendak buat aduan yang betul bagi salah laku. Saluran sebenarnya banyak.

Kalau selalu ikut kes-kes ahli politik menyaman sesama sendiri atau kerajaan di mahkamah (bukan sembang kedai kopi politik), banyak kes-kes ini kita belajar tentang prinsip undang-undang.
Banyak dilaporkan di mahkamah tetapi selalu kita pilih hentam-hentam diruang komen dan sembang acah-acah tahu. Buka mata dan banyakkan berhujah dengan ilmu dan bukan emosi.

DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.