
Saya memang menyampah, meluat dan marah bila baca tentang kluster-kluster yang disebabkan oleh sikap pentingkan diri sendiri.
Bila baca tentang Kluster Sivagangga, lagilah bertambah sakit hatinya saya, semua punca akibat seorang lelaki yang pulang dari India yang ingkar kuarantin.

Tambah sakit hati apabila KKM menyatakan kluster Sivagangga yang ada kaitan dengan genom Covid-19, yang dikenal pasti sebagai perebak utama (super spreader) iaitu yang jenis cepat merebak berbanding yang lain.
Setakat ini (7 Ogos 2020), kluster ini telah menjangkiti 43 orang. Boleh tak sekiranya kerajaan mengambil langkah tegas. Jangan lagi bagi muka kepada pemula kluster yang ingkar arahan tanpa sebab yang munasabah. Yang tidak peduli pasal orang lain.
Saya cadangkan sekiranya didapati individu yang jenis pentingkan diri sendiri atau pemula kluster ini, disaman oleh kerajaan ke atas segala nilai dan kos yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Misalnya kerana dia bermula kluster Sivagangga ini (atau apa sahaja kluster yang ada), tuntut segala nilai yang dikeluarkan bagi proses saringan, kuarantin dan apa sahaja kos yang timbul bagi keseluruhan pesakit yang dijangkiti bagi kluster ini.
Kenapa individu yang ada kontak rapat dan langsung tidak bersalah dan tidak tahu menahu tentang jangkitan yang dibawa perlu menanggung kos saringan, kos rawatan dan kuarantin? Sedangkan dia pemula dan tidak ikut arahan kuarantin.
Suruh pemula kluster yang pentingkan diri sendiri bayar. Misalnya kiraan begini, jika setiap seorang individu yang dijangkiti dari kluster ini dirawat dengan kos sebanyak RM5,000 seorang. Jadi kos bagi 43 orang (atau keseluruhan yang dijangkiti, 43 x RM5,000= RM215,000.

Kalau lebih jumlah yang dijangkiti, tambah lagi kiraannya. Baru berajar. Baru tahu ikut peraturan. Ada beberapa rakan yang saya kenal, balik dari beraya di Kedah yang tidak sihat dan demam. Buat saya jadi paranoid membaca berita-berita tentang super spreader. Entah dijangkiti atau tidak. Tak pasal-pasal.
Kemudian, setelah pemula kluster ini sembuh mungkin juga, dia boleh dihukum penjara dibawah Seksyen 12, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Seksyen 12 memperuntukkan bahawa jika anda tahu anda berpenyakit atau percaya anda mempunyai sesuatu penyakit berjangkit kemudian mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan dengan cara pergi ke tempat awam dan menggunakan kemudahan lain, maka ini adalah kesalahan di bawah Akta ini.

Tak payah lagi bayar denda, penjara sahaja. Kemudian jangan lupa bayar tuntutan kerajaan yang ratusan ribu bagi kes sivil. Pengajaran. Bukan pasal emosi, pasal saya rasa telah diberi muka dan peluang berulang-ulangkali dan ramai yang masih ingkar. Mungkin kerana tidak cukup pengajarannya dan tidak cukup tegas.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.