Apa itu Penghakiman Ingkar?

Saya lihat sudah menjadi trend sekarang, apabila mendapat Penghakiman Ingkar di mahkamah bagi kes saman fitnah diheboh-hebohkan kononnya mendapat jutaan ringgit.

Begini, Penghakiman Ingkar ini adalah perintah/penghakiman yang diberikan oleh mahkamah kerana Defendan (yang disaman) gagal hadir. Bermakna dia tidak ke mahkamah untuk membela diri pun. Senang kata, Plaintif (yang menyaman) menang tanpa bertanding.

Tetapi bagi kes saman fitnah sekali pun kita tulis RM1 juta, tidak semestinya dapat RM1juta dan saya berani kata tidak akan dapat 1 juta.

Melainkan tulisan-tulisan yang banyak, melainkan tuduhan yang keterlaluan yang sangat melampau, melainkan latar belakang mangsa yang ditujukan tulisan itu amat terkenal.

Ada lagi proses selepas dapat penghakiman Ingkar, Plaintif akan memasukkan satu lagi permohonan untuk mentafsirkan kerugiannya. Maknanya di mahkamah masih ada lagi satu prosiding.

Dalam permohonan ini adalah menjadi beban pembuktian kepada Plaintif untuk menghujahkan apa lagi kerugian yang dialami.

Kalau dalam perbicaraan penuh, yang mana Defendan hadir sekalipun, mahkamah akan memutuskan kerugian berdasarkan apa yang dihujahkan oleh Plaintif.

Jangan rasa, mahkamah ini medium untuk buat duit. Dalam undang-undang ada prinsip ‘unjust enrichment’ bermakna, hendak kaut untung secara penganiayaan.

Jadi mahkamah selalu tidak bertoleransi dengan niat atau perbuatan menyaman dengan niat hendak kaut untung. Selalunya mahkamah benarkan tuntutan mengikut kerugian yang dialami, tuntutan dibenarkan tidak ‘excessive’.

Jika tidak ramailah berdesup-desup menggunakan mahkamah sebagai medium hendak menuntut dari orang dengan tujuan kaya cepat.

Kes saman fitnah ini sekarang sudah jadi trending. Saman-menyaman di sana sini. Malahan ada yang kes, sudah dapat keputusan di mahkamah tetapi pihak yang kalah merayu. Yang baru dapat keputusan sudah adakan sidang media. Pukul canang, dia menang.

Alih-alih waktu rayuan, dia kalah. Malu menikus selepas itu. Diam seribu bahasa. Tiada pula sidang media kalah keputusan kes yang sudah menang. Kes masih lagi dalam prosiding. Janganlah yakin sangat.

Di mahkamah jika proses rayuan, ada yang mula-mula menang, kemudian kalah. Ada yang kalah kemudian menang.

Kenapa saya cerita perkara yang ini, kerana saya hendak kawan-kawan tahu realiti kes di mahkamah.

Pertimbangkan. Jangan salah kongsi fakta, nanti mengajak yang lain-lain salah faham dan ramai-ramailah menjadi mahkamah sebagai tempat hendak menuntut ganti rugi jutaan ringgit. Sedangkan faktanya langsung tidak tepat.

Kalaulah benar mahkamah melayan tuntutan juta-juta tanpa menimbang tara, untunglah. Kalau saya sebagai peguam ini menyaman 10 orang kerana tulisan terhadap saya. Seorang saya kenakan 1 juta. Wah! 10 juta semuanya. Tak payahlah saya bekerja buat beberapa tahun. TETAPI REALITINYA BUKAN BEGINI.

Dalam kehidupan ini, cuba belajar tenang-tenang sedikit. Jangan jenis mendabik dada. Jadi orang matang. Jenis yang bising-bising ini, selalu menampakkan sisi yang tidak matang.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: