Boleh atau tidak, MBSA beri notis dalam tempoh yang singkat untuk merobohkan struktur bangunan tanpa mendapat kebenaran PBT?

Ramai juga yang tag nama saya di ruang-ruang komen, tindakan MBSA memberikan notis dalam tempoh yang singkat untuk merobohkan struktur bangunan tanpa mendapat kebenaran PBT.

Soalannya boleh atau tidak, notis dalam tempoh yang singkat? Bagi tindakan mendirikan sesuatu bangunan tanpa kebenaran PBT, adalah kesalahan di bawah Seksyen 70 (1), Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu untuk membina sebarang struktur tambahan atau bangunan perlukan kebenaran bertulis.

Berdasarkan Akta ini juga, memberikan kuasa kepada PBT di bawah Seksyen 72 kuasa untuk meruntuh atau memindahkan bangunan yang tidak dibenarkan.

Seksyen 72 ini juga memberikan garis panduan yang akan digunakan untuk meruntuhkan dan memindahkan bangunan.

Misalnya dibawah 72 (6), jika bangunan itu hendak diruntuhkan oleh PBT, PBT hendaklah memberi sekurang-kurangnya 30 hari notis kepada untuk mengosongkan bangunan itu dan selepas tamat tempoh itu, PBT boleh memasuki bangunan itu dan memindahkan harta alih yang di dalamnya.

Jadi telah dinyatakan dengan jelas, bahawa tempoh yang diberikan adalah 30 hari. Yang menjadi aduan dan rintihan golongan peniaga sekarang adalah, tempoh yang terlalu singkat seperti 24 jam. Boleh atau tidak?

Walaupun S.76 (2) memperuntukkan 30 hari. Ada kes yang diputuskan di mahkamah membenarkan notis dari PBT tersebut diberikan kurang dari 30 hari.

Misalnya dalam kes YANG DIPERTUA MAJLIS DAERAH GUA MUSANG v. PEDIK BUSU & ORS [2014] 3 CLJ.

Dalam kes ini, Perayu (Majlis Daerah Gua Musang) telah merobohkan gereja milik orang asli. Perayu telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 7, Akta 133 untuk merobohkan gereja dan dalam kurang dari notis 30 hari daripada surat bertarikh 24/5/2007 Perayu telah merobohkan bangunan gereja secara paksa.

Antara yang menjadi pertikaian kes perayu gagal menyampaikan notis 30 hari kepada responden sebelum merobohkan bangunan gereja tersebut. Ada isu-isu yang ditimbulkan dalam kes ini tetapi tulisan saya berfokus pada isu berkenaan notis 30 hari ini.

Saya rumuskan hujah perayu dan dapatan mahkamah seperti berikut:

1. Hujah Perayu bahawa tidak ada keperluan menunggu selama 30 hari kerana perayu berhak untuk bersandarkan pada s. 72(1) dan (5) Akta dan bukan semata-mata S. 72 (6).

2. Mahkamah bersetuju dengan hujah perayu tetapi dalam kes ini bahawa tidak semestinya tempoh masa notis adalah 30 hari.

3. Namun demikian, dalam kes ini Perayu telah terlebih dahulu mengeluarkan Notis untuk merobohkan dalam 30 hari.

4. Jadi responden (orang asli) dalam kes ini faham mereka ada 30 hari untuk memindahkan dan mengosongkan gereja tersebut. Walau bagaimanapun, tanpa menunggu 30 hari, perayu meneruskan dengan perobohan 20 hari kemudian.

5. Sekiranya responden mempunyai baki 10 hari, mereka boleh meminimakan kerugian mereka jika pun mereka terpaksa merobohkan bangunan gereja tersebut sendiri.

6. Mereka mempunyai harapan yang sah bahawa mereka ada 10 hari lagi. Perayu dihalang daripada menafikan 10 hari tersebut daripada mereka. Jadi dalam isu ini mahkamah tidak bersetuju dengan Majlis Perbandaran Gua Musang.

Berdasarkan kes ini diputuskan bahawa, PBT sebenarnya berhak memberi notis kurang dari 30 hari tetapi yang menjadi salah, tetapi yang menjadi salah adalah jika diisukan notis 30 hari dan tidak tunggu.

Iyalah, kita pun faham selepas 30 hari dari notis baru bangunan dirobohkan. Kita ada masa hendak pindahkan dan kosongkan barang. Alih-alih dirobohkan lebih awal.

Di bawah Seksyen 72 (7) juga memberikan hak kepada pemilik bangunan yang dirobohkan untuk menuntut harta alih dalam tempoh 1 bulan dari tarikh pemindahan (hasil dari perobohan)

Kalau PBT enggan beri kerjasama, pemilik boleh menyaman di mahkamah bagi menuntut semula. Misalnya dalam kes SRI TERNAK MART (SK) SDN BHD lwn. MAJLIS PERBANDARAN SUBANG JAYA [2019] 1 LNS 1256.

Dalam kes ini pemilik menuntut semula harta alih selaras dengan S. 72(7) yang mana tidak mendapat kebenaran dari Majlis untuk memulangkan semula tetapi mahkamah putuskan memang Majlis perlu pulangkan selaras Seksyen 72 (7).

Jadi sebenarnya kesimpulannya begini, dalam situasi terkini. Kita perlu faham bahawa MBSA menjalankan kerja mengikut Akta dan Seksyen sepatutnya. Ini adalah tugasan mereka.

Pun begitu, sekiranya dalam proses mereka melakukan kerja tidak berdasarkan peruntukkan undang-undang. Berlaku ketidakadilan atau kerugian. Jadi undang-undang kita ada, anda berhak menuntut ganti rugi.

Saya secara peribadi notis 24 jam adalah tidak wajar untuk memindahkan barangan. Seksyen 72 (6) juga memperuntukkan ayat ‘sekurang-kurangnya’ menunjukkan bahawa tempoh masa yang muhasabah yang sepatutnya diberikan.

Dapatkan khidmat nasihat dan sekiranya tidak berpuas hati, tuntut hak. Semoga dipermudahkan urusan semua.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: