Kadang-kadang kita yang menjalankan perniagaan online akan membuat serahan barangan melalui khidmat kurier dan penghantaran secara pos.

Banyak jugalah timbul rasa tidak puas hati dengan syarikat kurier tetapi ramai yang tidak teruskan dengan saman.

Kali ini saya hendak kongsi kes di mahkamah yang menyaman syarikat kurier dengan tuntutan 1 juta kerana kelewatan syarikat kurier membuat penghantaran sehingga menyebabkan kerugian. Berjaya atau tidak dapat sejuta ini? Baca dulu.

Dalam kes ABP PERFAB (M) SDN BHD lwn. NATIONWIDE EXPRESS COURIER SERVICES BHD, [2012] 1 CLJ 704, pada tahun 2003, ABP telah menggunakan khidmat Nationwide Express (NE) untuk menghantar satu dokumen tender pada 11/6/2003, pada pukul 10 pagi iaitu 2 jam sebelum masa tender tamat.

Dokumen tersebut gagal diserahkan pada waktu yang diarahkan oleh ABP, sehingga menyebabkan ABP gagal memperolehi tender RM1 juta tersebut.

ABP telah memulakan kes di mahkamah dengan alegasi bahawa defendan telah memungkiri kontrak dan/atau cuai untuk menyerahkan dokumen tender itu pada atau sebelum masa yang telah diendorskan atas sampul surat yang mengandungi dokumen tender itu.

Tetapi NE menghujahkan pembelaan bahawa ABP, tidak boleh menyaman NE sehingga RM1 juta. Kalau pun NE bersalah. NE hanya perlu bayar RM200 sahaja kerana telah terkandung dalam syarat-syarat kurier NE iaitu”‘Standard Conditions of Carriage yang merupakan syarat terdahulu penerimaan konsainan oleh ABP, liabiliti NE adalah terhad kepada RM200.

NE juga berhujah bahawa “Standard Conditions” tersebut terdapat di muka hadapan kesemua nota-nota konsainan NE termasuk bagi penghantaran dokumen tender ABP.

Jadi untuk fahaman mudah saya simpulkan maksud NE di sini. NE kata, syarat awal hendak gunakan servis mereka adalah pengguna perlu setuju, kalau berlaku tuntutan ganti rugi, kerosakan atau apa sahaja yang tak puas hati sekalipun. Ya! Mereka akan bayar tetapi maksimum RM200. Itu sahaja walaupun kerosakan adalah lebih.

Untuk menepis dakwaan ini ABP mempertahankan bahawa Standard Conditions dalam nota-nota konsainan adalah kurang jelas, kabur dan tidak pasti dan juga tiada notis yang munasabah telah diberikan kepada plaintif terhadap “Standards Conditions” tersebut. Oleh itu tidak terpakai syarat ini.

Jadi berdebatlah kedua-dua mereka ini, yang ABP kata begini dan NE pula kata begitu. Siapa yang menang? Mahkamah bersetuju bahawa NE telah gagal menyampaikan dokumen berdasarkan tempoh masa yang ditetapkan.

Oleh yang demikian NE perlu membayar kepada ABP ganti rugi. Pun begitu memandangkan mahkamah juga bersetuju liabiliti NE adalah terhad kepada RM200. Jadi NE perlu membayar RM200 sahaja.

Tetapi memandangkan Defendan (NE) telah berjaya dibuktikan cuai dan menyebabkan ABP membawa kes ini ke mahkamah, jadi NE perlu membayar kos mahkamah sebanyak RM8,000 kepada ABP. Masih juga tidak sampai ratus ribu, jumlah ganti rugi diperolehi.

Mahkamah juga berpendapat bahawa dakwaan ABP bahawa peruntukan klausa pembatasan liabiliti NE adalah kabur, tidak pasti dan kurang jelas adalah tidak berasas. ABP tidak boleh menafikan bahawa ianya telah bersetuju menerima terma-terma yang termaktub dalam “Standard Conditions” itu.

Begitulah keputusan kes ini. Dalam kes ini, mahkamah juga merujuk kepada beberapa kes yang mengandungi prinsip undang-undang yang sama iaitu berkenaan tanggungjawab syarikat kurier.

Memang ada tanggungjawab, tetapi liabilitinya terhad. Maksudnya jika mereka cuai, mereka perlu bayar ganti rugi tetapi tidak banyak dan semuanya terikat kepada syarat-syarat.

Pesanan saya, kalau hendak guna syarikat kurier bagi tujuan penghantaran, janganlah hantar sesuatu yang terlalu benilai seperti handphone, barang kemas atau apa sahaja melebihi nilai ganti rugi yang dibenarkan. Seolah-olah mencari masalah.

Kalau nilai yang mahal, kita ambil inisiatif hantar sendiri atau cari alternative lain atau mungkin naikkan nilai liabiliti/ insurans penghantaran (jika ada).

Jangan dek kerana kecuaian kita, ambil mudah cara penghantaran kita mengalami kerugian.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: