Bendera dipasang secara terbalik. Apa undang-undang yang terlibat?

Kalau sudah dekat dengan tarikh kemerdekaan, semangat patriotism saya selalu memuncak. Mungkin kerana bila ke sana sini melihatkan bendera Malaysia di pasang di rumah-rumah, kenderaan dan bangunan-bangunan. Terasa semangat lebih.Bila hampir merdeka, kadang-kadang dalam kepala terngiang-ngiang “Tanggal 31 bulan lapan 57”.

Nampak semangatnya tu!Kalau kau rasa sayangkan negara, memang rasa semangat tu ada. Tak kisahlah apa fahaman politik. PN ke atau PH ke, Malaysia tetap negara kita. Ingat tu!

Jangan kerana tak sehaluan fahaman politik, nak terbalikkan bendera. Entah apa-apa entah! Kau rakyat Malaysia!Semak semula kad pengenalan, atas kad pengenalan tulis “warganegara” bukan tulis fahaman parti.

Memanglah negara kita tidak ada undang-undang spesifik bagi kesalahan bendera tetapi kalau kau warganegara adalah sikit dalam diri tu sentimen rasa sayangkan negara.

Setakat ini di Malaysia, kalau pasang bendera terbalik dan juga menghina bendera biasanya didakwa bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Seksyen ini, tidak menyatakan secara spesifik perkataan bendera atau kesalah menghina bendera tetapi perkataan yang digunakan adalah perbuatan menghina, mengugut, mencarut, maki secara perbuatan, bertulis atau melukis dengan niat mengugat ketenteraman dan keamanan akan dikenakan denda tidak lebih RM100.

RM100? Itu je?

Ya. Memang itu je. Haih! Dalam masa yang sama boleh juga didakwa bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan. Yang ini hukumannya berat sikit walaupun tak berat mana. Sesiapa dengan niat menghina untuk mencetuskan ketidak amanan boleh dihukum penjara tidak lebih 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kalau ada yang berpandangan, ‘Alah! Bendera je pun. Takkan sampai hendak penjara pulak?’. Bendera adalah salah satu lambang kedaulatan negara. Kalau hendak tahu banyak negara memang ada undang-undang spesifik kesalahan hina bendera.

Misalnya di USA ada undang-undang terhadap penodaan bendera sama ada secara membakar, merosakan, mencemarkan letak atas tanah, memijak boleh didenda atau penjara tidak lebih satu tahun.

Undang-undang spesifik begini bermakna spesifik pada bendera menunjukan bahawa betapa kesalahan ini tidak boleh dipandang ringan. Bendera adalah kedaulatan negara. Jangan main hina-hina.

Pada 2017, seorang ahli parlimen Hong Kong iaitu Cheng Chung-tai telah dikenakan denda sebanyak 5,000 HK Dollar kerana tindakannya yang pergi dari meja ke meja dalam dewan senat dan dengan sengaja menterbalikkan bendera negara China yang dipasang.

Bulan ini Ogos 2020, China memaklumkan bahawa mereka akan meminda undang-undang berkaitan bendera bagi menghalang ada pihak memasang bendera secara terbalik. Lihat. Betapa pentingnya isu bendera bagi sebuah negara. Bukan dibuat main-main. Bukan hanya sehelai kain sahaja. Bendera adalah lambang negara.

Jadi saya harap sangat-sangat ada tindakan tegas kepada kes pemandu lori wargarganegara dan warganegara Bangladesh yang memasang bendera terbalik di lori sampah tersebut supaya menjadi pengajaran kepada yang lain.

Kalau ikut semangat patriotik saya ini, bukan sahaja salah memasang bendera terbalik, malahan lori sampah bukanlah kenderaan yang boleh dipasangkan bendera Malaysia dan saya anggap sebagai simbolik yang tidak baik meletakkan bendera Malaysia di hadapan lori sampah secara terbalik.

Saya merasakan seperti bendera kita disampahkan. Sepatutnya, sebagai warganegara perlu ada sentimen sayang pada negara. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: