Bolehkah Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali disaman kerana melanggar SOP kuarantin?

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bolehkah beliau disaman seperti penduduk Napoh yang menyaman pemula kluster Sivagangga?Banyak kali juga saya ditanyakan diruang komen dan dalam messenger berkenaan isu Datuk Dr Khairuddin ini.

Sebelum saya menjawab berkenaan saman sivil seperti kes penduduk Napoh lawan Sivangangga, saya sentuh dahulu dari perspektif kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Rata-rata tidak berpuas hati, kenapa hanya kompaun RM1,000 sahaja yang dikenakan kepada Datuk Dr Khairuddin kerana telah melanggar SOP kuarantin selepas pulang dari Turki?

Macam-macam yang dapat kita baca. Ada yang membandingkan dengan kes Sivagangga yang didenda RM12,000 dan dipenjara 5 bulan oleh mahkamah, yang lebih berat hukumannya.

Begitu juga dengan kes makcik gelang pink, didenda RM8,000 dan penjara 1 hari oleh mahkamah. Lalu dipersoalkan pula kenapa tidak Datuk Dr Khairuddin ini?

Ada yang saya baca juga, alasan perbandingan ini mungkin tidak terpakai kerana hujah mereka kes Datuk Dr Khairuddin berbeza dengan kes yang dibandingkan.

Alasannya kerana Datuk Dr Khairuddin tidak positif Covid-19 sewaktu ujian, manakala dua yang lain positif. Begitulah hujah mereka.Pendapat saya, saya setuju dengan kenyataan Perdana menteri semalam, “Nobody is above the law”, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Kes Sivagangga dan makcik gelang pink masing-masing didakwa dibawah Seksyen 15 (1) Akta 342 iaitu perintah oleh pegawai yang diberikan kuasa oleh Akta ini bagi pemerhatian atau pengawasan kontak bagi tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Terma yang digunakan adalah “kontak”, pengawasan dan pemerhatian kontak. Jadi kita perlu tahu siapa kontak ini. Yang positif afau negatif Covid? Sebab Sekyen ini secara jelas merujuk kepada kontak.

Kontak ini yang perlu ikut perintah kuarantin. Siapa kontak?

Seksyen 2 memberikan maksud Kontak iaitu: “kontak” ertinya mana-mana orang yang telah terdedah atau mungkin telah terdedah kepada risiko dihinggapi sesuatu penyakit berjangkit, termasuk mana-mana orang yang baru tiba dari sesuatu kawasan jangkitan.

Jadi kalau kita baca, tidaklah ditulis positif Covid-19 sahaja baru terpakai Seksyen ini. Maknanya siapa-siapa sahaja telah terdedah kepada risiko atau baru tiba dari kawasan jangkitan seperti kes Datuk Dr Khairuddin ini.

Saya berpendapat begini, tidak kiralah pemimpin, orang kenamaan atau sesiapa sahaja “Nobody is above the law”. Ayat ini banyak kali digunakan di mahkamah terutama kes melibatkan pembesar, ahli politik. Semua pun tertakluk pada undang-undang.

Ahli politik, pemimpin mereka adalah sentiasa dibawah pemerhatian awam dan menjadi ikutan segelintir pengikut. Merekalah sepatutnya lebih peka dalam setiap gerak langkah dan memberikan tauladan yang baik. Kepimpinan melalui tauladan.

Kes pun masih dalam siasatan, jadi kita berikan kepada pihak berkuasa untuk memutuskan apakah tindakan seterusnya. Adil atau tidak, saya pun tidak tahu apa keputusan akhir. Sekarang, kita lihat pula dari konteks saman sivil seperti penduduk Napoh bagi kes kluster Sivagangga.

Kes saman sivil di mahkamah biasanya dituntut oleh individu atau syarikat bagi menuntut ganti rugi yang berlaku.Kalian perlu faham, di mahkamah kalau ingin menuntut ganti rugi, perlu dibuktikan dahulu bahawa kerugian telah berlaku.

Ganti rugi ini boleh dituntut bagi kes kemalangan, kerugian harta, masa dan lain-lain bentuk yang merugikan.Bermakna, berlaku kejadian atau kemalangan barulah boleh menuntut. Patah tangan dahulu, baru boleh menuntut.

Bukan bakal patah tangan hendak menuntut.Misalnya, ada pihak telah secara salah dan sengaja meletakkan objek di atas jalan raya, tidak berlaku kemalangan dan tiada siapa yang cedera kerana setiap yang lalu begitu peka.

Namun, objek itu memang boleh menyebabkan kemalangan jika ada yang menggunakan jalan raya dan tidak perasan.Mereka yang lalu dan tidak cedera, tidak boleh menuntut ganti rugi atas alasan bahawa objek bahaya itu bakal menyebabkan kecederaan.

Mereka juga tidak boleh menggunakan hujah ‘Manalah tahu kalau haritu telanggar, jadi perlu bayar ganti rugi’. Sebab itu di mahkamah hendak dapatkan ganti rugi bukan main hentam kromo, perlu ada bukti rugi, misalnya melalui penyata bank menunjukkan penurunan jualan, perlu ada cara kerja dan kira-kira bagi menuntut jumlah bukan main sebat.

Jadi jika ada pihak hendak saman Datuk Dr Khairuddin bagi menuntut ganti rugi, perlu dibuktikan dahulu kerugian yang dialami, perlu ada bukti.Saya buat perbandingan dengan kes penduduk Napoh yang menyaman kes Sivagangga.

Antara ganti rugi yang boleh dituntut dalam kes ini jika dibuktikan bahawa, akibat pengingkaran kuarantin oleh pemilik Restoran Salleh iaitu Nezar Mohamed telah menyebabkan kerugian kepada peniaga dan penduduk.

Misalnya sejak kluster Sivagangga bermula, kedai-kedai di kawasan itu ditutup, tidak boleh beroperasi seperti biasa kerana penularan Covid-19 yang dimulakan oleh Nezar. Habis rugi ribuan ringgit satu hari secara keseluruhan sejak mereka tidak boleh beroperasi.

Ini semua perlu dibuktikan dengan dokumen seperti penyataan atau kira-kira untung rugi peniaga dan impak selepas perbuatan Nezar dan disokong oleh keterangan saksi di mahkamah.

Mana-mana yang dijangkiti akibat Nezar gagal mematuhi SOP juga boleh menyaman kerana mengalami jangkitan dan terpaksa melalui segala proses pemeriksaan dan rawatan. Perlu juga dibuktikan.

Semua tuntut ganti rugi perlu dibuktikan yang dah berlaku. Bukan bakal berlaku. Perkara bakal berlaku ini adalah berbentuk hipotesis dan hipotesis ini selalu ada faktor pemboleh ubah. Faktor pemboleh ubah ini yang menjadikan ia tidak pasti ‘uncertain’.

Misalnya, sebab dia tak ikut arahan kuarantin ‘kalau saya sakit macam mana?’. Itu kalau sakit. Kalau tak sakit pula bagaimana? Kalaulah dibenarkan kita menyaman atau pesalah didakwa kepada perkara bakal berlaku. Bayangkan bagaimana agaknya. Tak buat pun kena saman. Tak cedera pun kena saman. Bakal hendak berhutang, pun kena saman sebab ada potensi tak bayar. Haha! Jenuh.

Sebab itu di mahkamah ada istilah kausa tindakan atau sebab tindakan pra-matang. Tak jadi lagi dah disaman. Aduh! Payah.Jadi faktor inilah yang perlu dipertimbangkan kalau ada pihak yang ingin memulakan tindakan atau saman sivil terhadap Datuk Dr Khairuddin.

Sekian.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: