Kes lelaki jatuh di atas bumbung lif, siapa yang patut disaman?

Kawan saya yang tinggal di Flat Sri Sabah, hubungi saya berkenaan kes lelaki jatuh di atas bumbung lif. Soalannya jika kecuaian begini, siapa patut kita saman? Saya tahu ramai diantara kita yang tinggal di rumah flat, apartment, kondominium yang menggunakan perkhidmatan lif.

Lif ini memang kemudahan utama bagi mereka yang tinggal disini, terutama bagi yang tinggal di tingkat yang lebih tinggi. Sebelum saya cerita berkenaan saman-menyaman. Saya minta tolong sangat:

1. Tolong peka semasa masuk lif.

Jangan terlalu kusyuk dengan telefon. Sebelum masuk lif, lihat dahulu lantai lif. Jangan main terjah. Manalah tahu syarikat penyelenggara lif, sedang baiki lif tetapi cuai hendak letak tanda amaran. Menonong je kita masuk, kecuaian begini boleh mengakibatkan kecederaan teruk atau kematian.

2. Kawal anak-anak anda atau nasihatkan anak-anak tentang penggunaan lif.

Jangan biarkan mereka melompat-lompat di dalam lif. Menahan atau menendang pintu lif. Kalau setiap kanak-kanak berkelakuan begini dengan kerap, baikilah berapa kali pun lif tetaplah jahanam.

3. Sekiranya pintu lif tersepit.

Jangan cuba ambil tindakan sendiri dengan mengopak pintu lif secara paksa atau merangkak keluar dari lif tanpa bantuan pihak yang bertauliah seperti bomba atau penyelenggara lif. Ada beberapa kes yang dilaporkan di Malaysia, mangsa maut kerana cubaan begini. Sekiranya berlaku kemalangan atau kecuaian diakibatkan oleh lif.

Bolehkah kita saman? Siapakah yang perlu kita saman?Biasanya dalam kes begini pihak pengurusan atau pemaju atau penyelenggara lif atau kesemuannya dalam senarai ini (bergantung kepada fakta kes. Fakta kes berbeza untuk setiap satu)

Untuk menyaman sama ada badan pengurusan, pihak penyelenggara lif atau pihak yang relevan. Kita perlu meneliti fakta kes dahulu. Meh! Saya ajar sikit macam mana hendak menilai kes sebelum dibawa ke mahkamah:-

1. Kenalpasti kecuaian oleh pihak yang mana?

Misalnya jika dalam kes pihak penyelenggara sedang menyelenggara, tidak diletakkan notis. Pihak pengurusan juga tidak letak notis di papan notis, di kawasan lif, pihak penyelenggara juga tidak letak papan atau apa-apa tanda. Dibiarkan lif terbuka begitu sahaja. Kemudian, mangsa yang lalu terjatuh dan tercedera atau maut. Maka, mangsa atau keluarga mangsa boleh menyaman.

2. Bagaimana pula sekiranya mangsa sendiri menyumbang kepada kecederaan atau kematian?

Misalnya dalam kes rosak dan terperangkap. Mangsa cuba mengopak dan merangkak keluar dan tersepit. Maka boleh dikatakan juga mangsa menyumbang kepada kejadian, sepatutnya mangsa menunggu bomba atau penyelenggara lif untuk proses menyelamat.

Dalam kes begini perlu dilihat berapa peratus kecuaian oleh syarikat pengurusan dan penyelenggara untuk memastikan lif dalam keadaan yang baik sehingga menyumbang ke arah lif tersangkut. Perlu juga dilihat berapa peratus mangsa menyumbang kepada kejadian sehingga mengakibatkan maut. Peratusan ini yang menjadi penentu ganti rugi yang layak dapat dari keseluruhan kiraan ganti rugi.

3. Kenalpasti faktor-faktor lain.

Misalnya kecuaian oleh pihak pengurusan terutamanya. Berapa lama aduan telah dibuat? Apa tindakan oleh pengurusan? Adakah pihak pengurusan lepas tangan dan sengaja melewatkan proses pembaikian.

Faktor begini boleh jadi penentu kes untuk menuntut.Kita sebagai penduduk kena selalu buat aduan, hantar surat bertulis atau secara email atau secara isi borang. Buat salinan setiap satu. Kalau berlaku kes, inilah bukti-buktinya iaitu bertahun-tahun telah kita adukan tetapi tidak diendahkan.

Kes kecuaian sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan, kita perlu tuntut secara saman sivil di mahkamah.Biasanya ada yang tanya berapa kiraannya? Berapa layak dapat? Kalau cedera, bergantung apa kecederaannya? Patah kaki? Patah tangan? Cedera di kepala? Asas kiraan ini ada dalam garis panduan dalam Compendium of Personal Injury Awards.

Mahkamah akan memutuskan berdasarkan jenis kecederaan, berdasarkan juga faktor umur, jantina dan lain-lain.Jika berlaku kematian mahkamah akan memutuskan berdasarkan kiraan Seksyen 7 Akta Sivil 1956.

Kiraan berdasarkan usia, pekerjaan dan jumlah sumbangan kepada keluarga. Diambil kira juga faktor sumbangan mangsa terhadap kejadian. Sama ada mangsa turut menyumbang ke arah kematian atau kecederaan. Ini adalah faktor jumlah ganti rugi yang dibenarkan ditolak mengikut peratusan sumbangan.Berhati-hati sewaktu menggunakan lif.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: